Sultan Selangor Murka Mahathir Hina Keturunan Bugis

Hata Wahari
2017.11.02
Kuala Lumpur
171102-my-mahathir620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap kepada penyokongnya semasa perhimpunan anjuran pakatan pembangkang - Pakatan Harapan di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, 14 Oktober 2017.
AFP

Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Mahathir Mohamad di bawah Akta Hasutan atas dakwaan penghinaan terhadap keturunan dan masyarakat Bugis di Asia Tenggara.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu ini, dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 dan apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Tun Dr. Mahathir,” demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Dewan DiRaja Selangor Hanafisah Jais pada Khamis.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bekas perdana menteri yang berusia 93 tahun itu telah dikritik dengan tajam terhadap ucapan beliau semasa perhimpunan pembangkang bulan lalu di mana beliau dilaporkan telah menyifatkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai "lanun Bugis".

Sultan Selangor itu memandang serius ,murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan bekas perdana menteri itu yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBMM) di Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Klepktokrasi yang berlangsung pada 14 Oktober lepas.

“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah menular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal dari golongan lanun, perompak dan penjenayah,” menurut kenyataan dikeluarkan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, “Ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan rasa benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasihah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.

Baginda menegaskan, tindakan Mahathir yang menyebut bahawa etnik Bugis sebagai golongan lanun dan penjenayah dianggap keterlaluan selain boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk masyarakat terhadap etnik itu.

"Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Sultan Selangor turut mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian serta perpaduan kaum.

Fakta sejarah membuktikan bahawa Kesultanan Selangor berketurunan Bugis merupakan pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama serta keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara.

"Dr. Mahathir sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis," kata kenyataan tersebut.

Masyarakat Bugis pada asalnya adalah pelaut yang berasal dari Indonesia, dan berjaya menubuhkan kesultanan di semenanjung Malaysia beratus tahun dahulu.

Keturunan Bugis Malaysia dianggap sebagai sebahagian daripada majoriti Melayu, yang membentuk lebih daripada separuh jumlah penduduk Malaysia yang hampir 33 juta orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.