Myanmar: Singapura Sokong Gesaan Adakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN
2021.03.25
Jakarta

Singapura pada Khamis menyertai Malaysia dan Indonesia menggesa diadakan sidang kemuncak khas ASEAN untuk membincangkan krisis pergolakan rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar, ketika diplomat utamanya mengadakan lawatan ketiga negara dengan Myanmar sebagai agenda di setiap lawatannya.
Menteri Luar Negeri Singapura Vivian Balakrishnan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi di Jakarta – destinasi terakhir lawatan serantaunya - di mana mereka membincangkan mengenai rampasan kuasa tentera pada 1 Februari termasuk pembunuhan lebih 250 penunjuk perasaan pro-demokrasi Myanmar sejak itu.
Balakrishnan berkata negaranya dan Indonesia, kedua-duanya anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, "sangat tertekan" dengan situasi di Myanmar yang juga anggota ASEAN serta menyokong diadakan pertemuan para pemimpin negara serantau itu untuk mencapai kesepakatan bersama mengenai isu di negara bergolak itu.
“Indonesia dan Singapura percaya tidak seharusnya ada campur tangan asing. Tetapi ASEAN bersedia untuk menghulurkan bantuan dengan cara apa sekalipun yang dapat dibantu,” kata Balakrishnan pada sidang media selepas pertemuannya dengan Retno, yang merupakan antara agenda dalam lawatan dua harinya ke Indonesia.
"Oleh itu, kami juga menyokong pemimpin kami berkumpul untuk mencari kesepakatan kedudukan bersama di mana ASEAN dapat menyatakan sokongannya kepada Myanmar," kata diplomat tertinggi Singapura itu, yang turut menyampaikan pesanan serupa semasa melawat Brunei dan Malaysia sebelum tiba di Indonesia.
Minggu lepas, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin dan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo menggesa supaya diadakan sidang kemuncak khas pemimpin ASEAN untuk membincangkan pergolakan di Myanmar. Jokowi berkata beliau akan berbincang dengan Brunei, pengerusi ASEAN tahun ini mengenai sidang kemuncak berkenaan.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Blok serantau yang dianggotai oleh 10 negara anggota itu dikecam kerana tidak serius dalam mengambil tindakan efektif, baik oleh ahli politik wilayah serantau berkenaan, juga oleh kumpulan masyarakat sivil, kerana tidak dapat mencapai pendirian bersama terhadap situasi terkini yang sedang merosot di Myanmar.
Tidak campur tangan dalam urusan domestik anggota adalah asas ASEAN dan halangan besar, kata pengkritik.
Balakrishnan terdahulu itu berada di Malaysia dan bertemu dengan rakan sejawatannya Hishammuddin Hussein dan semasa sidang media bersama di Putrajaya, kedua-dua pemimpin itu meminta semua pihak di Myanmar tidak bertindak terburu-buru dan mencari penyelesaian aman berhubung ketegangan yang melanda negara tersebut sejak rampasan kuasa tentera.
Singapura dan Malaysia menggesa semua pihak berkepentingan di Myanmar berunding dan berdialog untuk merungkai segala kekusutan.
Selain itu, Muhyiddin dalam catatan di laman media sosial Facebooknya selepas menerima kunjungan Balakrishnan ke Seri Perdana turut memaklumkan antara perkara yang dibincangkan dengan Menteri Luar Singapura itu adalah mengenai Myanmar dan juga perkara berkait ASEAN.
Tidak mengejutkan banyak pihak bahawa pertemuan khas menteri luar negeri ASEAN pada awal Mac gagal mencapai persetujuan untuk menuntut pembebasan segera pemimpin sivil Myanmar, Aung San Suu Kyi, dan yang lain yang ditahan oleh pihak tentera negara itu.
Pada Khamis, Menteri Luar Indonesia, Retno dengan tegas berkata bahawa "tujuan untuk mencapai Komuniti ASEAN hanya akan dapat dicapai melalui sumbangan semua anggotanya.
PBB desak Sidang Kemuncak Serantau
Sementara itu, seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis juga menyatakan bahawa negara-negara jiran Myanmar - dan pastinya semua negara lain - perlu bangkit bertindak berikutan kurangnya tindak balas antarabangsa terhadap situasi di negara itu.
Mesyuarat negara-negara Asia Tenggara dan negara-negara berpengaruh lain perlu segera diadakan dalam usaha membendung keadaan daripada menjadi lebih buruk di Myanmar, kata Thomas Andrews, Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar.
"Tanpa penyelesaian diplomatik yang lebih berfokus termasuk menganjurkan sidang kemuncak khas yang menyatukan negara-negara jiran Myanmar dan negara-negara berpengaruh di rantau itu, saya bimbang situasi hak asasi manusia di Myanmar semakin merosot apabila junta meningkatkan kadar pembunuhan, kehilangan secara paksa dan penyiksaan,” kata Andrews dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR).
Andrews menggesa "mereka yang berada dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan China, supaya mengadakan sidang kemuncak khas melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuklah ahli parlimen digulingkan secara tidak sah yang menganggotai Jawatankuasa Mewakili Pyidaungsu Hluttaw."
Andrews merujuk kepada parlimen bayangan yang dibentuk oleh ahli parlimen Myanmar yang dipilih dalam pilihan raya umum November 2020. Junta mendakwa pilhan raya umum itu telah dicemari dengan penipuan undi.
Malah, sebuah kumpulan ahli parlimen Asia Tenggara menyatakan minggu ini bahawa ASEAN harus mempertimbang untuk menghantar delegasi bersama ke Naypyidaw dengan Christine Schraner Burgener, Utusan Khas PBB ke Myanmar, untuk memantau keadaan dan membantu merundingkan penyelesaian yang berasaskan demokrasi dan hak asasi manusia.
"Tentera Myanmar membunuh orang setiap hari. Kenyataan dialu-alukan tetapi tidak berguna dalam menentang peluru tentera,” kata Charles Santiago, seorang Ahli Parlimen Malaysia yang mempengerusikan Anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, dalam satu kenyataan.
Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik berkata angka kematian akibat tindakan keras tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan anti rampasan kuasa adalah 275 orang.
Seorang penganalisis di Indonesia percaya bahawa tekanan negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura akan meyakinkan Brunei untuk mengadakan sidang kemuncak khas para pemimpin kumpulan itu.
“Ketiga-tiga negara ini adalah negara pengasas ASEAN. Jika digabungkan, mereka memiliki kekuatan ekonomi dan populasi terbesar, hampir separuh daripada seluruh rantau itu,” kata Teuku Rezasyah, pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Padjajaran di Bandung, kepada BeritaBenar.
Teuku Rezasyah berkata Indonesia juga boleh mengadakan pertemuan yang melibatkan tentera Myanmar, tokoh politik dan veteran tentera di rantau itu termasuk bekas Presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong.