Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah Malaysia Satu 'Helah,' Dakwa Pengkritik

S. Adie Zul
2016.06.02
Kuala Lumpur
160602-my-sharia620 Wanita Singapura Kartika Sari Dewi Shukarno semasa hadir di Mahkamah Syariah Kuantan, Pahang, Malaysia. Beliau telah didenda 5,000 ringgit (AS$1,412) dan dihukum enam sebatan selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah kelab malam tempatan, 20 Julai 2009.
AFP

Langkah untuk mengukuhkan sistem mahkamah syariah di Malaysia adalah satu helah politik untuk meraih undi oleh pihak parti pemerintah dengan mengalihkan perhatian daripada isu mendesak, kata pengkritik Malaysia.

Terdapat kebimbangan bahawa langkah itu, jika dilaksanakan, boleh menghakis hak asasi manusia dan menjejaskan perpaduan negara.

Gabungan parti Barisan Nasional menggunakan perkara berkenaan untuk mengalihkan perhatian awam dari skandal kewangan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyelubungi Perdana Menteri Najib Razak atas dakwaan rasuah, atau isu-isu lain yang telah mendominasi tajuk utama domestik, kata ketua sebuah kumpulan masyarakat sivil terkenal.

"Tiba-tiba, perhatian orang awam dan pembangkang menjurus kepada cadangan rang undang-undang, dan kita tiba-tiba berhenti bercakap mengenai dakwaan salah urus dalam 1MDB dan salah laku lain dalam kerajaan," Sevan Doraisamy, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), memberitahu BeritaBenar.

Hasilnya, Sevan berkata, rakyat Malaysia kini berdebat mengenai cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta tahun 1965, sekaligus menandakan satu langkah pertama ke arah memperkenalkan kod kanun keseksaan Islam yang dikenali sebagai Hudud. Ia menetapkan hukuman termasuk amputasi tangan kerana mencuri dan rejam untuk hubungan seks haram.

Undang-undang sedia ada memberikan kuasa keatas negeri di Malaysia untuk menubuhkan mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa ke atas undang-undang keluarga Islam dan harta milik orang Islam serta pelbagai perkara lain yang tidak dilindungi oleh kod kanun jenayah di negara itu.  Pindaan yang dicadangkan akan memberi kuasa hakim syariah mengenakan hukuman sehingga 100 kali sebatan kerana berzina dan sehingga 80 sebatan kerana minum arak, menurut sebuah  kumpulan NGO Malaysia.

"Isu ini tidak boleh dilabel sebagai isu Islam lawan orang bukan Islam ataupun isu hukum hudud, sebaliknya perlu dilihat sebagai inisiatif untuk menambah baik Mahkamah Syariah sebagai satu sistem kehakiman yang diiktiraf oleh Perlembagaan," akhbar tempatan Utusan Malaysia memetik Yusri Mohamed, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang penyokong rang undang-undang itu, sebagai berkata minggu ini.

'Satu gimik’

Debat itu didorong oleh langkah seorang menteri kabinet Barisan Nasional minggu lalu untuk mempercepatkan pindaan yang dicadangkan dalam perbahasan parlimen, yang telah dibuat oleh parti berasaskan agama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Menurut Chong Eng, seorang ahli politik pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), langkah itu adalah "gimik" oleh Barisan Nasional untuk memenangi sokongan pada pilihan raya akan datang. Ini akan dijadikan modal semasa mengisi dua kerusi Parlimen di Selangor dan Perak, yang telah dikosongkan apabila kedua-dua penyandangnya terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak bulan lepas.

"Saya mengesyaki bahawa PAS telah menjalinkan kerjasama tertentu dengan BN untuk meneruskan  pertempuran, yang semua mengetahui bahawa mereka sedang berjuang dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil," kata Chong Eng kepada BeritaBenar.

DAP dan PAS adalah rakan kongsi dalam pakatan pembangkang sebelum ini, tetapi berpecah tahun lalu apabila berlaku persengketaan melibatkan usaha pihak Islam untuk melaksanakan hudud di negeri utara semenanjung Malaysia, Kelantan.

Ancaman fabrik negara?

Walaupun penyokong rang undang-undang itu mengatakan bahawa hukuman yang digariskan, hanya melibatkan orang Islam, namum pengkritik lain memberi amaran bahawa ia boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, membahagikan negara itu, dan meninggalkan kesan kepada hak asasi manusia Malaysia.

Dalam temu bual dengan The Star Online, seorang bekas ketua polis negara pada Khamis mencadangkan agar PAS menggunakan pindaan rang undang-undang syariah itu sebagai sebahagian daripada dorongan jangka panjang untuk melaksanakan hudud di seluruh negara.

“Ini bukan petanda baik. Ia boleh menjejaskan integrasi nasional. Saya rasa kerajaan perlu tegas dan menekankan bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan, " kata bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor kepada akhbar itu.

"Ini adalah masalah besar dan ... semua rakyat perlu diberi layanan yang sama di bawah undang-undang, "katanya.

Sementara itu, kumpulan feminis Malaysia, iaitu Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kualiti Jantina (JAG), mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam menggubal pindaan undang-undang yang dicadangkan itu.

"Kami secara khusus bimbang bahawa pindaan boleh membawa kepada kemerosotan yang ketara terhadap hak asasi manusia," kata JAG. "Kami berpendapat bahawa undang-undang [syariah] telah digunakan dengan cara yang berat sebelah, dan sering menjadi mangsa ialah golongan minoriti dalam masyarakat kita."



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.