Polis Malaysia Tahan Enam Rakyat Thailand, Rampas Senjata dan Bahan Letupan

Hareez Lee & Mariyam Ahmad
2018.02.05
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
180205-MY-TH-arrests-620.jpg Seorang anggota dari unit skuad bom Malaysia semasa mengambil bahagian dalam latihan keselamatan di Kuala Lumpur, 20 Julai, 2017.
[AP]

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin berkata, polis berjaya menemui bahan letupan, bahan pembuatan bom, senjata api, peluru dan sebilangan kecil methamphetamine atau syabu semasa operasi hujung minggu di negeri Kelantan, dengan penahanan enam rakyat Thailand.

Kesemua suspek, berusia antara 19 hingga 55 tahun, ada kaitan persaudaraan, termasuk dua pasangan suami isteri, dan mereka berasal dari Selatan Thailand yang kini dilanda pergolakan, menurut polis.

Mereka ditangkap dalam dua serbuan di dua buah rumah di Ketereh semasa operasi pada pagi Sabtu lalu. Ketereh adalah sebuah bandar yang terletak di sempadan Kelantan dan Selatan Thailand.

"Siasatan pihak polis mendapati bahan letupan dan senjata yang ditemui itu tidak mempunyai kaitan dengan Daesh dan kami percaya bahawa mereka mahu menggunakan bahan letupan untuk perlindungan diri (dari pihak berkuasa)," kata Ketua Polis Negeri, Hasanuddin Hassan, menggunakan istilah yang berbeza bagi kumpulan ekstremis Negara Islam. "Kami juga percaya senjata itu digunakan oleh suspek untuk perlindungan kerana mereka terlibat dalam pengedaran dadah."

Keenam-enam mereka dipercayai memasuki Malaysia secara haram dan mula menyewa rumah pada pertengahan tahun lepas, kata Hasanuddin. Suspek ditahan reman sehingga 10 Feb ini.

Sepasukan anggota daripada Jabatan Narkotik Polis Negeri telah menyerbu rumah pertama pada kira-kira pukul 2.30 pagi Sabtu, dan menahan pasangan suami isteri, berusia 23 dan 19 tahun, bersama seorang lelaki berumur 39 tahun. Polis menemui tiga pucuk pistol dan beberapa komponen membuat bahan letupan termasuk papan litar elektronik, bateri, sulfur dan mercun, bersama dengan methamphetamine [syabu] bernilai RM150 (AS$38.50).

"Unit pelupusan bom Polis Kelantan telah dikerahkan untuk membuat pemeriksaan keatas bahan letupan untuk membuat bom buatan sendiri," kata Hasanuddin.

Dalam serbuan kedua iaitu pada kira-kira jam 4.40 pagi, sepasang suami isteri, dan seorang wanita berusia antara 31 dan 55 tahun telah ditahan bersama empat senjata, 164 kelongsong peluru, komponen membuat bom dan methamphetamine [syabu] bernilai RM100 (AS$25.70), demikian menurut Hasanuddin.

"Kami percaya barangan yang disita itu diseludup melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan," katanya.

"Senjata disewa untuk orang lain"

Pihak polis percaya senjata yang diseludup ke Malaysia itu dibeli dengan harga antara RM5,000 (AS$1,283) dan RM6,000(AS$1,539) setiap satu, kata Hasanuddin.

"Kami juga percaya yang mereka menyewakan senjata itu kepada penduduk tempatan, tetapi masih menyiasat sama ada senjata-senjata berkenaan digunakan dalam aktiviti penyeludupan dadah atau kegiatan jenayah lain," katanya.

Pegawai keselamatan di Thai Deep South berkata enam orang tinggal di Kelantan secara haram selama hampir setahun dan senjata-senjata berkenaan berkemungkinan dibeli dan dibawa masuk melalui rentas sempadan dengan menggunakan Sungai Kolok untuk ke Kelantan.

Sempadan Malaysia-Thailand meliputi negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis memang terkenal dengan kegiatan penyeludupan yang melibatkan dadah, senjata dan manusia.

Selatan Thailand yang juga dikenali sebagai ‘Deep South’ menyaksikan hampir 7,000 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam keganasan antara puak pemberontak Melayu Islam dengan kerajaan sejak tahun 2004.

Sejak tahun 2015, kerajaan junta tentera Thailand telah mengadakan perbincangan dengan MARA Patani, sebuah panel yang mendakwa mewakili kesemua kumpulan pemberontak di wilayah itu.

Tetapi rundingan yang difasilitasikan oleh Malaysia, gagal menghasilkan gencatan senjata terhad yang dilihat sebagai langkah pertama yang penting untuk mencari penyelesaian dalam konflik yang melibatkan bahagian selatan negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.