Hukuman Sebat Di Kelantan 'Hanya Untuk Orang Islam' - TPM

Hata Wahari
2017.07.13
Kuala Lumpur
canning.jpeg Polis Syariah Indonesia menyebat seorang lelaki semasa hukuman sebat di hadapan khalayak ramai dilaksanakan di luar sebuah masjid di Banda Aceh, ibu kota Aceh, 18 Sept, 2015.
AFP

Keputusan sebuah negeri di Malaysia untuk meminda undang-undang Islam bagi membolehkan pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak ramai, menerima kritikan kumpulan hak asasi dan penggubal undang-undang pada Khamis tetapi pegawai kanan kerajaan menyatakan bahawa hukuman itu hanya terpakai untuk orang Islam di negeri itu sahaja.

Para penggubal undang-undang di Kelantan, yang ditadbir oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pada Rabu meminda enakmen tatacara jenayah syariah dan meluluskannya, dengan antara pindaan itu membabitkan pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak ramai seperti yang dikehendaki oleh mahkamah syariah.

"Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai butiran pembentangan rang undang-undang dan pindaan itu, namun saya fikir apa yang dilakukan oleh mereka itu haruslah dilihat dalam konteks undang-undang itu terpakai hanya untuk orang Islam di Kelantan sahaja," kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, pindaan itu perlu mendapat perkenan Sultan Muhammad V, raja berperlembagaan negeri itu yang berusia 47 tahun.

Kelantan, satu-satunya negeri daripada 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan yang diperintah PAS iaitu parti berasaskan agama, terletak 436 kilometer (272 batu) di timur laut dari ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Kira-kira 97 peratus daripada 1.68 juta penduduknya adalah umat Islam dan PAS telah menerajui kerajaan negeri itu selama 43 tahun dengan pemerintahannya tidak diganggu gugat sejak 1990.

Pindaan itu, yang diterajui PAS, sedang menguji perlembagaan sekular Malaysia, kata para penyokong hak asasi manusia dan pemimpin kumpulan minoriti semasa memberi maklum balas kepada berita itu yang diumumkan di Kelantan.

"PAS sedang menetapkan trend yang amat berbahaya dengan memperketatkan lagi undang-undang negerinya tanpa mengendahkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara," kata Ti Lian Ker, pengerusi biro keharmonian agama Persatuan Cina Malaysia (MCA) iaitu parti etnik Cina dalam gabungan parti pemerintah Malaysia, dalam satu kenyataan.

Siti Kassim, seorang peguam hak asasi manusia terkemuka, pula memberitahu BeritaBenar bahawa pindaan diterajui PAS itu tidak akan terhenti di peringkat negeri.

"Ini merupakan langkah besar mereka yang seterusnya... ia sedang dijalankan," katanya, yang merujuk kepada usaha PAS untuk memperkenalkan enakmen tatacara jenayah yang lebih tegas pada tahun lepas.

'Selaras dengan agama'

Perlembagaan Malaysia menyediakan dua sistem kehakiman yang unik - dengan kes-kes jenayah ditangani di bawah undang-undang persekutuan dan mahkamah syariah Islam pula mengendalikan kes berkaitan isu agama dan  keluarga seperti perceraian, hak penjagaan dan perzinaan.

Di Kelantan yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan mengamalkan Islam konservatif, di mana tiadanya panggung wayang dan wanita Islam dikehendaki menutup keseluruhan tubuh mereka apabila muncul di khalayak ramai - kecuali muka dan tangan sehingga pergelangan tangan.

Pegawai-pegawai negeri itu telah mengumumkan mengenai peraturan baru di seluruh negeri berkenaan pada Julai 2016 dan berkuat kuasa pada Januari lalu di mana ia mewajibkan pekerja wanita di kedai-kedai komersil seperti restoran makanan segera, pasar raya dan kedai supaya menutup tubuh mereka di tempat kerja.

Malaysia, sebuah negara pelbagai kaum yang mempunyai 32 juta penduduk, dengan kira-kira 60 peratus daripadanya adalah orang Islam, sudahpun mengamalkan hukuman sebat bagi kes-kes Syariah tetapi hanya melaksanakannya di dalam penjara dan tidak pernah berbuat demikian di hadapan  khalayak ramai.

“Bagaimanapun, dengan pindaan ini, hukuman itu boleh dijalankan di khalayak ramai atau penjara bergantung kepada keputusan mahkamah, "kata timbalan menteri besar Kelantan, lapor New Straits Times yang memetik Mohd Amar Nik Abdullah sebagai berkata pada Rabu. "Ini adalah selaras dengan tuntutan agama, dan mengikut Islam,  hukuman itu haruslah dilakukan di hadapan khalayak ramai.”

Undang-undang Syariah sekarang membenarkan hukuman enam sebatan bagi kesalahan melakukan zina, minum alkohol dan melakukan liwat serta tiga sebatan bagi niat untuk melakukan zina. Pada masa ini adalah tidak jelas tentang jenayah yang akan membawa kepada sebatan di hadapan khalayak ramai tetapi pakar undang-undang menyatakan bahawa ia mungkin termasuk zina dan jenayah lain, yang bergantung kepada keputusan mahkamah.

Tahun lalu, PAS menimbulkan ketegangan di seluruh negara apabila memperkenalkan rang undang-undang yang mencadangkan supaya ditambah hukuman-hukuman di mahkamah syariah di seluruh negara, dengan membenarkan hakim mengenakan hukuman di antara 80 hingga 100 sebatan bagi mereka yang didapati bersalah meminum alkohol dan terlibat dalam perlakuan zina.

Hanya orang Islam yang tertakluk kepada undang-undang dan perundangan syariah, termasuk Perdana Menteri Najib Razak, yang menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan langkah yang dicadangkan itu yang dijangka dibahaskan di Parlimen apabila ia kembali bersidang pada bulan ini.

Tetapi, rang undang-undang itu menimbulkan kemarahan kumpulan hak asasi dan penggubal undang-undang yang menyuarakan kebimbangan mereka bahwa ia mungkin bertentangan dengan perlembagaan sekular negara itu.

Mengaibkan, tidak bermaruah

Sisters in Islam, gerakan sivil yang menggalakkan hak wanita dalam kerangka keagamaan, mengutuk pindaan itu yang diluluskan di Kelantan, dan menyatakan bahawa hukuman sebat di khalayak ramai adalah sama seperti "menghakis maruah dan stigmatisasi manusia, berbanding dengan pemulihan."

"Keputusan kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hukuman sebat di negeri itu adalah satu bentuk penghinaan dan pengaiban," kata Sisters in Islam dalam satu kenyataan.

Bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin juga membantah pindaan tersebut, dengan menyatakan Malaysia kini akan mempunyai tarikan pelancong terbaru: hukuman sebatan di khalayak ramai.

"Ini akan menjadi produk pelancongan terbaru Malaysia yang akan dipasarkan di luar negara ... untuk membenarkan orang bukan Islam terutamanya dari negara maju menyaksikan hukuman kuno dan kejam dilaksanakan di negara demokratik dan moden seperti Malaysia," katanya dalam satu catatan blog pada Khamis.

Bagaimanapun, seorang pegawai dari Aceh, wilayah paling barat di negara jirannya, Indonesia, di mana undang-undang Syariah berkuat kuasa dan hukuman sebat di khalayak ramai sering dilakukan berhampiran masjid-masjid sejak 2005, menyokong langkah Kelantan.

"Teras sebatan di khalayak ramai adalah bertujuan agar orang awam menyaksikannya, dan supaya mereka tidak melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama," kata Teungku Faisal Ali, pengarah sebuah piagam Aceh daripada pertubuhan Muslim terbesar dan paling berpengaruh di Indonesia, Nahdlatul Ulama, kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, wakil  kerajaan negeri Kelantan telah melawat Aceh untuk menyaksikan bagaimana hukuman sebat di khalayak ramai dilaksanakan.

Protes dan kritikan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi sememangnya sudah dijangka, seperti yang berlaku di Aceh ketika ia mula berbuat demikian, kata beliau. Tetapi, komitmen daripada semua pihak di wilayah itu akhirnya membolehkan Aceh "melaksanakan hukuman yang dituntut oleh agama kita."



Labid Balang di Kuching, Sarawak, dan Nurdin Hassan di Banda Aceh, Indonesia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.