Lima Negara Adakan Latihan Ketenteraan di Perairan Berhampiran Malaysia Bulan Ini

Latihan udara dan laut itu mengambil tempat di perairan antarabangsa tetapi berada dalam lingkungan zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut Cina Selatan.
Staf BenarNews
2022.03.18
Lima Negara Adakan Latihan Ketenteraan di Perairan Berhampiran Malaysia Bulan Ini Gambar fail menunjukkan kapal Australia HMAS Toowoomba dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Lekir semasa sesi Latihan Bersama Shield 2018. [Ihsan Jabatan Pertahanan Australia]
Photo: Benar

Pasukan tentera dari Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom mengambil bahagian dalam satu latihan tahunan yang dinamakan Bersama Shield 2022 bermula 19 Mac ini sehingga 1 April, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Angkatan Bersama tentera Malaysia.

Latihan berkenaan, yang juga dirujuk sebagai BS22, diadakan dalam kerangka kerjasama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) - yang merupakan satu siri perjanjian kerjasama pertahanan yang dimulakan pada tahun 1971 antara lima negara Komanwel tersebut. Nama eksesais tersebut diambil sempena perkataan bahasa Melayu 'Bersama' sempena kebersamaan negara-negara berkenaan.

Ia akan membabitkan latihan di udara dan laut, dengan kebanyakannya mengambil tempat di perairan antarabangsa tetapi berada dalam lingkungan zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut Cina Selatan, kata kenyataan tersebut tanpa memberikan butiran lanjut.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia juga telah mengeluarkan satu notis memberikan peringatan mengenai penutupan Wilayah Maklumat Penerbangan (Flight Information Region) Kuala Lumpur dan Singapura sewaktu "tempoh tegang aktiviti udara" di antara 24 Mac dan 31 Mac depan.

Eksesais bersama antara negara itu telah diadakan setiap tahun sejak 2004.

Siri eksesais pada tahun lepas yang dipanggil Bersama Gold 2021 sempena ulangtahun ke-50 FPDA telah diadakan secara maya sebahagiannya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Bahagian latihan yang dibuat di lapangan termasuk latihan serangan anti-udara dan anti-kapal selam, serta tembakan senjata dan pergerakan. Sejumlah 2,600 anggota, sepuluh buah kapal laut, sebuah kapal selam, enam buah helikopter maritim, tiga pesawat peronda laut, 25 pesawat pejuang tempur, dua pesawat sokongan, dan sebuah pesawat kawalan dan pemerintahan telah terlibat dengan eksesais tersebut.

FPDA adalah kerjasama pertahanan yang paling lama telah wujud di benua berkenaan, dan kini ia turut merangkumi operasi bersama bagi melawan aktiviti pelanunan serta aktiviti bantuan kemanusiaan dan bencana.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

kapan
Apr 06, 2022 12:50 AM

senarai nama kapal hms australia ada tak