Badan Pemikir: Sokongan Asia Tenggara Terhadap Amerika Syarikat Meningkat

Noah Lee
2021.02.10
Kuala Lumpur
Badan Pemikir: Sokongan Asia Tenggara Terhadap Amerika Syarikat Meningkat Komander Joseph Gunta, pegawai eksekutif USS John S. McCain, membuat pemerhatian dari kapal itu ketika berlayar di Laut China Selatan, 5 Februari 2021.
[Tentera Laut Amerika Syarikat]

Dalam persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS), hampir 62 peratus responden memilih AS bagi tahun ini berbanding tahun lepas, dengan peratusan pemilihan terhadap negara China menurun sebanyak lapan peratus, demikian menurut laporan badan pemikir Singapura, Institut ISEAS-Yusof Ishak yang berdasarkan kajiannya di kesemua 10 negara Asia Tenggara.

Pusat Pembelajaran ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) di institut di Singapura itu telah mengeluarkan hasil tinjauan yang bertajuk 'The State of Southeast Asia survey' (Tinjauan Keadaan Asia Tenggara) 60 mukasurat pada Rabu yang antara berkata tinjauan tersebut dibuat secara dalam talian melibatkan lebih 1,000 responden bagi tempoh hampir dua bulan bermula 18 November 2020 sehingga 10 Januari 2021 lepas.

Laporan itu berkata, sokongan masyarakat Asia Tenggara terhadap pengaruh strategik AS di rantau itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, dengan menyatakan bahawa penyumbang kepada peningkatan tersebut disebabkan terdapatnya keyakinan terhadap Washington di bawah kepimpinan Presiden baharunya Joe Biden, yang akan kembali memberikan fokus kepada Asia Tenggara.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa keyakinan terhadap AS bagi menjamin keselamatan di rantau Asia Tenggara turut meningkat, sementara kepercayaan kepada China untuk menyumbang kepada keamanan sejagat pula menurun dibandingkan dengan tahun lepas.

"Rantau Asia Tenggara masih mengalu-alukan kehadiran pengaruh strategik AS. Kajian mendapati 63.1 peratus berpendapat sedemikian, iaitu peningkatan berbanding 52.7 peratus pada tahun lalu. Selain itu, jumlah responden yang mempunyai keyakinan terhadap AS sebagai rakan strategik dan penyumbang kepada keselamatan serantau turut meningkat kepada 55.4 peratus berbanding 34.9 peratus tahun lepas.

“Pandangan positif terhadap AS ini boleh dikaitkan dengan antisipasi bahawa kerajaan Biden akan meningkatkan lagi pembabitan AS di rantau ini," kata laporan yang dikeluarkan oleh badan pemikir Singapura itu dalam ringkasan dapatan tinjauan yang mensasarkan golongan akademik, pengkaji, sektor perniagaan, kewangan, kerajaan, masyarakat sivil, kumpulan bukan kerajaan, media, dan organisasi serantau serta antarabangsa.

Laporan terbaharu bagi tahun ketiga berturut-turut dibuat bagi mendapatkan pandangan golongan pencetus pendapat, pembuat polisi dan pemimpin pemikir di rantau Asia Tenggara yang dibuat dengan tidak mewakili pandangan definitif Asia Tenggara terhadap isu semasa, dan berfungsi sebagai barometer bagi mengukur sikap serta perspesi umum di kalangan para pemegang taruh di rantau berkenaan.

Kepercayaan pada China merosot

Menurut tinjauan, majoriti responden menjangka kerajaan AS di bawah pentadbiran Biden akan meningkatkan keterlibatan di Asia Tenggara dan hasil dapatan tersebut amat berbeza jika dibandingkan pada tahun lalu semasa era pemerintahan Donald Trump.

Berdasarkan graf, 68.6 peratus menjangka penglibatan AS akan "meningkat" atau "meningkat dengan signifikan" manakala sebanyak 24.5 peratus lagi menjangka ianya tidak akan berubah, manakala hanya 6.9 peratus menjangka akan menurun, dengan sikap optimis tersebut diperolehi paling tinggi di kalangan responden dari negara Brunei, Thailand dan Singapura.

"Perbezaan amat ketara dapat dilihat dalam jangkaan mengenai penglibatan AS semasa era Trump dan Biden. Pada tahun 2020, sebanyak 77 peratus masyarakat Asia Tenggara menjangka ia akan menurun," kata laporan itu.

Persoalan sama ada AS adalah rakan strategi yang dipercayai dan penyumbang keselamatan di rantau Asia Tenggara juga menunjukkan peningkatan dapatan positif, di mana 55.4 peratus responden menyatakan keyakinan mereka terhadap AS, dengan pada tahun lalu, hanya 34.9 peratus menyatakan sedemikian.

Dalam masa yang sama, kepercayaan terhadap China untuk melakukan perkara yang betul bagi menyumbang kepada keamanan sejagat, keselamatan, kesejahteraan dan pentadbiran pula menunjukkan penurunan.

Tinjauan mendapati majoriti responden, atau 63 peratus, menyatakan bahawa mereka samada mempunyai "sedikit keyakinan" atau "tiada keyakinan" kepada republik itu, berbanding 16.5 peratus yang mempercayai China akan berbuat perkara yang betul.

"Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap China terus merosot. Peratusan mereka yang tidak mempercayai negara itu telah meningkat berbanding 51.5 peratus pada 2019 dan 60.4 peratus pada 2020, kepada 63 peratus tahun ini.

"Di kalangan negara-negara ASEAN, tahap ketidakpercayaan melebihi bilangan yang mempercayai China. Kadar ketidakpercayaan itu paling ketara di Filipina (82.1 peratus), Vietnam (75.4 peratus), Thailand (67.9 peratus), Indonesia (60.5 peratus), dan Myanmar (59.6 peratus)," kata Institut berkenaan.

Daripada jumlah responden yang menyatakan ketidakpercayaan terhadap China, 51.8 peratus melihat kekuatan ekonomi dan ketenteraan China sebagai sesuatu yang boleh mengancam kedaulatan dan kepentingan negara mereka.

Kebimbangan di Laut Cina Selatan

Satu lagi topik yang signifikan didapati dari tinjauan itu adalah berkaitan dengan kegusaran negara-negara Asia Tenggara terhadap apa yang sedang berlaku di Laut Cina Selatan, terutama sekali membabitkan aktiviti ketenteraan negara China dan konfrontasi antara negara itu dengan AS.

Majoriti iaitu sebanyak 62.4 peratus menyatakan bahawa mereka bimbang dengan aktiviti ketenteraan dan tindakan oleh China, diikuti dengan kegusaran mengenai pencerobohan China ke atas zon-zon ekonomi eksklusif dan mengawal Gugusan Beting Patinggi Ali di lautan berkenaan manakala yang ketiga, 45.2 peratus menyatakan kebimbangan mengenai konfrontasi antara tentera AS dan China yang mungkin akan membawa kepada krisis politik.

"Majoriti responden atau 84.6 peratus mahukan ASEAN mengambil pendirian berprinsip mengenai Laut Cina Selatan bagi menegakkan undang-undang antarabangsa, dan 80.8 peratus lagi setuju bahawa Kod Tata Laku di lautan itu mestilah selari dengan undang-undang antarabangsa."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.