Jabatan Kastam AS: Ada Bukti Penggunaan Buruh Paksa Produk Sime Darby
2022.01.28
Kuala Lumpur

Washington pada Jumaat membuat pengumuman akan merampas produk minyak sawit dan berkaitannya hasil keluaran konglomerat pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia, selepas siasatan oleh pihak berkuasa kastam negara itu menemui terdapatnya penggunaan buruh paksa dalam produk keluaran Sime Darby.
Tindakan tersebut serupa dengan sekatan yang telah dikenakan terhadap beberapa pengeluar produk berasaskan minyak sawit dan getah dari Malaysia, yang mana kebanyakannya diletakkan di bawah pemerhatian setelah dipercayai adanya berlaku penganiayaan terhadap tenaga kerja terutama buruh asing.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) dalam satu notis yang dikeluarkan kepada umum pada Jumaat menyatakan bahawa dengan penemuan siasatan mereka, pihak berkuasa pelabuhan di negara itu boleh menahan dan seterusnya merampas produk keluaran Sime Darby, kecuali jika pengimport dapat membuktikan bahawa tidak ada penggunaan tenaga buruh secara salah dalam penghasilan produk tersebut.
"Dokumen ini memberitahu orang awam bahawa CBP, dengan kebenaran daripada Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, telah mengenalpasti bahawa terdapat produk minyak sawit dan yang berkaitan dengannya yang dikeluarkan oleh syarikat Sime Darby Plantation Berhad, anak-anak syarikatnya, serta usahasama dengan syarikat lain, telah menggunakan tenaga salah, atau buruh paksa, dan produk berkenaan sedang diimport atau berkemungkinan akan diimport ke Amerika Syarikat.
"Hasil siasatan ini terpakai ke atas barangan yang diimport pada atau selepas 28 Januari 2022. Ia juga terpakai ke atas barangan yang telah pun diimport sebelum 28 Januari 2022 tetapi masih belum dilepaskan dari tahanan CBP," kata notis yang dikeluarkan pihak berkuasa itu.
Menurut CBP, dapatan mengenai penggunaan buruh paksa tersebut adalah susulan siasatan dijalankan penguatkuasaan berkenaan selepas AS mengenakan sekatan segera terhadap import produk berasaskan minyak sawit buatan Sime Darby Plantation pada 30 Disember 2020.
CBP mendakwa bahawa siasatan mendapati Sime Darby Plantation dan anak-anak syarikatnya telah menggunakan khidmat buruh paksa di ladang-ladang Sime Darby di Malaysia untuk memetik buah sawit, yang mana kemudiannya digunakan untuk menghasilkan minyak sawit serta produk lain yang berasaskan buah berkenaan.
Respon Sime Darby
Dalam respon balas terhadap notis dikeluarkan CBP, Sime Darby Plantation menyatakan rasa terkilan mereka dengan tindakan terbaru AS itu dan menyatakan bahawa mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkenaan sejak siasatan dimulakan pada 2020.
Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan syarikat tersebut, berkata mereka juga telah melantik penasihat bebas mengenai etika perdagangan bagi menjalankan kerja-kerja penilaian di semua fasiliti Sime Darby Plantation di Malaysia.
"Sebagai respon kepada tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap syarikat pada 16 Disember 2020, syarikat ini telah melantik satu firma konsultasi etika dagangan bagi membuat penilaian menyeluruh dan bebas terhadap semua fasiliti kami di seluruh Malaysia.
"Kerja ini bagaimanapun telah mengalami kelewatan disebabkan oleh sekatan-sekatan yang dikenakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di seluruh Malaysia. Akan tetapi, ia sudah hampir disiapkan.
"Penemuan oleh CBP ini amat mengecewakan, terutamanya ketika laporan penilaian bebas hampir diterbitkan. Melalui kerja penilaian terperinci di lokasi yang dijalankan oleh firma konsultasi itu, Sime Darby Plantation yakin bahawa laporan berkenaan akan menunjukkan bahawa syarikat ini mempunyai sistem dan kawalan bagi menyokong para pekerjanya dan memastikan kebajikan mereka," kata Helmy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Tambah beliau, Sime Darby Plantation akan terus memberikan kerjasama kepada CBP dan berharap untuk menunjukkan bahawa mereka mematuhi sepenuhnya peraturan import AS.
Pada 16 Disember 2020, CBP mengumumkan sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan daripada Sime Darby Plantation dengan menyatakan bahawa siasatan berbulan-bulan lamanya mendapati adanya petunjuk penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk berkenaan.
Susulan daripada Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menyuarakan rasa tidak setuju mereka dengan tindakan drastik oleh AS tanpa memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk membuktikan sebaliknya.
Sime Darby Plantation adalah yang ketiga daripada lima syarikat di Malaysia yang telah dikenakan WRO oleh AS setakat ini atas dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa dalam rantaian operasi mereka.
Tindakan WRO paling baru diambil AS adalah pada 4 November 2021, apabila CBP mengenakan sekatan import terhadap syarikat sarung tangan getah dari Malaysia, Smart Glove yang berpangkalan di Selangor susulan terdapatnya maklumat adanya elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.
Pada Oktober tahun yang sama (2021), CBP telah mengenakan perintah sekatan ke atas satu lagi syarikat sarung tangan getah dari Malaysia, Supermax Corporation Sdn Bhd dan tiga lagi anak syarikatnya termasuk Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd telah dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, atas kesalahan serupa.