Sukan SEA Menggembirakan Malaysia
2017.08.30
Kuala Lumpur

Rakyat Malaysia amat gembira dengan Sukan Asia Tenggara 2017 di Kuala Lumpur, walaupun terdapat dakwaan pengadilan berat sebelah dan pengurusan kurang memuaskan pada temasya terbesar bagi pelbagai sukan di rantau ini.
Sebelas negara dan beribu atlet beraksi pada edisi ke-29 Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos, dengan lebih 38 acara dan 406 pingat emas dipertandingkan.
Malaysia, yang menjadi tuan rumah buat kali keenam, dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan memenangi 145 pingat emas, yang mencatatkan pencapaian terbaiknya dalam sejarah temasya sukan itu.
Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia memenangi 62 pingat emas dan menduduki tempat keempat.
Malaysia pernah mendahului kejohanan sukan serantau itu pada 2001 semasa menjadi tuan rumah temasya itu. Pada tahun itu, Malaysia memenangi 111 pingat emas untuk menewaskan Thailand yang ketinggalan 8 pingat emas.
Tahun ini, Thailand menduduki tempat kedua dengan 72 pingat emas diikuti Vietnam di tempat ketiga dengan 58 pingat emas, Singapura (57), Indonesia (38), Filipina (24), Myanmar (7), Kemboja (3) dan Laos (2).
Bagi Malaysia, temasya itu mencatatkan banyak detik gemilang seperti ketika Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mencatat sejarah dengan memenangi dua pingat emas dalam acara ketahanan ekuestrian.
Ketika menutup temasya itu secara rasmi di Stadium Nasional pada malam Rabu, yang merupakan malam sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau menantikan edisi Sukan SEA 2019 di Filipina pula.
“Semoga mereka mempamerkan keceriaan dan kesepaduan supaya obor sukan diteruskan dengan keterujaan, keberanian dan penghormatan lebih tinggi demi manfaat kemanusiaan sepanjang zaman,"katanya.
Kemudian, beliau mengumumkan kejutan yang menggembirakan dengan mengisytihatkan Isnin (4 September) sebagai cuti umum di Malaysia.
Temasya paling buruk dalam sejarah?
Tetapi kemenangan manis di Malaysia sebenarnya pahit bagi pihak lain terutamanya bagi kuasa sukan rantau ini - Thailand dan Indonesia.
Para atlet, wartawan dan peminat sukan Thailand melabelkan Kuala Lumpur 2017 sebagai temasya Sukan SEA paling buruk dalam sejarah, lapor Bangkok Post pada Rabu.
"Kalangan peminat dan wartawan Thailand nyata amat beremosi dan melepaskan rasa marah dan kecewa mereka dengan menyamakan Sukan SEA Kuala Lumpur sebagai 'SEA Kong' (SEA Tipu)," kata laporan itu.
Pegawai-pegawai Thailand mempersoalkan mengapa acara seperti tinju wanita, di mana Thailand adalah pencabar terkuat dan pemenang pada masa lalu, tidak dipertandingkan.
Negara tuan rumah mempunyai hak untuk mengadakan temasya itu berdasarkan kepada kekuatan acara sukan mereka dan banyak negara yang telah berbuat demikian sejak sekian lama.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha telah mempertahankan kejayaan Malaysia meraih kutipan pingat emas.
"Adalah biasa bagi negara tuan rumah memenangi lebih banyak (pingat emas) berikutan persediaan mereka. Ia sama ketika kita menjadi tuan rumah apabila kita juga boleh memilih jenis sukan yang mahu dipertandingkan dan kali ini mereka (Malaysia) membuat persediaan yang lebih baik," lapor agensi berita nasional Malaysia, Bernama, yang memetik Prayuth sebagai berkata demikian.
Indonesia turut melontarkan kata-kata pedas selepas acara beregu artistik seni mempertahankan diri Pencak Silat apabila beregu Malaysia mengalahkan juara bertahan Indonesia dengan catatan 582-554.
"Sebelum ini, hakim tidak pernah memberikan 582 mata dalam kategori ini. Tidak kisahlah 582, malah untuk mendapatkan 570 juga amat sukar, " pengurus pasukan Indonesia Edhy Prabowo dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan Agence France-Presse.
