Singapura Akan Gantung Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Pada 27 April

Pihak berkuasa Singapura telah memaklumkan mengenai tarikh hukuman mati itu kepada keluarga Nagaentharan Dharmalingam pada Rabu.
Suganya Lingan & Nisha David
2022.04.20
Kuala Lumpur
Singapura Akan Gantung Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Pada 27 April Poster gambar Nagaenthran Dharmalingam dipegang oleh seorang aktivis yang menyertai sekumpulan rakannya menghantar petisyen pengampunan kepada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur, 9 Mac, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang rakyat Malaysia dengan masalah kekurangan upaya intelek yang telah disabitkan bersalah kerana mengedar dadah di Singapura akan menjalani hukuman gantung pada minggu hadapan setelah gagal dalam rayuan terakhirnya untuk dibebaskan, kata kakak lelaki tersebut pada Rabu.

Rancangan pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaentharan Dharmalingam, yang didapati bersalah kerana menyeludup dadah jenis heroin seberat 42.72 gram pada tahun 2009, telah menerima kritikan keras dari aktivis hak asasi antarabangsa.

Kakak Nagaentharan, Sarmila memberitahu BenarNews bahawa keluarga mereka menerima makluman mengenai perkara itu pada awal Rabu, dan mereka akan bertolak ke republik berkenaan untuk menemui Nagaentharan sebelum hukuman dijalankan terhadapnya.

"Kami tidak dapat menerima perkara ini. Tetapi kami sudah buat segala yang terdaya," kata wanita itu, yang kedengaran amat dukacita dengan perkembangan tersebut.

Nagaentharan disabitkan bersalah di mahkamah Singapura di bawah Akta Salahguna Dadah kerana cuba menyeludup masuk 42.72 gram (amaun kira-kira tiga sudu makan) dadah Diamorphine (heroin) yang dilekatkan di pahanya ketika memasuk Singapura.

Undang-undang negara tersebut menetapkan hukuman mati ke atas mana-mana individu yang didapati menyeludup masuk dadah melebihi 15 gram ke dalam negara itu.

Keluarga lelaki itu telah membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah beberapa kali, serta telah cuba memohon pengampunan untuk Nagaentharan, tetapi telah ditolak buat pertama kali pada 1 Jun 2020 oleh pejabat Presiden Singapura yang menyatakan bahawa ia tidak mengubah keadaan selepas pendengaran terakhir kes di mahkamah pada 31 Mac lepas.

Nagaentharan yang berusia 21 tahun ketika ditahan pada 2009 dikatakan hanya mempunyai tahap IQ 69 - satu paras yang diakui antarabangsa sebagai satu bentuk kecacatan.

Dalam perbicaraan kesnya, peguambela M. Ravi telah berhujah bahawa Nagaentharan tidak berupaya untuk membuat keputusan sendiri disebabkan oleh tahap IQ yang lemah.

Mahkamah bagaimanapun telah menolak hujah tersebut sebagai "tidak mempunyai sebarang merit".

M. Ravi pada Rabu berkata bahawa semua warga Singapura akan turut menjadi pembunuh pada Rabu depan sekiranya hukuman mati itu dijalankan atas nama mereka.

"Saya baru menerima berita yang menyedihkan bahawa Nagaentharan akan dihukum gantung pada Rabu depan. Negara Singapura tidak akan mampu untuk pulih daripada keaiban yang akan dihadapinya di peringkat antarabangsa kerana menggantung seorang manusia yang mempunyai kekurangan upaya intelek.

“Sejak awal kes ini lagi semua perkara yang berlaku sudah tidak betul. Waima seorang pakar psikiatri kerajaan juga mengakui dalam perbicaraan bahawa Nagaentharan mempunyai masalah kekurangan daya fikiran," tulis peguam itu di laman Facebooknya.

Tiada kemudahan penilaian psikiatri

Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) dan Transformative Justice Collective (TJC), dua organisasi yang memperjuangkan isu hak asasi dan begitu vokal mengenai kes Nagaentharan, meluahkan rasa terkejut mereka dengan keputusan kerajaan Singapura untuk melaksanakan hukuman gantung terhadap lelaki itu di dalam bulan Ramadan.

"Sehingga ke hari ini kerajaan Singapura tidak menyediakan kemudahan penilaian psikiatri bebas untuk Nagaentharan dan menolak isu psikosis hanya berdasarkan kenyataan dan maklumbalas yang diberikan Perkhidmatan Penjara Singapura.

“Memberikan penilaian psikiatri yang bebas terhadap Nagaentharan pada tahap ini tidak akan mempunyai sebarang prejudis kepada negara itu, bahkan ia akan menunjukkan bahawa Singapura mengambil serius kewajipannya di bawah Perkara 12 Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu mengambil langkah secukupnya untuk memberikan orang kurang upaya akses kepada bantuan yang diperlukan mereka dalam melaksanakan hak perundangan mereka.

"ADPAN dan TJC memanggil kerajaan Singapura supaya menghentikan hukuman ini dan akur kepada undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mengenai hukuman mati terhadap individu yang mempunyai masalah kurang upaya intelek atau upaya psikososial.

“Kami juga mengulangi gesaan supaya Singapura menghapuskan hukuman mati di negara itu dan mengenakan moratorium ke atas semua hukuman mati yang masih belum dilaksanakan," kata kenyataan media yang dikeluarkan dua organisasi tersebut.

Aktivis hak asasi Singapura, Kokila Annamalai, yang berhubung rapat dengan keluarga Nagaentharan, telah menulis di Facebook satu siri penulisan yang menyayat hati mengenai keadaan emosi Nagaentharan dan keluarga itu.

"Adik Nagen, Navin, telah melawatnya tengahari tadi. Dan Nagen memberitahu bahawa dia amat berterima kasih kepada semua yang berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan nyawanya, dan menunjukkan kepadanya bahawa dirinya adalah berharga.

“Navin menyatakan bahawa Nagen berasa ia adalah sesuatu yang tidak dapat diterima untuk menghukum mati seseorang di bulan Ramadan. Nagaentharan juga mengenang kembali kenangan ketika notis hukuman gantung terhadapnya yang dihantar buat pertama kali kepada keluarga semasa perayaan Deepavali, dan kini mereka menerimanya di bulan Ramadan pula.

“Ia seperti satu kekejaman yang ditambah ke atas situasinya yang sudah sedia buruk. Dia amat kecewa bahawa keluarganya terpaksa menghadapi kesedihan kerana hukuman mati ke atasnya dijalankan pada waktu yang sepatutnya membawa ketenangan, keampunan dan pembangunan rohani," tulis aktivis itu.

Beliau menambah bahawa Nagaentharan berazam untuk menjadi seorang aktivis yang berjuang membela mereka yang terpinggir sekiranya dia dibebaskan.

Kes Nagaentharan telah menarik perhatian antarabangsa termasuk dari tokoh terkenal seperti hartawan Richard Branson dan selebriti Stephen Fry, serta badan hak kemanusiaan seperti PBB, Amnesty International dan Kesatuan Eropah, yang menggesa supaya Nagaentharan dilepaskan.

"Penggunaan hukuman jenis ini untuk menghalang aktiviti penyeludupan dadah bukan sahaja haram di bawah undang-undang antarabangsa, malah ia juga adalah tidak berkesan. Tiada bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa hukuman mati memberikan kebaikan selain daripada sekadar menjadi hukuman ke arah menghapuskan penyeludupan dadah," kata sekumpulan pakar Hak Asasi Manusia PBB mengenai kes itu pada November lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.