Ketidakstabilan politik punca prestasi hambar Malaysia di Sukan SEA Kemboja, kata Menteri
2023.05.25
Kuala Lumpur

Ketidakstabilan politik yang dihadapi Malaysia sejak 2020 merupakan antara punca yang menyebabkan prestasi hambar skuad negara itu dalam Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) baru-baru ini, kata Menteri Sukan semasa menjawab persoalan diajukan oleh pembangkang di Parlimen pada Khamis.
Pemerhati sukan negara bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza mengenai faktor yang membawa kepada kemerosotan prestasi skuad negara itu.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pertukaran tampuk kepimpinan serta perubahan dalam peruntukan belanjawan negara telah mengganggu persiapan atlet dan menjadi antara faktor yang menyebabkan Malaysia merekodkan prestasi terburuk dalam temasya sukan serantau yang diadakan di Kemboja awal bulan ini.
Sambil mengakui bahawa perkara berkenaan bukan satu-satunya punca kegagalan pasukan Malaysia dalam Sukan SEA 2023, Menteri berkenaan berkata masalah ketidakstabilan politik juga telah membawa kepada kelewatan pembayaran gaji serta kekurangan latihan bagi skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Sepanjang empat tahun ini, kita telah bertukar tiga Perdana Menteri dan tiga Menteri Belia dan Sukan... Sejak Julai 2018, menteri ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai hanya 20 bulan untuk membuat persiapan sebelum Langkah Sheraton berlaku, kemudian Reezal Merican selama 18 bulan dan ianya diikuti dengan Faizal Azumu selama 16 bulan.
"Dalam tempoh empat tahun, tiga menteri bertukar dan setiap kali berlakunya peralihan tampuk kempimpinan negara, maka akan adanya pertukaran ahli-ahli majlis sukan, belanjawan dan juga fokus," kata Yeoh semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta menteri itu menjelaskan kenyataan beliau pada satu sidang media beberapa hari lalu bahawa ketidakstabilan politik merupakan punca pencapaian buruk Malaysia di Sukan SEA Kemboja, ketika sesi sidang Dewan Rakyat berlangsung pada Khamis.
Menteri berkata, ianya sangat berbeza dengan pencapaian negara semasa Sukan SEA 2017, iaitu semasa Malaysia menjadi tuan rumah di mana telah berjaya muncul juara keseluruhan, dengan Menteri Belia dan Sukan pada masa itu, Khairy Jamaluddin mempunyai kira-kira 61 bulan untuk membuat persiapan.
Katanya lagi, Belanjawan 2022 juga tidak menyatakan peruntukan untuk Program Podium bagi tahun tersebut sehingga menyebabkan Majlis Sukan Negara terpaksa menyusun semula program persediaan atlet, selain terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih dapat dibayar tanpa tertangguh agar tidak menjejaskan prestasi mereka.
Keadaan itu, menurut beliau berlarutan selama dua bulan sehingga kementerian tersebut berjaya mendapatkan dana dengan memohon kepada Jemaah Menteri.
"Setiap kali kita ada perubahan seperti ini, akan ada elaun dan gaji jurulatih yang tertangguh kerana bajet tidak ada, ini telah memberi kesan kepada latihan mereka, kerana ada yang perlu ke luar negara.
"Saya ada berbincang dengan atlet dan persatuan, mereka menyatakan dalam empat tahun ini, ketika kita semua di sini sibuk berpolitik... negara-negara jiran kita pula maju ke hadapan," kata Menteri kepada sesi Parlimen itu.
Keputusan keseluruhan Sukan SEA di Kemboja yang berlangsung antara 5 Mei dan 17 Mei lalu menyaksikan Malaysia menduduki tempat ketujuh selepas ia hanya memenangi 34 pingat emas, 45 pingat perak dan 96 gangsa, dengan pengkritik sukan menyatakan bahawa ia adalah prestasi terburuk pernah direkodkan Malaysia sepanjang penyertaannya dalam Sukan SEA.
