COVID-19: Indonesia Larang Kakitangan, Anggota Keselamatan Awam Pulang Ke Kampung Semasa Ramadan

Staf BeritaBenar
2020.04.09
Washington
200409-SEA-ramadan-620.jpg Wanita Muslim sedang menunaikan solat Tarawih di Masjid Besar di Padang, Sumatera Barat, Indonesia, 26 Mei 2017.
[M. Sulthan Azzam / BeritaBenar]

Pemimpin negara Islam terbesar di dunia pada Khamis mengarahkan semua kakitangan awam dan petugas keselamatan tidak pulang ke kampung halaman semasa Ramadan, dengan tradisi menjelang bulan puasa itu menjadi punca terbaru penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini,

Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo telah mengeluarkan perintah itu kepada rakyat republik berkenaan manakala Sultan Selangor di negara jiran, Malaysia, pula mengumumkan bahawa baginda tidak akan menyertai umat Islam berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih di masjid-masjid di negeri itu semasa Ramadan bagi membantu menghentikan penularan virus yang mudah berjangkit dan membawa maut itu.

"Kami memutuskan hari ini bahawa kakitangan awam, tentera dan polis serta pekerja syarikat milik negara dilarang pulang ke kampung," kata Jokowi. Beliau merujuk kepada pergerakan beramai-ramai dari Jakarta dan bandar-bandar utama lain semasa berjuta-juta penduduk Indonesia pulang ke kampung halaman masing-masing untuk merayakan Aidilfitri, iaitu cuti umum bagi meraikan berakhirnya bulan puasa Ramadan.

Jokowi berkata kerajaannya juga sedang menimbang sama ada  mengenakan larangan itu ke seluruh negara berkenaan. Indonesia, yang mempunyai kira-kira 225 juta umat Islam, mempunyai seramai 4.4 juta penjawat awam dan 1.3 juta anggota polis dan tentera, menurut Biro Statistik Pusat.

"Kami tidak boleh melarang mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat krisis pandemik ini untuk pulang ke kampung mereka," katanya.

Pada Khamis, pihak berkuasa kesihatan di Indonesia, negara Asia yang mempunyai paling ramai penduduk, mengesahkan sebanyak 337 kes baru COVID-19 – kes tertinggi dalam masa sehari di negara itu - dengan kini berjumlah 3,293 kes. Sebanyak 40 kematian akibat virus itu juga direkodkan yang menjadikan jumlah kematian keseluruhan ialah 280 - angka kematian tertinggi di Asia selain China, di mana virus itu mula muncul.

Perintah Jokowi itu adalah tambahan kepada pelbagai perutusan dan arahan berkaitan coronavirus yang dikeluarkan setiap hari sejak akhir-akhir ini oleh kerajaan, pegawai negeri dan pihak berkuasa agama Islam di seluruh rantau itu berhubung perjalanan pulang ke kampung halaman semasa Ramadan, solat berjemaah di masjid dan bazar yang dikunjungi umat Islam untuk membeli juadah Iftar, hidangan yang dinikmati semasa berbuka puasa.

Pada 2020, bulan suci umat Islam itu akan bermula di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada 23 atau 24 April, bergantung kepada kemunculan anak bulan Ramadan untuk menetapkan tarikh permulaan puasa.

Sementara itu di Selangor, setiausaha sulit Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu.

"Sultan dengan berat hati memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih bersama rakyat di masjid-masjid seluruh negeri," kata jurucakap baginda Mohamad Munir Bani, yang merujuk kepada solat berjemaah itu di masjid semasa Ramadan.

"Sultan membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak COVID-19, yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya selain bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan."

Pada Khamis, pegawai kesihatan di Malaysia memberitahu bahawa sebanyak 109 kes baru dan dua lagi kematian akibat coronavirus direkodkan, yang membawa jumlah keseluruhan 4,228 kes dan bilangan kematian kepada 67 orang.


Umat Islam mengamalkan penjarakan sosial berikutan COVID-19 semasa menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Bali, Indonesia, 20 Mac 2020. (AP)

Kenyataan berbeza


Presiden Jokowi mengeluarkan perintah untuk sektor awam itu kira-kira seminggu selepas beliau mengumumkan bahawa umat Islam mungkin boleh pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri, namun menerima reaksi keras daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI), pihak berkuasa ulama Islam terkemuka negara itu, pada keesokan harinya.

"Melakukan sesuatu seperti itu semasa pandemik adalah haram [dilarang]," kata Anwar Abbas, setiausaha agung MUI dalam satu kenyataan yang tidak boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Malah, sebelum kenyataan sedemikian dikeluarkan, ramai penduduk  Indonesia memutuskan untuk tidak melakukan perjalanan jauh di tengah-tengah wabak itu. Menjelang akhir Mac, seramai 300,000 orang telah membatalkan tiket kereta api yang ditempah semasa Ramadan, kata jurucakap syarikat keretapi negara PT Kereta Api Indonesia (KAI).

Pelajar kolej di Jakarta, Verayanti, yang hanya mahu dikenali dengan nama itu, berkata dia telah membatalkan tiket keretaapinya ke Yogyakarta yang dijadualkan seminggu sebelum Aidilfitri.

"Saya tidak mahu mengambil risiko. Saya akan pulang ke kampung pada Julai [semasa cuti pengajian] nanti, "katanya kepada BeritaBenar.

Yani, 22, seorang pekerja di Jakarta Pusat yang juga mahu dikenali dengan nama itu, pula memberitahu bahawa dia belum memutuskan sama ada membatalkan tiket keretapi untuk pulang ke kampung halamannya di Purworejo, Jawa Tengah, pada akhir Mei ini.

"Saya mahu pulang ke rumah semasa Lebaran (Aidilfitri) untuk berkumpul dengan keluarga saya, tetapi saya juga takut saya akan membawa penyakit itu ke kampung. Semoga segala-galanya dapat diselesaikan sebelum Lebaran ini,"kata Yani kepada BeritaBenar.


Beratus-ratus orang mengambil peluang jualan Ramadan di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur, 11 Jun 2018. [S. Mahfuz / BeritaBenar]

Langkah pencegahan Malaysia

Di Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, sebuah persatuan yang dianggotai pakar perubatan di seluruh negara, mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu untuk menyeru kerajaan supaya melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang menyekat pergerakan orang ramai semasa pandemik itu dan dijadualkan tamat pada 14 April.

"Penarikan semula atau kelonggaran terhadap PKP yang dibuat terlalu awal akan mensia-siakan semua manfaat yang diperoleh sepanjang empat minggu arahan kekal di rumah dilaksanakan. Peperangan melawan COVID-19 masih jauh dan banyak pengorbanan yang masih dan perlu dilakukan tahun ini," kata akademi itu.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa telah meminta supaya mengkaji dengan lebih lanjut bagi menentukan sama ada bazar Ramadan tidak perlu diadakan atau ‘diubah suai’.

"Sudah tentu, bazar dalam bentuk sedia ada tidak mungkin boleh dibenarkan," katanya sambil merujuk kepada ratusan gerai bazar dalam ruang terhad yang menarik kunjungan ribuan orang. "Tetapi, ia boleh diubah suai - kita tidak boleh menjadi reaksioner dan hanya mengharamkan [nya]."

"Mungkin tahun ini, daripada 50 gerai di satu lokasi, kami akan membenarkan 10 gerai sahaja beroperasi dalam kedudukan berjarak antara satu sama lain."

Pegawai-pegawai di tujuh negeri di Malaysia - Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Kedah - tidak menunggu kajian dilakukan sebaliknya terus mengumumkan larangan mengadakan Bazar Ramadan di negeri berkenaan tahun ini.

"Keputusan itu dibuat dalam usaha memastikan keselamatan rakyat berikutan wabak COVID-19," kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun minggu lalu.

"Peniaga perlu lebih kreatif. Kami tidak boleh membenarkan mereka menjalankan perniagaan di ruang terbuka kerana kami enggan mengambil risiko. Saya harap semua orang dapat bersabar sekarang," katanya kepada pemberita di Seremban.

Farhan Yassin, 32, dari Klang, Selangor, berkata sumber utama pendapatan keluarganya terutamanya adalah semasa jualan pada bulan Ramadan. Tahun ini, bermula dari Februari lalu, keluarganya telah membelanjakan kira-kira RM10,000 (AS$2,300) untuk membeli bekalan untuk jualan Ramadan dan merancang menjual dodol, juadah manis  berasaskan gula kabung dan santan, serta popiah.

