Harapan Tipis Menanti Rundingan Myanmar Dengan Utusan Khas ASEAN
2021.08.11

Pemimpin pembangkang dan penganalisis politik di Myanmar tidak meletakkan sebarang harapan dalam usaha menyelesaikan krisis negara bergolak itu apabila ia dibawa ke meja rundingan untuk dirungkaikan oleh jeneral yang menggulingkan kerajaan awam yang dipilih dan utusan khas dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Sebagai utusan khas yang dilantik oleh 10 negara anggota ASEAN pada 4 Ogos lalu, setelah pelantikan itu tertangguh beberapa bulan, Erywan Yusof - diplomat kanan Brunei – menegaskan bahawa beliau akan berusaha untuk bertemu dengan pemimpin kerajaan Liga Nasional Demokrasi (NLD) yang dipenjarakan selepas kerajaan itu digulingkan pihak tentera dalam rampasan kuasa pada Februari lalu.
Namun, beliau belum mengumumkan tarikh kunjungannya ke negara itu dan menyatakan perlu berunding dengan negara-negara lain serta pihak berkepentingan yang bimbang dengan keganasan yang berlaku selepas rampasan kuasa di Myanmar selain kesannya terhadap kestabilan di rantau meluas Asia Tenggara itu.
Erywan, yang juga Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, kini ditugaskan untuk melaksanakan konsensus lima perkara mengenai Myanmar selepas ia disepakati oleh para pemimpin ASEAN dalam sidang kemuncak khas yang diadakan di Jakarta pada April lalu. Konsensus lima perkara itu merangkumi pelantikan utusan khas, memberikan bantuan kemanusiaan, menghentikan keganasan, mengadakan dialog dengan semua pihak berkenaan serta usaha untuk memudahkan proses dialog itu.
Seorang ahli Jawatankuasa Pusat NLD, yang enggan dikenali, pada Isnin menyambut baik usaha ASEAN untuk menangani krisis pasca rampasan kuasa itu tetapi pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya pihak tentera yang memerintah akan mempergunakan badan serantau itu untuk manfaatnya sendiri.
"Antara perkara yang membimbangkan kami ialah pihak rejim akan menggunakan proses perantaraan ini sebagai cara untuk melengahkan masa dan berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa," kata ahli NLD. "Jika ini berlaku, pemimpin semasa ASEAN akan dipandang rendah oleh generasi akan datang [di negara kami]."
"ASEAN berpeluang untuk meningkatkan prestasinya jika ia dapat mengadakan pertemuan dengan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, yang sememangnya dipercayai dan dihormati oleh rakyat Myanmar sebagai pemimpin yang tiada tolok gantinya," kata beliau.
Erywan mungkin dihalang oleh ketua junta Jeneral Min Aung Hlaing daripada bertemu dengan Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain NLD yang kini dipenjarakan atau sedang dibicarakan di ibu negara Naypyidaw, kata sumber lain pula.
"Min Aung Hlaing tidak berhasrat pun untuk mengadakan rundingan," kata Than Soe Naing, penganalisis politik di Myanmar.
Utusan khas itu "boleh meminta kebenaran untuk bertemu dengan Aung San Suu Kyi dan menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan pemimpin utama yang lain, tetapi pihak tentera pasti menolak permintaannya," kata Than sambil memberitahu, "beliau hanyalah wakil dari ASEAN."
"Beliau boleh sahaja berkata 'Tolonglah hentikan [keganasan ini],' tetapi ini tidak mungkin berkesan," katanya.
'Peluang mengadakan dialog yang bermakna'
ASEAN, yang mematuhi prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara anggotanya, tidak mungkin dapat menyelesaikan krisis politik Myanmar, kata Than.
"Siapa yang akan ada dalam senarai orang yang mahu ditemui oleh wakil ASEAN ini?" soal Sai Leik, setiausaha agung Liga Kebangsaan Demokrasi Shan di negeri Shan, Myanmar. “Adakah individu seperti Aung San Suu Kyi dan [bekas presiden Myanmar] Win Myint dibenarkan bertemu dengannya? Adakah beliau akan bertemu dengan kumpulan penentang?"
"Hanya setelah beliau diberi peluang bertemu dengan semua individu ini, barulah dialog yang bermakna dapat diadakan, namun semua ini masih menjadi persoalan sama ada ia boleh dilakukan," katanya.
"Sekiranya beliau hanya bertemu dengan pemimpin tentera yang dipilih oleh Jeneral Min Aung Hlaing dan kemudian beredar meninggalkan negara ini, semuanya itu tiada maknanya. Rakyat tidak mendapat apa yang mereka mahukan, dan proses campur tangan ini sebaliknya hanya memperkukuhkan lagi kuasa junta.”
Pemimpin tentera Myanmar telah memperakukan pelantikan Erywan sebagai utusan khas ASEAN, dan beliau akan dibenarkan memasuki negara itu, kata Naing Swe Oo, pengarah eksekutif Institut Kajian Strategik Thayninga iaitu badan pemikir pro-tentera di Yangon.
"Beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin kerajaan, tetapi prosesnya perlulah selaras dengan pelan hala tuju yang dibentangkan oleh Majlis Pentadbiran Negara," katanya, yang menggunakan nama rasmi junta.
"Saya tidak melihat sebarang perubahan dalam perkara ini. Mungkin ada dialog politik, tetapi saya rasa tidak akan ada banyak kemajuan," kata Naing Swe Oo.
Semasa pihak tentera melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari, ia mendakwa berlakunya penipuan undi yang membawa kepada kemenangan besar parti NLD pimpinan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya umum negara itu pada November lalu.
Pihak junta belum memberikan bukti berhubung dakwaannya itu dan bertindak keras dalam menentang demonstrasi seluruh negara yang menuntut supaya dikembalikan pemerintahan awam, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 962 orang sejak enam bulan lalu.
Dilaporkan oleh Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia. BenarNews ialah anggota sekutu RFA.