Pemerhati: ASEAN Perlu Beri Garis Masa Kepada Junta Myanmar Untuk Bertindak Berdasarkan Konsensus
2021.04.26
Kuala Lumpur & Jakarta

ASEAN perlu menetapkan garis masa bagi pelaksanaan semua tindakan yang diumumkan dalam sidang kemuncak khas mengenai Myanmar pada minggu lalu, kata penganalisis, dengan orang awam masih ditembak mati di negara bergolak itu pada Isnin walaupun mesyuarat berkenaan mendesak supaya dihentikan segera keganasan.
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN akan mendapati adanya kesukaran untuk memastikan tentera Myanmar, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Februari lalu, mengendahkan kata-kata pemimpin mereka, Min Aung Hlaing, bahawa beliau, antara lainnya, akan bertindak mengakhiri keganasan itu, kata penganalisis.
Malah, pada Isnin iaitu dua hari selepas diumumkan perjanjian ASEAN itu, pasukan keselamatan Myanmar menembak mati seorang lelaki di kota Mandalay, lapor Reuters, yang memetik laporan media tempatan.
Walaupun junta Myanmar bersetuju untuk mengakhiri keganasan terhadap para penunjuk perasaan pro-demokrasi, namun tiada garis masa yang ditetapkan oleh sidang kemuncak itu bagi pelaksanaan janji tersebut, kata penganalisis politik Malaysia, Azmi Hassan, mengenai tentera dan pasukan keselamatan Myanmar yang telah membunuh ratusan penunjuk perasaan pro-demokrasi sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.
“Patutlah rakyat Myanmar, NGO dan aktivis yang memperjuangkan nasib rakyat negara itu kecewa dengan ASEAN berhubung perkara ini. Tidak ada garis waktu, tidak ada usaha untuk menekan para pemimpin junta supaya menepati janji mereka,” kata Azmi kepada BenarNews pada Isnin.
"Saya agak kecewa dengan hasil mesyuarat itu kerana ia tidak menggunakan peluang yang ada. ASEAN berpeluang untuk mengemukakan garis masa yang lebih konkrit namun, sekali lagi, tiada apa yang dihasilkannya. Lainlah keadaannya jika tiada mesyuarat diadakan di Jakarta."
“ASEAN perlu bertindak pantas dan menetapkan satu jadual bagi pemimpin junta Myanmar itu menunaikan janjinya untuk mengakhiri keganasan, atau bersiap sedia untuk dipertanggungjawabkan,” kata ahli parlimen Malaysia Charles Santiago.
"Saya khuatir jika tiada garis masa tertentu diberikan berhubung Utusan Khas itu, ia akan memberikan satu lembaran baru pula kepada jeneral itu untuk melakukan apa sahaja yang ingin dilakukannya, dan dia perlu menyelesaikan apa yang telah dimulakannya," kata Santiago, yang merupakan pengerusi Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) dalam sidang media pada Ahad, menurut akaun Twitter kumpulan itu.
"Sejauh mana ASEAN mahu menangani dengan serius krisis Myanmar itu adalah bergantung kepada mereka dalam meminta Min Aung Hlaing untuk bertanggungjawab, memastikan beliau tidak mempermainkan mereka, dan melaksanakan semua perkara yang telah disepakati."
Dialog ‘milik Myanmar dan diterajui Myanmar’
"Konsensus Lima Perkara" mengenai Myanmar yang disepakati oleh 10 negara anggota ASEAN itu mendesak supaya dihentikan segera keganasan, mengadakan dialog konstruktif antara semua pihak terbabit dengan seorang utusan khas ASEAN memudahkan perantaraan rundingan itu, memberikan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan oleh ASEAN dan delegasi ASEAN mengadakan lawatan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak berkenaan.
Namun, konsensus lima perkara itu tidak menyenaraikan mengenai pembebasan tahanan politik Myanmar di mana presiden Indonesia - negara terbesar dalam ASEAN - dan Perdana Menteri Malaysia telah mendesak tindakan itu semasa mereka masing-masing berucap pada sidang kemuncak khas tersebut pada Sabtu.
Sedangkan, menurut laporan Reuters yang memetik sumber tidak dinamakan, perkara berkaitan pembebasan tahanan politik itu telah dimasukkan dalam rangka konsensus itu sehari sebelum sidang kemuncak itu.
Bagaimanapun, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata pada Ahad bahawa sebarang dialog konstruktif perlulah melibatkan mereka yang ditahan oleh tentera Myanmar, lapor The Jakarta Post.
