Presiden Wanita Melayu Pertama untuk Singapura

Hata Wahari
2017.09.13
Kuala Lumpur
170913-my-halimah620.jpg Halimah Yacob mengisi borang sebagai calon Presiden Singapura, 13 Sept 2017.
[Ihsan Halimah Yacob]


Republik Singapura mendapat Presiden wanita pertama,  bangsa Melayu kedua, apabila Pejabat Pilihan Raya Singapura mengumumkan bahawa Halimah Yacob adalah calon yang layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden negara itu pada Rabu.

Halimah, 63, akan mengangkat sumpah jawatan itu dan menjalankan tugas-tugas Presiden mulai hari Khamis.

Pegawai Pilihan Raya Singapura Ng Wai Choong mengumumkan bahawa Halimah, yang telah menyerahkan borang pencalonan pada Rabu, dipilih sebagai Presiden Republik Singapura setelah mendapatinya sebagai satu-satunya calon yang layak.

Dua lagi calon Melayu iaitu Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan yang kedua-duanya merupakan ahli perniagaan didapati tidak layak untuk bertanding memandangkan mereka tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2017 yang telah di khaskan untuk warganegara yang berbangsa Melayu.

Salleh dan Farid tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Akta Pilihan Raya Presiden negara itu yang menetapkan mana-mana calon yang tidak pernah memegang jawatan dalam perkhidmatan awam perlu mempunyai ekuiti perniagaan melebihi S$500 juta (RM1.5 bilion).

Halimah yang merupakan bekas Speaker Parlimen, mencipta sejarah sebagai Presiden wanita pertama Singapura dan Presiden Melayu kedua selepas Presiden pertama negara yang mempunyai penduduk seramai 5.5 juta orang, Yusof Ishak dilantik sebagai Presiden pada tahun 1965, iaitu semasa negara berkenaan mencapai kemerdekaan selepas berpisah dengan Malaysia.

Yusof menjadi Presiden Singapura dari 1965 hingga 1970 dan wajah beliau masih menghiasi wang kertas negara berkenaan.

Presiden untuk semua

Halimah memberi ucapan ketika diumumkan sebagai Presiden yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Singapura.

"Saya presiden untuk semua. Walaupun tiada pilihan raya, tanggungjawab saya bertugas untuk berkhidmat kepada rakyat tetap sama.”

“Presiden Pertama merupakan Presiden Yusof Ishak. Saya merupakan Presiden kedua. Saya berasa ini menunjukkan bahawa di Singapura, kita memberi peluang kepada semua tidak kira bangsa atau agama. Dan ini adalah satu contoh yang baik bagi Singapura,” tegasnya.

Beliau memberitahu, di Singapura sekiranya diberi peluang dan mempunyai sokongan rakyatnya, seseorang itu boleh dipilih tidak kira bangsa.

“Saya juga merupakan Presiden wanita pertama di Singpura. Dan saya rasa tentu sekali ramai di kalangan wanita kita berasa gembira. Pada masa yang sama, ia menunjukkan wanita boleh meningkat ke mana sahaja taraf dan kedudukan selagi mereka mempunyai kemahuan, selagi mereka diberi peluang,” ujar beliau.

Halimah menegaskan, ini adalah sesuatu prinsip yang baik bagi Singapura dan memanggil semua rakyat memberi sokongan sewajarnya.

“Sekarang adalah masa kita memusatkan fokus kita kepada bagaimana untuk membina Singapura supaya ia menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju yang dapat memberikan lebih banyak dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat kita,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penyokongnya dari pelbagai latar belakang sosial negara itu yang hadir untuk meraikan kejayaan beliau.

“Selama dua minggu kebelakangan ini, saya telah banyak berjumpa penduduk Singapura daripada pelbagai latar belakang, yang muda hingga warga emas, yang banyak memberikan sokongan,” kata wanita itu.

Pakar geo-strategis dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan ketika diminta mengulas mengenai Halimah menjelaskan yang pemilihan wanita berkenaan sebagai presiden adalah isyarat bahawa kerajaan Singapura yang diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) menghargai kumpulan minoriti iaitu Melayu dan wanita.

“Ramai rakyat Singapura teruja dengan pelantikan Halimah dan senario seperti ini akan memberi manfaat kepada imej PAP,`` katanya kepada BeritaBenar pada Rabu

Sementara Perdana Menteri Singapura, Lee  Hsien Loong dalam satu kenyataan memberitahu dalam satu perbualan telefon bahawa beliau telahpun mengucapkan tahniah kepada Halimah.

“Beliau akan menggunakan pengalamannya untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura dari semua latarbelakang dan menjuarai keperluan warga pekerja dan kumpulan yang kurang upaya,” katanya.

Tegas beliau, jawatan Presiden merupakan tunggak utama sistem politik Singapura, simbol pelbagai kaum serta agama. Beliau yakin Halimah akan memegang tugasannya dengan baik.

“Saya yakin bahawa Halimah akan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh iltizam dan beliau akan mengangkat sumpah jawatan esok serta berharap semua pihak akan menyokongnya sebagai Presiden,`” katanya.

Sementara itu, Salleh dan Farid, calon yang tidak layak untuk bertanding juga mengucapkan tahniah kepada Halimah.

Dalam pada itu, ketua pembangkang Malaysia Wan Azizah Ismail berkata, pemilihan Halimah sebagai Presiden ke-lapan Singupura ke jawatan itu adalah satu peristiwa penting di dalam demokrasi di Asia Tenggara.

"Bagi pihak Parlimen Malaysia dan Pakatan Harapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden. Pemilihan Puan Halimah sangat bersejarah kerana beliau merupakan Presiden wanita pertama Singapura, dan yang kedua dari masyarakat Melayu,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.