PAP Kekal Berkuasa Di Singapura

H.Aliya
2015.09.12
150911-SG-PAP620 Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dari Parti Tindakan Rakyat menyambut penyokongnya selepas memenangi pilihan raya umum negara itu. 12 September, 2015.
AFP

Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura mengekalkan pemerintahan dengan mencatatkan kemenangan besar selepas menghadapi persaingan paling sengit dalam sejarah pilihan raya umum negara itu, pada Jumaat.

Setakat awal pagi Sabtu, Jabatan Pilihan Raya negara itu telah mengumumkan bahawa PAP berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen, menurut laporan akhbar The Straits Times.

Parti pembangkang utama iaitu Parti Pekerja (WP) pula memenangi satu kerusi Parlimen.

MediaCorp, kumpulan syarikat media di Singapura, melaporkan seramai 2,460,977 penduduk berusia 21 tahun ke atas layak mengundi pada pilihan raya ke-17 itu di 832 pusat mengundi di seluruh negara itu dari 8 pagi hingga 8 malam.

Selain itu, seramai 4,868 rakyat Singapura yang berada di luar negara, layak mengundi di 10 pusat mengundi di Beijing, Dubai, London, Tokyo, Washington, Hong Kong, Shanghai, San Francisco, New York dan Canberra.

Sehingga pukul 5 petang Jumaat, Jabatan Pilihan Raya berkata seramai 2,085,676 rakyat Singapura telah keluar mengundi di republik itu.

Pilihan raya kali ini merangkumi 16 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 13 Kawasan Anggota Tunggal (SMC).

Buat julung kalinya sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965, PAP menerima tentangan hebat apabila kesemua 89 kerusi di 29 kawasan pilihan raya menyaksikan pertandingan.

PAP ditentang oleh lapan parti lain iaitu Parti Pekerja (WP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Perubahan (RP), Singaporeans First (SF) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) serta dua calon bebas.

Untuk kembali berkuasa, PAP perlu menang sekurang-kurangnya 45 kerusi Parlimen. Bagi memenangi dua pertiga majoriti yang membolehkan ia membuat pindaan pada Perlembagaan, PAP perlu menguasai 60 kerusi Parlimen.

Reuters melaporkan bahawa ini adalah pilihan raya umum pertama republik itu sejak bapa pengasas negara itu Lee Kuan Yew meninggal dunia pada Mac lepas, selain ia bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan Republik Singapura.

Ia juga merupakan pilihan raya umum ketiga bagi Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong.

Bagi pilihan raya itu, Lee yang juga anak Kuan Yew, menampilkan PAP sebagai “sepasang tangan” yang telah berjaya membentuk republik itu sebagai Singapura moden dan terkaya antara negara-negara jirannya.

Beliau berkata, PAP boleh memajukan lagi republik itu dan rakyatnya, khususnya generasi muda, jika ia terus diberi mandat untuk memerintah.

Pada hari penamaan calon 1 Sept lalu, PAP mengemukakan 89 calon termasuk 22 muka baru – 14 daripada mereka daripada sektor swasta, enam daripada sektor awam dan dua daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan satu langkah baru – iaitu kiraan undi sampel yang kemudian diumumkan kepada orang ramai.

Sebanyak 100 kertas undi dari setiap 832 pusat mengundi akan dipilih secara rambang dan dikira sebaik sahaja pusat mengundi ditutup. Namun, hanya Jabatan Pilihan Raya yang berhak mengumumkan keputusan muktamad pilihan raya itu.

Lee, yang mempertahankan kerusi Ang Mo Kio GRC dengan 78.63 peratus undi menewaskan M. Ravi daripada Parti Perubahan yang memperolehi 21.37 peratus.

Dalam kempen mereka, WP iaitu parti pembangkang yang menampilkan calon paling ramai pada pilihan raya umum itu, antara lain membangkitkan soal kemerosotan ekonomi dan isu kebanjiran pekerja asing, dan memberi tekanan kepada keadaan sosioekonomi negara.

Ketua WP, Low Thia Khiang berkata parti pembangkang itu mampu membawa perubahan dengan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat Singapura dan meminta pegundi memberi kepercayaan kepada mereka dengan memberi kemenangan kepada WP.

Lee pula berkata semua calon PAP telah melakukan yang terbaik sepanjang tempoh seminggu berkempen.

“Kami telah melakukan yang terbaik. Ini adalah satu titik perubahan yang besar bagi Singapura," katanya kepada Reuters.

Lee dan isterinya Ho Ching mengundi di Alexandra Primary School.

Presiden Singapura, Tony Tan dan isterinya Mary pula, mengundi di Nanyang Girls' High School, menurut media tempatan.

Pada hari terakhir kempen pilihan raya malam Rabu, Lee terus mengkritik pembangkang dengan mendakwa mereka hanya menimbulkan perkara-perkara yang boleh membuat rakyat marah, tanpa memberi penghuraian mengenainya.

“Apa pelan mereka? Sebenarnya mereka harap untuk timbulkan perkara-perkara yang boleh buat rakyat marah. Ini termasuklah hal-hal seperti perumahan, pengangkutan, jumlah penduduk dan warga asing serta penjagaan kesihatan.

"Benar perkara-perkara ini memang rumit untuk dihuraikan, tetapi kami (PAP) gigih mengusahakannya. Hasilnya ketara. Anda boleh lihat sendiri di sekeliling anda perubahan-perubahan yang memanfaatkan rakyat Singapura," kata Lee sambil mempersoalkan prestasi pembangkang sepanjang empat setengah tahun lalu.

Pilihan raya umum 2011 menyaksikan pertandingan di 82 daripada keseluruhan 87 kerusi yang dipertandingkan.

Kekalahan dua calon PAP pada pilihan raya itu merupakan titik perubahan dalam politik Singapura yang terus dibelenggu dengan isu-isu persaraan membabitkan syarat pengeluaran simpanan Central Provident Fund (CPF), kebanjiran warga asing, kos sara hidup dan perubatan, serta kos pengangkutan awam yang tinggi, ditambah pula dengan harga rumah yang meningkat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.