'Pemimpin Kerohanian' Pemberontak Selatan Thailand Meninggal Dunia: Sumber
2017.01.17
Pattani, Thailand

Seorang lelaki, yang dianggap pihak berkuasa Thailand sebagai tokoh ideologi utama dalam pemberontakan Selatan Thailand, meninggal dunia dalam buangan di Malaysia.
Menurut sumber-sumber Tentera Thailand, Sapae-ing Baso adalah pemimpin de facto Barisan Revolusi Nasional (BRN) amat berahsia, iaitu kumpulan pemberontak terbesar dan paling lengkap bersenjata yang telah melancarkan konflik pemisah selama beberapa dekad di kawasan sempadan Selatan Thailand yang majoritinya penduduknya beragama Islam.
Pada November lalu, beliau dinamakan sebagai pengerusi majlis pentadbir BRN, Dewan Pimpinan Parti, kata sumber keselamatan Thailand kepada BeritaBenar pada masa itu, dengan membocorkan senarai ahli DPP yang turut mengandungi nama Sapae-ing.
Bekas pengetua sebuah sekolah Islam di wilayah Yala di Selatan Thailand, Sapae-ing meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis di Malaysia pada 10 Jan, kata seorang daripada tujuh anaknya kepada BeritaBenar pada Selasa. Menurut laporan Bangkok Post, Sapae-ing Baso (yang turut dikenali sebagai Safie Baso oleh pegawai Thailand) yang berusia 81 tahun meninggal dunia di negeri Terengganu di Malaysia.
Dalam satu langkah yang mengejutkan, Perdana Menteri Thailand dan pemimpin junta Prayuth Chan-o-cha pada Ahad mengucapkan takziah di atas kematian Sapae-ing dan malah, menawarkan bantuan kepada keluarganya yang masih tinggal di Selatan Thailand, untuk membawa pulang jenazah beliau, lapor Bangkok Post.
Sehari kemudian, beratus-ratus orang yang berkabung hadir pada majlis solat jenazah ghaib Sapae-ing di sekolah lamanya di Yala iaitu Sekolah Yayasan Thammawittaya, kata anaknya, Salma Baso.
"Saya diberitahu bahawa bapa saya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis pada pagi 10 Januari di Malaysia, jadi, saya beritahu mengenainya kepada guru-guru di Yayasan Sekolah Thammawittaya .... Alumni sekolah bersetuju untuk mengadakan solat jenazah ghaib. Pihak Tentera juga menghubungi kami untuk mendapatkan pengesahan berhubung kematiannya,” kata Salma kepada BeritaBenar di rumahnya di wilayah Pattani.
Berpengaruh
Menurut sumber-sumber Tentera Thailand yang masih aktif dan sudah bersara, Sapae-ing dianggap sebagai "pemimpin kerohanian" di kalangan pemberontak Selatan. Dia melarikan diri ke negara jiran, Malaysia, pada 2004 apabila pihak berkuasa Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadapnya bagi aktiviti yang didakwa berkaitan dengan pemberontak.
"Tokoh ideologi utama adalah Sapae-ing Baso. Walaupun sudah berusia, ideologinya mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan penuntutnya yang aktif di Selatan, " kata pemimpin tentera yang sudah bersara, Leftenan Jeneral Nanthadej Meksawat, yang merupakan bekas ketua operasi khas di selatan Thailand, kepada BeritaBenar pada Mac 2015, sebelum Thailand memulakan perbincangan tidak rasmi dengan pemberontak, yang merupakan inisiatif yang diusahakan oleh Malaysia.
BRN adalah satu daripada beberapa kumpulan pemberontak dan puak Selatan yang diwakili dalam MARA Patani, satu panel yang mewakili pemberontak dalam perbincangan damai tinjauan dengan kerajaan Thailand. Tetapi, tidak semua daripada mereka - terutamanya ahli tegar BRN – bersetuju dengan usaha untuk berunding bagi menamatkan pertempuran yang telah membunuh lebih 6,700 orang di Selatan Thailand sejak 2004.
Pada Selasa, jurucakap MARA yang berpejabat di Malaysia, Abu Hafiz Al-Hakim, telah mengeluarkan kenyataan bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Sapae-ing, yang dikenali sebagai Syafi'i bin Abdul Rahman di Malaysia.
"Kami berasa amat sedih dengan kehilangan pejuang handalan dan pemimpin pendidikan ini yang telah banyak menyumbang dan berkorban demi agama, bangsa dan negara," kata Abu Hafiz.
"Kami berdoa semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan diletakkan di tempat tertinggi di kalangan para nabi, syuhada dan orang soleh. Ameen. "
'Ada ahli BRN yang mahukan keamanan'
Semasa mengulas berita kematian Sapae-ing, Jeneral Aksara Kerdpol, ketua perunding Thailand dalam perbincangan tidak rasmi itu berkata, pemergian beliau boleh menarik lebih ramai ahli BRN untuk menyokong rundingan itu.
"Ia boleh menggalakkan lebih ramai ahli BRN untuk menyertai rundingan damai kerana ada anggota BRN yang mahukan keamanan," kata Aksara kepada pemberita pada Ahad, menurut media tempatan.
Tetapi, menurut seorang pegawai keselamatan, kematian Sapae-ing sebenarnya boleh mendorong lebih banyak keganasan oleh pejuang tegar BRN.
"Kesan jangka pendek yang akan berlaku adalah lebih banyak serangan dan keganasan oleh sayap tentera BRN kerana mereka memerlukan sokongan moral dan mahu menunjukkan potensi tidak terjejas mereka berikutan kehilangan seorang pemimpin," kata pegawai itu kepada BeritaBenar dengan meminta namanya tidak disiarkan.
"Dalam jangka masa panjang, saya rasa perbalahan kuasa akan berlaku dalam kalangan tokoh utama. Terdapat perpecahan dalam BRN, terutamanya selepas rundingan damai dimulakan pada 2013. Ada yang mahu melibatkan diri sepenuhnya dalam perbincangan itu tetapi beberapa orang yang lain mahu menentang kerana mereka fikir mereka mempunyai kelebihan, "katanya, yang merujuk kepada pusingan awal rundingan damai rasmi, yang terhenti pada Disember 2013 selepas ia dilaksanakan oleh pimpinan kerajaan awam.
Seorang pemberontak, yang turut bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata, Sapae-ing merupakan "pemimpin kerohanian sejak sekian lama" BRN.
"Akan ada penggantinya. Tunggulah dan anda akan lihat adanya langkah berani dan dasar-dasar baru BRN, "kata pemberontak itu.
Penafian anak lelaki
Bagaimanapun, anak Sapae-ing, menafikan bapanya adalah seorang pemimpin pemberontak.
"Pertama sekali, media tidak boleh melabelkan bapa saya sebagai pemimpin BRN kerana beliau bukan sebegitu, sepertimana yang didakwa. Keluarga dan penduduk kampung kami boleh menjamin [tentang perkara ini], "kata Salma kepada BeritaBenar.
"Cubaan untuk menyelesaikan masalah Selatan Thailand tidak akan berjaya jika kerajaan terus memikirkan bahawa Spa-in Basoh adalah pemimpinnya, kerana ia adalah amat salah. Tetapi, saya akui bahawa kami belum menjelaskan tentang perkara ini atau bercakap kepada media ..., "katanya sambil memberitahu bahawa bapanya meninggalkan seorang isteri dan sembilan anak yang hidup secara aman di Yarang, sebuah daerah di Pattani.