Biden Tetapkan Tarikh Sidang Kemuncak Dengan ASEAN Namun Tidak Keluarkan Senarai Jemputan Penuh
2022.04.20
Washington & ibu negara-negara Asia Tenggara

Presiden Joe Biden, yang sentiasa mahu menunjukkan minat Amerika Syarikat terhadap Asia Tenggara, telah menetapkan tarikh untuk meraikan hubungan 45 tahun AS dengan rantau yang jauh itu, namun tidak semua pemimpin negara ASEAN akan dijemput menghadirinya.
Ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, tidak akan dijemput kerana mengetuai rampasan kuasa tentera yang dilancarkannya pada tahun lalu.
Dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, yang bakal melepas jawatan pada Jun, juga dijangka tidak akan menghadirinya. Beliau tidak pernah melawat Washington sepanjang enam tahun meyandang jawatan itu berikutan hubungan yang sering bergelora dengan Amerika Syarikat.
Sidang kemuncak pemimpin AS dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara yang ditetapkan pada 12 hingga 13 Mei ini merupakan peluang bagi Biden untuk menjalin hubungan dua hala yang lebih erat dengan ASEAN serta menangani pengaruh China di rantau itu. White House berminat untuk memajukan visinya berhubung Indo-Pasifik yang "bebas dan terbuka".
Sidang kemuncak berkenaan juga akan meraikan hubungan AS-ASEAN, yang telah terjalin sejak 1977. Ia bakal menjadi sidang kemuncak kedua dengan para pemimpin Asia Tenggara yang dihoskan oleh presiden Amerika Syarikat. Barack Obama pernah menyambut kehadiran para pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak yang diadakan di ladang Sunnylands di Rancho Mirage, California pada Februari 2016.
Dengan mesyuarat pada bulan depan itu dilihat akan membawa nilai simbolik yang berat, ia juga bakal menampilkan kehadiran beberapa rakan diplomatik yang luar biasa bagi Biden.
Kementerian Luar Negeri Kemboja menyatakan bahawa Perdana Menteri Hun Sen - yang kerajaannya telah dikenakan sekatan AS kerana menindas demokrasi - akan menghadiri sidang kemuncak itu. Kemboja merupakan pengerusi semasa persatuan 10 negara itu, yang penyandangannya dilakukan secara penggiliran.
"Sudah tentu, Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen, sebagai pengerusi penggiliran ASEAN, akan mempengerusikan bersama sidang kemuncak itu dengan presiden Amerika Syarikat," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Chum Sounry kepada Radio Free Asia (RFA), organisasi induk BenarNews.
Beliau menggunakan gelaran kehormat yang diguna pakai oleh Hun Sen, yang telah menerajui Kemboja selama 37 tahun. Secara umumnya, gelaran itu membawa maksud "perdana Menteri agung dan gemilang serta komander yang berkuasa."
Namun, para pegawai menyatakan bahawa Min Aung Hlaing - yang baru-baru ini menganugerahkan dirinya dua darjah penghormatan tertinggi Myanmar bagi perkhidmatan kepada negaranya walaupun ia dalam keadaan huru-hara dan penuh keganasan di sana - tidak akan dijemput menghadiri mesyuarat di Washington itu.
“Konsensus dalam kalangan ASEAN ialah Myanmar perlu diwakili oleh pemimpin bukan politik,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia Teuku Faizasyah, yang merupakan penyelaras badan serantau bagi hubungan AS-ASEAN. Beliau memberitahu BenarNews pada Selasa bahawa Presiden Indonesia Joko Widodo bercadang untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Di Kuala Lumpur, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri juga akan menyertai sidang kemuncak itu. Beliau berkata: “Saya tidak fikir Myanmar harus diwakili. Saya tidak begitu pasti jika Washington mahu menjemput Myanmar.”
Bagaimanapun di Bangkok, Kementerian Luar Negeri Thailand berkata bahawa Prayuth Chan-o-cha, perdana menteri dan bekas ketua junta, sedang "mempertimbangkan kehadirannya" di Washington.
ASEAN bergelut dengan krisis 14 bulan di Myanmar, di mana tentera junta Myanmar telah mengebom dan membakar sebahagian besar negara itu untuk meredakan penentangan terhadap tindakan tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih pada Februari 2021.
Pada penghujung Mac, pihak junta telah menghalang utusan ASEAN Prak Sokhonn, yang merupakan menteri luar negeri Kemboja, daripada bertemu dengan pemimpin umum Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi, yang menyekat usaha untuk membentuk resolusi politik – dan menarik balik komitmen yang dibuat oleh ketua junta kepada ASEAN untuk memberi akses kepada semua pihak berkepentingan di negara itu. ASEAN sendiri telah mengecualikan kehadiran Min Aung Hlaing dalam beberapa sidang kemuncaknya badan serantau itu.
Jurucakap majlis tentera Myanmar berkata pada Selasa bahawa Myanmar masih belum dijemput ke sidang kemuncak Washington setakat ini, dan mereka hanya akan menghadirinya jika mereka dijemput menghantar perwakilan yang sama tarafnya.
“Jika, seperti mana dahulu, kami hanya boleh diwakili oleh seseorang yang tidak memegang jawatan politik, kami sama sekali tidak akan menghadiri sebarang mesyuarat kitu. Pendirian kami adalah untuk hadir pada mesyuarat itu dengan wakil yang sama taraf dengan yang lain,” kata jurucakap itu, Mej Jen Zaw Min Tun, kepada RFA.
Myanmar telah dikenakan tindakan rampasan aset dan sekatan AS sejak berlakunya rampasan kuasa itu – termasuk sekatan yang dikenakan terhadap Min Aung Hlaing sendiri.
Tiada sekatan sedemikian dihadapi oleh Duterte. Filipina ialah sekutu perjanjian AS, yang bermakna kedua-dua negara itu komited untuk mempertahankan satu sama lain jika mereka diserang. AS turut menjalinkan perjanjian sama dengan Thailand.
Tetapi Duterte, yang telah menjalin hubungan lebih rapat dengan China walaupun adanya pertikaian di Laut China Selatan, berulang kali bersumpah bahawa "beliau tidak akan pergi ke AS." Malah, pada satu ketika, beliau pernah menyelar Amerika Syarikat sebagai "teruk."
BenarNews bertanya kepada seorang pegawai Duterte sama ada pendirian itu telah berubah berikutan sidang kemuncak yang bakal diadakan itu, dan dimaklumkan bahawa pendirian itu masih sama. Pegawai itu bersedia mengulas dengan syarat namanya tidak disebut kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media mengenainya.
Terdapat satu lagi sebab mengapa pemimpin Filipina itu tidak mahu menghadiri sidang kemuncak di Washington: Mesyuarat dua hari itu diadakan tiga hari selepas pilihan raya Filipina iaitu pada 9 Mei. Adalah menjadi kebiasaan bagi mana-mana pemimpin Filipina untuk mengelak melakukan perjalanan ke negara asing semasa musim pilihan raya, terutamanya pilihan raya yang diadakan untuk jawatan yang bakal dilepaskan.
Jason Gutierrez di Manila, Tria Dianti di Jakarta, Nontharat Phaicharoen di Bangkok, Nisha David di Kuala Lumpur dan Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.