Sistem Sekolah Pelbagai Aliran Halang Capai Perpaduan Di Malaysia, kata PM
2018.06.29
Kuala Lumpur, Malaysia

Perpaduan di kalangan kumpulan etnik di Malaysia sukar dicapai kerana sistem sekolah pelbagai aliran di negara itu membolehkan sekolah-sekolah berkenaan menggunakan bahasa ibunda etnik dan bukannya bahasa kebangsaan sebagai medium pengajarannya, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Walaupun Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekolah-sekolah vernakular menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil masing-masing untuk masyarakat etnik Cina dan India selain sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu.
"Kita tidak mahu menafikan hak mereka untuk belajar menggunakan bahasa ibunda mereka tetapi memandangkan kita mempunyai tiga sekolah aliran berlainan, adalah sukar bagi negara kita mencapai perpaduan,”kata Mahathir bila ditanya oleh seorang tetamu mengenai keadaan pendidikan di Malaysia semasa satu sesi dialog.
Mahathir, yang tiba di Jakarta pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari, mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di ibu kota Indonesia itu di Kedutaan Malaysia.
Sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berakar umbi daripada penghijrahan besar-besaran kaum Cina dan India dari Tanah Besar China dan India ke Tanah Melayu, yang dijajah British pada abad ke-19, dengan masyarakat berkenaan membangunkan sekolah dan kurikulum mereka sendiri di bawah dasar pecah dan perintah di bawah kerajaan Britain.
Sistem pendidikan masa kini sebahagian besarnya berdasarkan Laporan Razak 1956 yang dilaksanakan oleh menteri pendidikan ketika itu, Razak Hussein.
Beliau telah mencadangkan sukatan pelajaran yang sama di mana sekolah rendah yang terdiri daripada sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar manakala sekolah-sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib.
Sistem itu dilihat sebagai langkah kompromi selepas masyarakat Cina menolak Laporan Barnes pada 1950, yang mengandungi gesaan supaya ditubuhkan sistem sekolah tunggal berasaskan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Mahathir bagaimanapun berkata bahawa kerajaan sememangnya terbuka kepada idea berhubung aliran sekolah tunggal yang menggunakan satu bahasa, sekiranya itu yang orang ramai mahu.
"Kita tidak mampu memansuhkan sekolah vernakular kecuali orang ramai sendiri yang meminta demikian dan mereka bersedia menggunakan hanya satu bahasa," kata Perdana Menteri.
"Sekiranya itu berlaku, perpaduan negara dapat dicapai dengan mudah,” katanya.
Kampus tunggal
Mahathir memberitahu bahawa kerajaan merancang untuk menubuhkan lebih banyak sekolah di mana semua pelajar dari tiga aliran bahasa yang berbeza akan ditempatkan di sebuah kampus tunggal di mana mereka boleh bergaul dengan satu sama lain.
"Oleh itu, terdapat tiga buah sekolah di dalam satu kampus yang menggunakan bahasa ibunda mereka di kelas tetapi untuk aktiviti lain seperti sukan dan perhimpunan pagi, mereka akan bersatu dan menggunakan bahasa Melayu," katanya.
Idea itu dicetuskan Mahathir pada 1997 untuk dilaksanakan di Sekolah Wawasan yang diluluskan oleh kabinetnya pada 1997.
Sekolah Wawasan pertama mula beroperasi pada 2002 di Subang Jaya, di barat Kuala Lumpur dan kini terdapat 5 Sekolah Wawasan di seluruh Malaysia.
Bercakap kepada BeritaBenar, Teo Kok Seong, seorang profesor dalam Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia, bersetuju bahawa sekolah aliran tunggal adalah ideal untuk perpaduan negara.
"Sekolah aliran tunggal adalah baik untuk anak-anak kita kerana mereka akan mula berkawan dari kanak-kanak lagi dan berharap ia berterusan sepanjang hidup mereka," kata Teo.
Bagaimanapun, katanya, langkah menutup sekolah-sekolah vernakular bukanlah sesuatu yang realistik dan beliau menganggapnya sebagai suatu kenyataan yang bahaya.
"Apa yang kita perlukan ialah pembaharuan menyeluruh kepada sistem pendidikan di semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu serta sekolah agama Islam bagi mewujudkan situasi yang memanfaatkan semua pihak yang berkepentingan."
Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dengan majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu diikuti oleh kaum Cina dan India.
Di Indonesia, walaupun negara itu mempunyai etnik minoriti Cina yang berjumlah besar, negara itu menerapkan sistem sekolah aliran tunggal yang menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa tunggal untuk pengajaran.
Di bawah rejim bekas presiden Suharto, kerajaan menghalang budaya Cina ditonjolkan termasuk nama yang berbunyi Cina bagi menyerapkan identiti Cina dengan identiti Jawa-Melayu, penduduk majoriti Indonesia.
Sebaliknya, walaupun penduduk etnik Cina merupakan kaum majoriti, Singapura yang berkongsi sejarah dengan Malaysia telah beralih ke sistem pendidikan berasaskan bahasa Inggeris pada 1987 selepas pendaftaran dan minat orang ramai semakin berkurangan terhadap sekolah-sekolah vernakular.
Negara pulau itu bagaimanapun meminta para pelajarnya supaya mempelajari bahasa ibunda masing-masing sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran sekolah.