Menurut laporan media tempatan, Yeoh memberitahu satu sidang media pada Jumaat lalu bahawa arena sukan negara telah terkesan dengan ketidakstabilan politik yang melanda Malaysia dalam tempoh lima tahun menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada November lepas.
Malaysia mengalami pertukaran kepimpinan kerajaan sebanyak tiga kali antara 2018 dan 2022 disebabkan pergolakan politik, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat dalam pilihan raya 2018 jatuh pada 2020 akibat satu percaturan politik yang dipanggil Langkah Sheraton.
Percaturan itu menyebabkan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang memimpin negara pada masa itu terpaksa meletakkan jawatan dan digantikan Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya turut meletakkan jawatan selepas setahun memerintah pada 2021, dengan beliau digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob.
Bukan alasan
Kenyataan Yeoh bagaimanapun dibidas bekas Menteri Belia dan Sukan Faizal Azumu, yang memegang portfolio berkenaan ketika zaman pemerintahan Muhyiddin, yang tidak bersetuju ketidakstabilan politik dijadikan alasan prestasi hambar skuad negara pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini..
"Saya tidak setuju ketidakstabilan politik dijadikan alasan. Saya berharap Menteri Belia Dan Sukan berhenti menggunakan alasan yang sama pada setiap masa. Kami akan sentiasa menyokong segala tindakan yang membolehkan prestasi para atlet negara meningkat sambil mengembangkan industri sukan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebook.
Dalaam pada itu, beberapa pemerhati sukan negara menyuarakan pandangan berbeza mengenai faktor yang membawa kepada prestasi skuad negara.
V. Radhakrishnan, Presiden Persatuan Sukan Dodgeball Malaysia berkata ketidakstabilan politik mungkin mempunyai kesan kepada kualiti sukan negara, sebaliknya ia bukannya punca kepada masalah tersebut.
"Kita perlu melihat semula program dan perkembangan sukan di peringkat akar umbi... terdapat begitu banyak faktor lain lagi... Saya setuju bahawa ketidakstabilan politik adalah satu punca, kerana terdapat pemotongan dana, tetapi saya tidak rasa ia adalah punca utama," katanya kepada BenarNews.
Sebaliknya Radhakrishnan meminta kerajaan meneliti dan menganalisa peratusan faktor disebabkan oleh ketidakstabilan politik, isu persiapan dan kegagalan pasukan negara menganalisa pasukan lawan dengan menambah, "ketidakstabilan politik boleh jadi hanya 20 peratus ke 30 peratus, tetapi 70 peratus lagi adalah disebabkan banyak faktor lain."
Zakaria Ab Rahim, bekas pengurus pasukan bolasepak negeri Selangor pula berkata isu pertukaran kerajaan tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana negara-negara seperti Jepun dan Thailand telah menyaksikan lebih banyak perubahan kepimpinan negara mereka sejak beberapa dekad lalu, tetapi masih berjaya mencatat banyak kejayaan dalam bidang sukan.
Beliau yang bercakap dengan BenarNews menyifatkan kenyataan Yeoh sebagai salah dan tidak konsisten dengan berkata pertukaran menteri dan penglibatan ahli politik tidak ada kaitan dengan prestasi sukan negara kerana yang bertanding adalah atlet.
Zakaria mendakwa masalah utama arena sukan negara adalah isu bakat di mana kebanyakan atlet Malaysia masih belum mencapai tahap untuk bertanding di peringkat serantau, selain kelemahan persatuan sukan dalam menguruskan atlet mereka.
"Apa yang dapat disimpulkan disini ialah kelemahan Malaysia di Sukan SEA adalah kerana atlet kita yang bertanding pada Sukan SEA Kemboja belum lagi capai bakat tahap ASEAN, jauh sekali untuk ke pentas Asia.
"Juga kelemahan persatuan-persatuan sukan menguruskan atlet masing-masing. Selagi masalah ini wujud, letak bajet berbilion ringgit dan upah jurulatih terbaik dunia pun Malaysia masih di tahap itu," katanya.