1MDB: Bekas Pegawai BSI Individu Kedua Didapati Bersalah

Hata Wahari
2016.12.16
Kuala Lumpur
161216-my-1mdb-620.jpg Yvonne Seah (berkaca mata hitam), yang sebelum ini seorang pekerja bank swasta Swiss BSI, berjalan bersama peguamnya di Mahkamah Negeri Singapura, 10 Oktober 2016.
AFP

Seorang bekas kakitangan bank BSI Singapura merupakan individu kedua di negara itu  yang dikenakan tindakan penjara dan denda selepas didapati  terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana kontroversi 1Malaysia Development Bank (1MDB), menurut laporan media Singapura.

Pada Jumaat, sebuah mahkamah di Singapura memenjarakan Yvonne Seah Ye Foong, bekas pengarah BSI Singapura selama dua minggu dan juga mengenakan denda sebanyak RM31,000 (S$10,000) setelah mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Yvonne, 45, didakwa dengan dua pertuduhan melakukan pemalsuan dan satu lagi kerana tidak melaporkan transaksi yang mencurigakan membabitkan ahli perniagaan kelahiran Malaysia Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Sebelum itu, pendakwaraya memohon Yvonne dijatuhkan hukuman penjara dua minggu serta mendenda wanita itu sebanyak RM38,000 (S$12,000) atas kesalahan yang dilakukan antara 20 November 2012 dan 19 Mei 2014.

Di Malaysia, masih tiada pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam skandal tersebut. Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar ketika dihubungi BeritaBenar pada Jumaat menjawab ringkas “penyiasatan masih berjalan.”

Selain Yvonne, penyelianya Yak Yew Chee, sedang menjalani hukuman penjara 18 minggu selepas mengaku bersalah pada November lalu, atas kesalahan yang sama.

Yak, 57 tahun, juga didenda  RM75,000 (S$$24,000) dan akan menyerahkan RM23 juta (S$7.5 juta) kepada kerajaan sebagai langkah untuk "menunjukkan kekesalan sebenarnya," menurut peguamnya dalam laporan media The Straits Times Singapura.

Kedua-dua Yak dan Yvonne menguruskan akaun Jho Low, 1MDB dan akaun berkaitan dan merupakan antara enam pekerja BSI yang dirujuk kepada pendakwaraya Singapura oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Pegawai ketiga BSI, Yeo Jiawei, kini sedang menunggu keputusan mahkamah yang dijangka keluar pada 21 Disember  ini, atas pertuduhan mengganggu saksi kes.

Jho Low, telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa Singapura sebagai orang yang mempunyai kepentingan dalam siasatan yang sedang dijalankan dalam transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan 1MDB.

Selain itu,  lelaki berkenaan juga dikaitkan dengan dakwaan menggelapkan berbilion dolar dari dana syarikat tersebut.

Dua bank kehilangan lesen

Bank BSI dan Bank Persendirian Falcon yang berpangkalan di Zurich telah kehilangan lesen beroperasi di Singapura, masing-masing pada Mei dan Oktober lepas  kerana terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.

Pada awal bulan Disember, MAS telah mengumumkan mengenai penalti hukuman terhadap cawangan Standard Chartered Bank (SCB) dan Coutts & Co Ltd. kerana melanggar syarat penggubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Penalti telah dikenakan terhadap SCB dan Coutts cawangan Singapura masing-masing berjumlah $5.2 juta (AS$3.66 juta) dan $2.4 juta (AS$1.69 juta), kata MAS dalam satu kenyataan.

Pada Oktober, Bank DBS dan Bank UBS telah didenda sebanyak $1 juta (AS $703,000) dan $ 1.3 juta (AS $ 844,000) kerana melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang Singapura, yang berkaitan dengan 1MDB.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Aduan rampasan sivil dikemukakan oleh Jabatan Keadilan itu yang tidak menamakan Perdana Menteri Najib Razak tetapi mengaitkannya dengan skandal 1MDB. Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ini merupakan "konspirasi antarabangsa" untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi Amerika. Rampasan sivil itu menamakan Jho Low dan juga anak tiri Najib, Riza Aziz.

Skandal itu membelenggui Najib sejak tahun lepas, setelah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenainya pada Julai 2015 bahawa hampir $700 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

Sehari selepas pengumuman AS, pihak berkuasa di Singapura mengumumkan bahawa mereka telah merampas aset berjumlah $ 240 juta  (AS $ 177 juta) - di mana $120 juta (AS $ 88.5 juta ) adalah daripada Jho, sekutu rapat Najib dan juga keluarga Jho.

Najib dan 1MDB menafikan sebarang salah laku.

Tidak ikut garis panduan

Pihak pendakwa raya pada Jumaat berkata, Yvonne membantu Yak dalam menguruskan hubungannya dengan Jho Low dan bapanya,  Low Hock Peng, dan mengambil arahan dari Yak, yang menerima arahan daripada Jho Low dan bapanya, menurut laporan media Singapura.

Tuduhan ke atas Yak dan  Yvonne adalah berkaitan dengan pemindahan wang yang dilakukan pada 2 November 2012 berjumlah AS$153 juta ($220.65 juta) dari satu akaun Coutts Zurich yang dimiliki firma Good Star, yang dikawal Jho Low, ke akaun BSI Singapore yang dibuka di Abu Dhabi-Kuwait-Malaysia Investment Corp, yang mana ia merupakan satu lagi akaun yang boleh digunakan Jho Low.

Tiga hari kemudian, sejumlah $153 juta telah dipindahkan ke akaun BSI milik Low Hock Peng, iaitu bapa Jho Low. Pada 7 November, sejumlah $150 juta telah dipindahkan ke satu lagi akaun BSI yang dimiliki Jho Low.

Dari akaunnya, sejumlah AS$110 juta telah dipindahkan ke satu akaun Swiss yang dimiliki Selune, sebuah firma yang beliau meraih faedah daripadanya.

"Pengaliran wang dari Jho Low ke bapanya dan kembali ke Jho Low sebelum ia dipindahkan keluar dari BSI telah disoal oleh seorang pegawai dari BSI Compliance pada 6 Nov 2012 yang menyatakan "ia tidak menuruti garis panduan yang ditetapkan," kata Timbalan Pendakwa Raya,  Nathaniel Khng seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian Singapura.

"Dalam memberi jawapan terhadapnya, Jho Low secara berani menyatakan dalam emel pada 7 November 2012 kepada BSI bahawa dia telah memutuskan untuk memberi bapanya kemewahan yang beliau kecapi "sebagai dasar hormat dan murah rezeki yang timbul daripadanya," dan bapanya kemudian memutuskan untuk menerima hanya jumlah yang kecil dan selebihnya dikembalikan,"  tegas Khng. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.