Malaysia Tahan Rakyatnya Yang Radikal dan Diusir dari Singapura
2018.02.09
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seorang rakyatnya berusia 33 tahun selepas dihantar pulang oleh Singapura, yang menangkapnya bulan bulan lepas berhubung dakwaan bahawa lelaki itu telah bertindak atas rancangan untuk menyertai kumpulan pengganas di Timur Tengah, kata para pegawai pada Jumaat.
Muhammad Nur Hanief bin Abdul Jalil, yang bekerja sebagai pemandu sebuah syarikat kargo udara di Singapura, telah diserahkan pada 2 Feb, kata seorang pegawai kanan Malaysia.
“Saya boleh mengesahkan bahawa suspek kini berada dalam tahanan kami. Dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut,” kata pegawai itu, yang meminta identitinya dirahsiakan, kepada BeritaBenar.
Di bawah Akta ini, pihak berkuasa Malaysia boleh menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perbicaraan. SOSMA menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kontroversi, yang membenarkan penahanan sehingga dua tahun tanpa memerlukan pihak berkuasa membawa suspek ke mahkamah.
Pada Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut bahawa Hanief, yang mempunyai akses ke kawasan larangan di lapangan terbang paling sibuk di Asia Tenggara, Changi, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri negara itu.
Penyiasat Singapura turut mengesahkan bahawa dia mempunyai akses kepada artikel tulisan ulama ekstremis yang telah disiarkan, termasuk Imran Hosein, Zakir Naik dan Anjem Choudary, sejak 2008, menurut kenyataan itu.
“Menerusi pendedahan mampan kepada bahan sedemikian, suspek percaya bahawa dia perlu ke Syria atau Palestin untuk mengambil bahagian dalam konflik yang berlaku di sana,” kata kementerian itu.
Berbeza dengan jiran lain di Asia Tenggara, Singapura mempunyai rekod yang hampir sempurna dalam memastikan negara itu bebas daripada keganasan. Pada 2017, majalah The Economist telah menamakannya sebagai bandar kedua paling selamat di dunia selepas Tokyo.
Terdahulu bulan ini, pasukan polis Singapura telah melancarkan simulasi serangan pengganas. Sebagai tambahan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negerinya mengakui telah meningkatkan usaha untuk mencegah keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia berkata ini susulan kebimbangan keselamatan berhubung serangan ganas yang kerap berlaku di negara Barat dan selepas pertempuran lima bulan di bandar Marawi di selatan Filipina, yang menyaksikan sejumlah 1,200 orang, kebanyakannya penyokong militan Negara Islam, terbunuh.
Tahun lepas, Singapura tidak membenarkan rakyat Zimbabwe, Ismail Menk, dan penceramah rakyat Malaysia, Ustaz Haslin Baharim (aka “Ustaz Bollywood”), yang mempunyai jadual ceramah dan kuliah bertemakan keagamaan, memasuki negara itu.
‘Dengan izin Allah’
Kenyataan itu menyebut bahawa Hanief, yang melakukan pelbagai kerja di Singapura sejak 2011, telah bersiap sedia untuk melakukan perjalanan ke Timur Tengah pada hujung 2017.
“Dia telah bersedia menyertai mana-mana kumpulan militan di sana, termasuk Negara Islam di Iraq dan Syria, Tentera Pembebasan Syria, atau Hayat Tahrir al-Sham (sebelum ini dikenali sebagai Jabhat Fateh al-Sham/Jabhat al-Nusra), kerana dia percaya semua kumpulan ini akan bersatu akhirnya pada hari kiamat,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata Hanief telah menghubungi Haslin dan meminta nasihat untuk menjadi seorang syahid di Syria.
“Respons Haslin ialah seseorang itu akan mati syahid jika diizinkan Allah, yang ditafsirkan oleh Hanief sebagai jawapan ya,” kata kenyataan itu.
“Meskipun siasatan mendedahkan bahawa tiada petunjuk bahawa suspek cuba mempengaruhi orang lain untuk menjadi radikal atau merancang sebarang serangan pengganas di Singapura, keradikalannya menjadikan dia satu ancaman keselamatan kepada Singapura,” katanya.
Di Malaysia, pihak berkuasa telah menahan sejumlah 372 orang (termasuk Hanief) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas sepanjang tempoh empat tahun lepas. Angka itu termasuk 71 rakyat asing, menurut statistik kerajaan.
Tiga puluh empat rakyat Malaysia telah dilaporkan terkorban ketika berjuang untuk kumpulan ekstremis Negara Islam di Iraq dan Syria. Sejumlah 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak kini dipercayai berada di Syria, namun mereka mungkin telah melarikan dari bandar di mana berlakunya pertempuran, menurut polis Malaysia tahun lepas.