Malaysia Bersiap-sedia Hadapi Ancaman Pengganas Ketika Sukan SEA

Hadi Azmi
2017.05.25
Kuala Lumpur
170525-MY-SEAGPOLICE1000.jpg Anggota Polis DiRaja Malaysia dari Pasukan Petugas Khas mengambil bahagian dalam latihan keselamatan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Tenggara 2017 yang juga dikenali sebagai Sukan SEA di Kuala Lumpur, 25 Mei 2017.
Photo: Benar

Pihak berkuasa Malaysia bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang ancaman keganasan menjelang Sukan Sea ke-29 Ogos ini dengan mengadakan siri latihan anti-keganasan, menurut pegawai polis Malaysia pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh berkata Polis Malaysia akan menempatkan anggota Unit Pemusnah Bom, Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan dan juga anggota tugas-tugas am di lokasi-lokasi yang terlibat dalam acara sukan bertaraf antarabangsa tersebut.

“Latihan ini telah diarahkan oleh Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai persiapan dan untuk menguji pelan tindak balas polis daerah sebagai ‘first responder’,” katanya kepada media selepas menyaksikan latihan pertama di Stadium Nasional Bukit Jallil pada Khamis.

Latihan tersebut menyaksikan sekurang-kurangnya 350 anggota dari berbagai unit keselamatan Malaysia terbabit dalam latihan Ex-Rimau 2017 untuk menguji keberkesanan,  perancangan dan tindakan menangani sebarang ancaman.

“Selain ancaman keselamatan, kita juga ada ujian dan pendekatan untuk menangani situasi seperti bahagian bangunan stadium runtuh dan menghadapi masalah kesihatan tetamu VIP,”

Kuala Lumpur pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2001 dan telah dipilih semula menjadi penganjur temasya sukan itu tahun ini setelah tiada negara Asean yang menawarkan diri sebagai tuan rumah.

Kuala Lumpur sebagai tuan rumah mengambil langkah bersiap sedia selepas beberapa siri serangan di Thailand, Indonesia dan Filipina baru-baru ini.

Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.

Dua lelaki Malaysia mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Pasukan khas

Pada Rabu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Zulkifeli Mohd Zin berkata Malaysia telah mewujudkan pasukan khas bagi menangani sebarang ancaman ketika temasya sukan itu.

“Melihat tindakan pengganas sejak kebelakangan ini, kami bimbang jika ada perkara tidak diingini berlaku.

“Langkah keselamatan akan diambil bagi membanteras anasir-anasir yang tidak diingini, dan kami bersiap siaga jika ada ancaman keganasan dengan penubuhan pasukan petugas yang disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Rela dan lain-lain.

“Kami juga mengenal pasti beberapa lokasi tarikan pelancong dengan meletakkan pihak keselamatan di tempat terbabit,” katanya dalam laporan media pada Rabu.

Mengenai latihan anti-keganasan untuk persediaan Sukan Sea, Amar Singh berkata secara keseluruhan, lima siri latihan akan diadakan di empat tempat bagi menghadapi sebarang ancaman ketika temasya antarbangsa itu berlangsung.

Katanya, empat lagi siri latihan akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, Masjid KLCC, Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi dan International Endurance Park di Terengganu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.