"Biasanya, kami menjual di bazar di Stadium Shah Alam, bazar terbesar berhampiran rumah kami di Klang, tetapi tahun ini, kami belum mendapat tempat untuk berniaga," katanya kepada BeritaBenar. "Kami merancang untuk membuka gerai di kawasan kejiranan tetapi dengan perintah pergerakan ini, kami perlu mencari kaedah lain."

Kebimbangan rakyat Bangladesh

Sementara itu di Bangladesh, para pemimpin Islam belum memutuskan sama ada solat Tarawih semasa Ramadan perlu dibatalkan berikutan kebimbangan kesihatan masyarakat mengenai wabak virus itu. Bagaimanapun, pihak berkuasa minggu ini memutuskan untuk mengehadkan saiz solat berjemaah di masjid-masjid tempatan kepada 10 orang atau kurang untuk solat Jumaat.

"Kami sedang membincangkan sama ada perlu mencadangkan supaya solat berjemaah tidak digalakkan di masjid semasa Ramadan," kata Anis Mahmud, ketua pengarah Yayasan Islam Bangladesh kepada BeritaBenar.

"Kami masih ada masa. Kami akan meminta pendapat ulama Islam dan mengadakan mesyuarat khas untuk memutuskan sama ada kami perlu meminta orang ramai bersolat di rumah atau boleh ke masjid," katanya.

Maulana Farid Uddin Masud iaitu pengerusi Jamiatul Ulama Bangladesh, badan ulama Islam negara itu, menyuarakan kebimbangan mengenai berjuta-juta umat Islam yang akan menunaikan solat di masjid sepanjang malam Ramadan dan berjuta-juta orang lagi yang melakukan perjalanan dari Dhaka dan bandar-bandar lain untuk pulang ke kampung halaman bagi merayakan Aidilfitri.

"Untuk membendung coronavirus, kita perlu mengelakkan perhimpunan besar-besaran," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata kerajaan perlu mendapatkan pandangan daripada ulama Islam sebelum mengeluarkan arahan berhubung ibadah di bulan suci itu.

"Tetapi, saya akan menggesa orang ramai supaya tidak pulang ke kampung nenek moyang mereka untuk merayakan Aidilfitri tahun ini," katanya.

Solat Jumaat di Thailand


Di Thailand, negara yang mempunyai majoriti penduduk Buddha, Wisut Binlateh, pengarah Pejabat Sheikhul Islam yang mengawal hal ehwal berkaitan Islam di negara itu, berkata kebimbangan utama organisasinya semasa Ramadan adalah solat Tarawih kerana sesetengah imam telah membenarkan solat Jumaat walaupun terdapat larangan berkaitan berikutan pandemik virus itu.

"Umat Islam boleh menunaikan solat Tarawih di rumah dan dapat melaksanakan ibadah puasa tanpa masalah walaupun adanya langkah-langkah keselamatan pada masa ini," katanya kepada BeritaBenar.

“Bagi ulama yang menentang arahan Sheikhul Islam, kami sedang menimbang untuk memecat imam yang membenarkan masjid mengadakan solat Jumaat dan akan memikirkan hukuman lain," katanya.

Filipina: Kompromi

Di Filipina, pulau Luzon yang menempatkan Manila telah diarahkan menjalani perintah berkurung sejak beberapa minggu lalu, yang menyekat pergerakan berjuta-juta orang semasa pandemic itu. Awal minggu ini, Presiden Rodrigo Duterte, yang bertindak atas cadangan pasukan petugas kesihatan, telah melanjutkan perintah berkurung sehingga akhir April.

Bagi Jackia Lao, penduduk di Manila, perintah itu bermakna dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya Marawi untuk menjalani ibadah Ramadan bersama-sama keluarganya, yang merupakan tradisi tahunan baginya.

"Saya tidak boleh pulang ke Marawi kerana perintah berkurung ini," katanya kepada BeritaBenar.

"Puasa tetap diteruskan. Kami tidak terjejas dan ia tidak dapat menghalang kami kerana ia adalah suatu pengorbanan," katanya, sambil memberitahu bahawa penjarakan sosial akan menjejaskan solat Tarawaih di masjid-masjid di Filipina.


Tia Asmara dan Ronna Nirmala di Jakarta, Hadi Azmi di Kuala Lumpur, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, dan Jeoffrey Maitem serta Mark Navales di Cotabato, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.