"Secara idealnya, jika kita mengadakan dialog, ia haruslah menjadi dialog inklusif yang dimiliki oleh Myanmar dan diterajui oleh Myanmar," katanya dalam satu temu bual, menurut laporan The Jakarta Post pada Isnin.
Para pemimpin itu mengadakan pertemuan "sebagai sebuah keluarga" dan bersetuju supaya pengerusi ASEAN tahun ini, Brunei, untuk menghantar utusan khas ke Myanmar, yang akan dibantu oleh Setiausaha Agung ASEAN Lim Jock Hoi bagi menjadi perantara dialog yang melibatkan semua pihak di Myanmar, kata Retno.
Sehingga Isnin, tentera Myanmar telah menahan 3,371 orang termasuk pemimpin awam Aung San Suu Kyi, menurut Persatuan Bantuan untuk Tawanan Politik yang berpusat di Bangkok.
'Langkah perlahan yang menyakitkan'
Adalah sukar untuk memastikan bahawa junta Myanmar melaksanakan apa yang telah disepakati ASEAN walaupun perkara yang terkandung dalam dokumen konsensus, kata beberapa penganalisis.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengakui bahawa Myanmar mungkin tidak akan melaksanakan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam sidang kemuncak khas ASEAN itu.
"Saya pasti adanya laluan jauh dan mengambil masa dalam melaksanakannya kerana menyatakan untuk mengambil langkah menghentikan keganasan dan membebaskan tahanan politik adalah satu perkara tetapi untuk melaksanakannya adalah satu perkara lain pula, "kata Lee kepada wartawan selepas menghadiri sidang kemuncak ASEAN itu pada Sabtu, lapor ChannelNews Asia.
"Dan, untuk mengadakan perbincangan inklusif bagi mencapai satu resolusi politik adalah lebih sukar, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada beberapa langkah ke hadapan yang boleh kita lakukan."
Aaron Connelly yang merupakan felow penyelidik di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik di Singapura, turut bersetuju bahawa penyelesaian krisis di Myanmar akan mengambil masa, tetapi mengdakan sidang kemuncak itu merupakan langkah pertama yang baik.
"Semua ini akan berlaku dalam jangka masa perlahan yang menyakitkan, terutamanya bagi rakyat Myanmar, jika itu semua boleh dilakukan. Tetapi, adalah menjadi kesilapan untuk mengetepikan langkah pertama seperti ini, berikutan kurangnya pilihan lain yang ada.
Yuyun Wahyuningrum, wakil Indonesia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN, berkata beliau menyambut baik hasil pertemuan ASEAN itu dan usaha gigih itu perlu dimulakan sekarang.
"Cabaran berikutnya adalah untuk memastikan ASEAN dan Myanmar menghormati komitmen mereka," kata Yuyun kepada BenarNews.
‘Berbincang dengan NUG’
ASEAN juga perlu segera bertemu dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), kerajaan awam bayangan yang dilancarkan di Myanmar baru-baru ini, kata aktivis hak asasi Myanmar dan penganalisis serantau.
Phil Robertson, timbalan pengarah Asia bagi Human Rights Watch, mengecam ASEAN kerana tidak menjemput wakil NUG ke sidang kemuncak itu.
"Bukan sahaja perwakilan rakyat Myanmar tidak dijemput ke mesyuarat di Jakarta, malah mereka juga diketepikan dalam konsensus itu, yang kini menjadi kebanggaan ASEAN kerana berjaya melakukannya," kata beliau dalam satu kenyataan.
Berbincang dengan NUG adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri krisis Myanmar dengan cara yang memanfaatkan rakyatnya, kata Hunter Marston, felow bukan pemastautin di Pacific Forum, sebuah institusi penyelidikan dasar luar.
"Sekiranya ASEAN mahukan penyelesaian sebenar bagi krisis itu, ia perlulah menamakan dan menghantar utusan khas untuk berbincang dengan NUG dan berkeras supaya diadakan dialog sebenar," kata Marston dalam catatan di Twitter.
Aktivis pro-demokrasi Myanmar Khin Ohmar berkata ASEAN telah mensia-siakan peluang seperti sidang kemuncak itu, kerana ia tidak menghubungi pihak yang mempunyai kepentingan utama seperti NUG.
“Tanpa persetujuan mereka [pihak berkepentingan], tidak adalah konsensus. ... Mesyuarat ini boleh menjadi satu momen bersejarah, bukan hanya untuk rakyat Myanmar malah untuk rakyat ASEAN juga ... malangnya, ia tidak berlaku," katanya pada sidang media APHR itu.
"Tetapi, masih ada masa untuk mengubah wacana itu."