Malaysia-Singapura Buka Pintu Sempadan Benar Rakyatnya Ulang-Alik Bermula Ogos

Nisha David
2020.07.14
Kuala Lumpur, Malaysia
200714-MY-SIN-Border1000.jpg Kenderaan berbaris di kedua-dua arah menunggu giliran untuk memasuki pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura dan juga Tambak Johor, sehari sebelum Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19, 17 Mac 2020.
[AFP]

Malaysia dan Singapura telah bersetuju membuka pintu sempadan yang tersibuk di dunia dengan memperkenalkan dua skim yang dirangka bagi membolehkan rakyat kedua negara merentas sempadan mulai 10 Ogos, selepas lebih 5 bulan ditutup bagi mencegah penularan COVID-19.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Luar Malaysia Hishamuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara pada Selasa yang antara lain berkata pegawai Malaysia dan Singapura sedang berusaha melaksanakan dua skim yang dinamakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang disasarkan dapat dimulai pada 10 Ogos ini.

Kenyataan bersama itu menyebut mereka yang melakukan perjalanan perlu memenuhi syarat kedua-dua skim yang diperkenalkan itu termasuk perlu mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19, seperti yang dipersetujui dengan perlu menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR).

“RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara dengan mereka yang melakukan perjalanan perlu menyerahkan kepada pihak berwajib kedua-dua negara mengenai jadual perjalanan dan mematuhinya sepanjang tempoh lawatan mereka,

"PCA pula membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki kedua-dua jiran itu kembali ke negara asal untuk cuti jangka pendek setelah menghabiskan masa tiga bulan berturut-turut di negara tempat mereka bekerja, dan akan dibenarkan masuk semula ke negara tempat berkerja.

"Mereka yang memenuhi syarat untuk melakukan perjalanan rentas sempadan di bawah kedua-dua kategori ini perlu mematuhi protokol kesihatan yang telah dipersetujui dengan perincian berhubung protokol tersebut sedang dibuat oleh pihak berkepentingan bagi kedua-dua negara," jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut berkata Malaysia dan Singapura juga sedang berbincang untuk melaksanakan kategori perjalanan rentas sempadan yang lain termasuk cadangan perjalanan setiap hari untuk tujuan kerja.

"Bagaimanapun, ia akan memakan masa kerana kita perlu mempertimbangkan protokol kesihatan dan sumber peralatan perubatan di kedua-dua negara. Justeru, saya harap rakyat Malaysia dapat bersabar sementara kita mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakannya," jelas Hishammudin dalam twitter rasminya.

Menurut laporan media tempatan sebelum ini, setiap hari, lebih kurang 400,000 orang termasuk separuh daripadanya adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan memasuki republik berkenaan melalui Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Buka pintu sempadan rancak ekonomi


Sementara itu, pembukaan semula sempadan antara kedua-dua negara disokong penuh serta permulaan usaha baik merancakkan semula sektor ekonomi di  Johor yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19, demikian menurut Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.

"Kerajaan negeri bersedia terhadap pematuhan semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kita juga akan membantu memudahkan semua urusan supaya pembukaan sempadan ini dapat memberi manfaat kepada warga kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut Hasni, pembukaan pintu sempadan penting dalam usaha Malaysia dan Singapura untuk memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sebaik mungkin demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

"Saya berharap selepas ini ada lagi inisiatif lain yang membolehkan pergerakan orang ramai  untuk merentas sempadan secara ulang-alik setiap hari dapat disepakati oleh Malaysia dan Singapura.

"Saya juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di Johor untuk sentiasa mematuhi SOP dan peraturan-peraturan yang  digariskan oleh pihak berwajib. Ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua kekal terjaga dalam konteks COVID-19 yang belum lagi reda kini," katanya.

Sistem Imigresen gagal rekod keluar


Pada hari yang sama, Malaysia yang mengelurkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa memberitahu yang seramai 214,398 daripada 912,374 warga asing tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia sehingga 15 April lalu akibat masalah gangguan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Berdasarkan laporan audit 541 muka surat dan terbahagi kepada tujuh kementerian dan agensi serta jabatan dibawahnya, pergerakan keluar ratusan ribu warga asing itu gagal disahkan akibat 4,489 gangguan dalam sistem antara 2016 hingga 2018.

"Terdapat 29 'patch on' sistem lain yang berurusan dengan MyIMMs menyebabkan sistem tidak stabil dan tidak boleh diintegrasikan.

"Berikutan keadaan tidak stabil itu, ada data sudah dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar atau masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau gagal disepadukan dengan MyIMMs," menurut laporan itu.

Laporan itu turut mendapati, seramai 5,750 daripada 214,398 warga asing terbabit disahkan keluar, manakala 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

"Sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat terbabit tidak melakukan pergerakan keluar atau masuk berulang kali setiap hari.

"Jabatan Imigresen sudah melaksanakan langkah penambahbaikan bermula Mac lalu, bahawa proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

"Selain itu, sampel terhadap 300 warga asing mendapati golongan terbabit tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan, iaitu antara 121 hingga 1,087 hari," kata laporan itu.

Sebelum ini, pada Julai tahun lalu, Ketua Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud menyatakan jabatan itu dalam proses membangunkan Sistem Integrasi Imigresen (IIS) yang baharu bagi menggantikan MyIMMs yang dikesan berlaku manipulasi dan penipuan untuk meluluskan kuota pekerja asing.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.