Hukuman Sebatan Terhadap Dua Wanita Beri Tanggapan Buruk Terhadap Islam, PM Malaysia

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.09.06
Kuala Lumpur, Malaysia
180906-MY-mahathir-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamd bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya, 13 Ogos, 2018. (AP)
[AP]

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad pada Khamis mengecam hukuman sebatan terhadap dua orang wanita di negeri Terengganu awal minggu ini dengan berkata tindakan itu telah mencemarkan imej Islam, sambil turut meminta hukuman yang lebih ringan bagi mengelak berulangnya isu berkenaan.

Kedua wanita itu, masing-masing menerima enam sebatan dengan rotan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan berkaitan dengan dakwaan cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di dataran awam di Terengganu, sebuah negeri yang konservatif.

Sebatan dengan rotan itu dibuat di dalam bilik mahkamah di Mahkamah Tinggi Shariah Terengganu, yang disaksikan oleh lebih 100 orang, termasuk pegawai kerajaan dan wartawan.

"Apa yang penting ialah untuk menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang kejam di mana hukuman dijalankan untuk memalukan orang awam. Ini tidak digalakkan dalam Islam," kata Mahathir dalam video yang disiarkan di laman media sosial Facebook.

Kabinetnya telah memutuskan bahawa hukuman yang dijalankan oleh mahkamah Syariah adalah keras, memandangkan kedua-dua wanita itu adalah pesalah kali pertama, katanya.

"Itulah sebabnya kami berpendapat bahawa walaupun terdapat kes semacam ini, pertimbangan hendaklah diberikan kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukuman yang lebih ringan, sementara kita memberi nasihat dan sebagainya"  menurut Mahathir.

Islam adalah agama yang dominan di dalam negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan kepercayaan. Negara ini mempunyai dua sistem keadilan yang terdiri daripada mahkamah persekutuan dan mahkamah syariah yang berfungsi secara berasingan.

Awang Azman Awang Pawi, seorang ahli sosiologi dengan Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, berkata sebarang perubahan kepada sistem mahkamah syariah Malaysia memerlukan sokongan daripada majoriti kaum Melayu yang beragama Islam.

"Walaupun (hukuman) dianggap sebagai kejam ia tidak mengubah hakikat bahawa ramai umat Islam percaya bahawa ini adalah sebahagian daripada undang-undang syariah," kata Awang.

Pada Selasa, bakal pengganti Mahathir, Anwar Ibrahim, mengkritik hukuman sebat terhadap kedua wanita di Terengganu itu.

"Saya seorang umat Islam, dan saya tidak berkongsi tafsiran itu dan sudah tentulah tindakan seperti itu yang dibuat di khalayak ramai, hukuman sebat tanpa melalui proses keadilan yang betul serta tanpa belas kasihan adalah sesuatu yang tidak diterima oleh rakyat Malaysia," kata Anwar kepada satu sidang media di Filipina.

Anwar, yang memainkan peranan dari sel penjara di dalam membawa Pakatan Harapan kepada kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum 9 Mei, dijangka akan mengambil alih sebagai perdana menteri daripada Perdana Menteri Mahathir Mohamad seperti dijanjikan sebelum kemenangan tersebut.  Anwar mendapat pengampunan Diraja pada Mei lepas atas sabitan kes liwat kedua.

Walaupun Anwar mencabar hukuman itu, kerajaan negeri Kelantan, yang dikuasai oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), berkata ia sedang menimbangkan untuk melaksanakan hukuman sebat di dalam stadium.

Ketua Menteri, Ahmad Yakob berkata, hukuman sebat dibenarkan, berikutan pindaan tahun lalu kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002 untuk membenarkan hukuman itu dijalankan di khalayak ramai.

"Antara cadangan itu diadakan di dewan tertutup, di dalam kompleks masjid atau stadium," kata Ahmad kepada pemberita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.