"Mereka tidak layak mendapat tempat ketiga, walaupun keempat," katanya, sambil menambah: "Saya tahu Malaysia akan menipu."
Tetapi,pegawai Malaysia menyatakan tidak ada negara yang membuat aduan atau bantahan rasmi walaupun terdapat beberapa pengadilan yang kontroversi.
"Adalah perkara biasa bagi tuan rumah untuk memilih acara sukan yang dikuasai mereka dan berpeluang meraih pingat emas," kata Rudy Irwan, peminat sukan dan pelari maraton Malaysia, kepada BeritaBenar.
Pilihan raya hampir tiba
Kutipan pingat emas itu, kata Rudy, telah membawa negara berada di puncak dan menyatukan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan berbeza politik sejurus sebelum sebelum sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, dan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.
"Adanya faktor menggembirakan dan negara bersatu ketika ini. Jadi, mungkin, ia adalah masa terbaik bagi parti pemerintah untuk mengadakan pilihan raya," katanya.
Walaupun pilihan raya umum dijadualkan pada pertengahan 2018, ahli politik dan penganalisis mengandaikan bahawa Najib, yang dibelenggui dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, mungkin membubarkan parlimen pada akhir tahun ini.
Pilihan Raya Umum Ke-14 dianggap sebagai yang paling sukar bagi parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu pimpinan Najib, selepas memenangi setiap pilihan raya sejak memperoleh kemerdekaan pada 1957.
Hairul Rosli, seorang eksekutif kanan di konglomerat multinasional yang berpejabat di Malaysia, bersetuju bahawa negara kini berada pada “kemuncaknya’’ dan pilihan raya umum mungkin sudah hampir.
"Apa-apa yang berkaitan dengan sukan pasti akan menyemaikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, umur dan jantina, terutamanya apabila kita yang menjadi tuan rumah temasya itu," kata peminat bola sepak dan berbasikal itu kepada BeritaBenar.
Menjadi tuan rumah Sukan SEA turut memberi harapan tinggi kepada Najib dalam pilihan raya umum akan datang, kata Hafidz Rahman, eksekutif syarikat petroleum dan gas nasional negara itu.
"Dan sekali lagi, Najib melaksanakan kempen perhubungan awamnya dengan sangat baik, melalui sukan sebagai imej membangun negara. Tetapi sebenarnya, sebagai sebuah negara, kita mundur dalam isu-isu teras seperti rasuah dan ketelusan yang masih tidak ditangani sehingga menjejaskan pertumbuhan keseluruhan negara kita, "kata Hafidz kepada BeritaBenar.
Sambil lewa
Walaupun bermatlamat memupuk perpaduan serantau, namun Sukan SEA 2017 dikritik apabila mencetak bendera Indonesia secara terbalik dalam buku cenderahati, yang menyebabkan berlakunya beberapa protes jalanan dan serangan dalam laman web Malaysia.
Kesilapan itu berlaku apabila Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, menulis tweet tentang rasa kecewanya pada majlis perasmian itu, menyebabkan rakan sejawatnya, Khairy Jamaluddin, pantas memohon maaf menerusi Twitter dan mengadakan mesyuarat rasmi untuk merungkai rasa marah itu.
Temasya itu juga terjejas dengan masalah lain seperti insiden keracunan makanan 16 atlet Malaysia di hotel penginapan mereka, pertukaran venue saat akhir dan perubahan jadual acara, serta kurangnya perkhidmatan makanan yang menyebabkan para peminat terpaksa beratur beberapa jam untuk menyaksikan beberapa acara.
"Inilah kali pertama saya mendengar banyak aduan mengenai jawatankuasa penganjur. Walaupun kita harus berbangga kerana menjadi tuan rumah temasya, tetapi kita juga harus malu dengan tahap perhubungan yang kurang baik sepanjang kejohanan ini, "kata Hairul, yang juga bekas wartawan.
Rudy pula menuduh pihak penganjur bersikap sambil lewa.
"Tetapi semua kekurangan ini, saya percaya, disebabkan oleh kawalan kualiti yang buruk dengan butirannya tidak diberikan perhatian. Di Malaysia, kita mempunyai sikap sebegini...semuanya baik-baik saja, "katanya.