Singapura Umum Langkah Baru Tangani Keganasan

Staf BeritaBenar
2016.03.18
160318-sg-my-johor-620 Bandar Johor Bahru di Malaysia dilihat dari sebelah Singapura daripada sempadan di sepanjang Tambak Johor-Singapura, 26 Nov 2013.
AFP

Singapura pada Jumaat mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di seluruh negara pulau yang makmur itu ekoran ancaman yang semakin meningkat daripada kumpulan militant Negara Islam (IS) di Asia Tenggara.

Menteri Dalam Negeri K. Shanmugam, semasa mengumumkan langkah itu, berkata Singapura yang pelbagai etnik terpaksa menghalang penyokong IS dan kumpulan-kumpulan radikal di negara jiran Malaysia dan Indonesia, yang majoriti penduduknya Islam, daripada menyusup masuk ke negaranya.

"Ancaman serangan pengganas di sini adalah di peringkat tertinggi sejak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi selepas 9/11 dan penangkapan ahli Jemaah Islamiyah (JI)," katanya sambil merujuk kepada JI, kumpulan Asia Tenggara yang dikaitkan dengan al-Qaeda .

Beliau berkata IS memabawa "ancaman kualitatif yang berbeza dan lebih berbahaya" berbanding al-Qaeda pernah lakukan di rantau ini.

Pegawai-pegawai Singapura sebelum ini berkata bahawa negara itu menjadi sasaran militan kerana ia menempatkan pelbagai syarikat multinasional dan merupakan pusat kewangan serantau.

Selepas serangan 11 September 2001 di New York dan Washington, pihak berkuasa Singapura menahan beberapa suspek militan dan mematahkan cubaan untuk melancarkan serangan bom di Amerika Syarikat dan sasaran asing yang lain di negara kota itu.

"Terdapat pelbagai lapisan ancaman di rantau ini -  rumit, saling terikat, mengaitkan agama dengan rasa tidak puas hati politik dalam negeri, dari Myanmar hinggalah ke Indonesia," kata Shamugam pada satu forum kementerian.

"Dan kita berada di tengah-tengah, sebuah tempat yang tenang, namun menjadi sasaran utama untuk semua."

Beliau berkata, Singapura akan meningkatkan lagi pemeriksaan keselamatan  di sempadannya - terutamanya sempadan yang amat sibuk dengan Malaysia - peningkatan kewaspadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan bangunan-bangunan kerajaan.

Beliau berkata, sebanyak 10,000 kamera litar tertutup akan dipasang di kawasan perumahan awam dan garaj berbilang tingkat untuk mengelakkan ancaman itu.

"Kita mungkin mempunyai beberapa Molenbeek di sekeliling kita," kata menteri itu, merujuk kepada negara-negara jirannya dan pinggir bandar ibu negara Belgium, Brussels, yang menempatkan militan yang terlibat dalam serangan yang didakwa dilakukan IS di Paris yang mengorbankan 130 orang pada November lalu.

Sebanyak 145 juta orang daripada 200 juta orang  memasuki Singapura setiap tahun melalui pas darat, laut dan udara menerusi dua pintu masuk di sempadan Malaysia, kata Shanmugam.

"Ia bukan lagi persoalan sama ada serangan akan berlaku, tetapi sebenarnya, bila  serangan akan dilakukan di Singapura, dan kita perlu bersedia untuk itu," katanya.

Walaupun Singapura telah dilengkapi dengan baik dan bersedia untuk menangani ancaman keganasan sehinggalah sekarang, namun "sifat ancaman telah berubah, dan kita perlu mengubah beberapa taktik baru berdasarkan apa yang kita lihat di Paris dan Jakarta," kata Shanmugam kepada pemberita secara berasingan pada Jumaat, dengan  merujuk kepada serangan pengganas di pusat bandar Jakarta pada 14 Jan yang menyebabkan lapan orang mati, termasuk empat suspek penyerang.

Ancaman pelbagai serampang

Beliau berkata, dalam ucapannya, bahawa Singapura menghadapi ancaman daripada mereka yang radikal di Malaysia dan Indonesia, serta dari penduduk  Asia Tenggara yang baru pulang  atau akan pulang dari lawatan pertempuran dengan IS di Timur Tengah.

Seramai 1,000 orang dari Asia Tenggara - terutamanya Indonesia dan Malaysia yang "sanggup mati"- pergi ke Syria atau Iraq untuk menyertai IS dan sebahagian daripada mereka telah pun menyertai barisan Katibah Nusantara, unit tempur IS pimpinan orang Asia Tenggara dan  secara eksklusifnya terdiri daripada pejuang berbahasa Melayu, katanya.

Warga Asia Tenggara di Syria dan Iraq juga menggalakkan penyokong IS di rantau tanah air mereka supaya melancarkan plot keganasan di Asia Tenggara, kata Shanmugam.

Keadaan itu adalah lebih mencabar di Indonesia kerana, selain daripada radikal dalam negara dan mereka yang pulang dari luar negara, Indonesia mempunyai undang-undang anti keganasan yang lemah dan tahun ini, pihak berkuasa negara itu bersedia melepaskan 150 orang yang didapati bersalah atas tuduhan berkaitan keganasan dan belum dideradikalkan, kata menteri berkenaan.

Beliau memberi contoh bagaimana Singapura sebelum ini menahan empat warga Indonesia yang melalui bandar raya itu semasa dalam perjalanan ke Syria. Singapura menghantar kesemua mereka pulang, tetapi pihak berkuasa Indonesia terpaksa melepaskan mereka kerana tidak mempunyai alasan undang-undang untuk menahan mereka.

'Kulit Bersih’

Di Malaysia, tahun lalu pihak berkuasanya telah menggagalkan tujuh plot keganasan dan menahan lebih daripada 100 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS. Suspek itu termasuklah pegawai-pegawai kerajaan seperti komando, pegawai polis dan kakitangan awam, kata Shanmugam.

"Di Malaysia, terdapat juga ancaman besar yang ditimbulkan oleh 'kulit bersih’ iaitu orang yang tidak mempunyai rekod jenayah dan bukan di bawah pengawasan agensi-agensi keselamatan," menurut menteri itu.

"Mereka wujud bersama-sama menerusi media sosial. Pada April tahun lepas, Malaysia menahan 12 militan, semua kulit bersih. Jika mereka ingin melakukan perjalanan, mereka boleh melepasi kaunter imigresen dengan mudah tanpa dikesan. "

Tindakan untuk memperkenalkan langkah-langkah keselamatan baru dibuat dua hari selepas Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa empat lelaki telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura kerana disyaki merancang untuk berjuang dalam konflik di Yemen dan Syria. Undang-undang membenarkan Singapura untuk menahan orang yang disyaki tanpa perbicaraan atau memantau dan menyekat pergerakan mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.