Malaysia Tangguh Kuatkuasakan Undi-18, Pendaftaran Automatik
2021.03.25
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu

Lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang berusia di antara 18 dan 21 tahun dijangka tidak akan dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika diadakan tahun ini, selepas pihak berkuasa pilihanraya berkata bahawa proses persiapan untuk membolehkan golongan tersebut mengundi telah tergendala akibat pandemik COVID-19 dengan memberi jangkaan selepas 1 September 2022 hanya dapat beroperasi.
Pengumuman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada Khamis itu telah membangkitkan kemarahan banyak pihak termasuk Ahli Parlimen, politik dan aktivis yang percaya bahawa pandemik hanya dijadikan sebagai alasan untuk tidak membenarkan orang muda Malaysia mengundi.
Selain itu mereka juga mempersoalkan tempoh masa lama yang diambil SPR selepas Undi18 diluluskan sebulat suara di Parlimen pada Julai dua tahun lepas dengan sebuah parti politik yang diasaskan oleh gerakan perjuangan belia memberitahu yang mereka akan membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan tiga muka surat berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung dalam negara bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan persiapan mereka untuk merealisasikan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik.
"SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR. Justeru, Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangkakan boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR," kata beliau dalam kenyataan itu.
Pada 16 Julai 2019, Malaysia mencatatkan sejarah apabila parlimennya meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Cadangan tersebut dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dan ia mendapat sokongan tanpa bantahan daripada semua 211 Ahli Parlimen yang hadir termasuk daripada pembangkang dengan seramai 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat semasa undian itu dibuat.
"SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya. Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi Kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya," kata Abdul Ghani.
Menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan, rekod mereka menunjukkan jumlah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang, termasuk 1.2 juta daripada jumlah itu adalah individu yang berusia di antara 18 hingga 20 tahun.
Tentangan keras
Pada hari yang sama SPR membuat pengumuman kelewatan pelaksanaan Undi18, ia telah menerima pelbagai reaksi negatif dari pelbagai pihak, termasuk pimpinan parti UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang bekas menteri kabinet yang termuda dalam sejarah negara, telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa SPR ke mahkamah.
"MUDA ingin mengumumkan bahawa kami sedang menguruskan usaha untuk memfailkan kes di mahkamah dengan secepat mungkin berkaitan penangguhan perlaksanaan #UNDI18. Alasan yang dikemukakan tidak masuk akal dan seolah-olah memperbodohkan rakyat Malaysia," kata Lim Wei Jiet, naib presiden MUDA dalam satu kenyataan media.
Penangguhan pelaksanaan Undi18 itu juga dilihat sebagai satu perkara yang melanggar hak asasi demokrasi serta bercanggah dengan perlembagaan negara selepas lebih daripada dua pertiga ahli parlimen menyokong usul menurunkan had umur mengundi, kata beliau.
"Kerajaan hari ini nampaknya begitu tekad mahu menekan anak muda. Hendak seribu daya, takut seribu dalih," tambah Lim.
Kumpulan aktivis #UNDI18 yang bergerak aktif menjalankan kempen untuk menggesa penurunan had umur mengundi pula menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan Undi18.
"Pindaan Perlembagaan UNDI18 telah mendapat sokongan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk dilaksanakan sebelum Julai 2021. Penangguhan pelaksanaan Pindaan Perlembagaan adalah tidak berasas," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke Twitter.
"YAB Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin, perlu menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi Malaysia mengikut garis masa yang telah ditentukan di Kabinet, dan juga telah diundi oleh beliau selaku Ahli Parlimen," tambah mereka.
Kumpulan itu turut mencadangkan supaya SPR menurunkan had umur mengundi dengan serta merta bagi memberi peluang kepada golongan muda mendaftar tanpa perlu menunggu sistem pendaftaran automatik.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan turut menyatakan ketidaksetujuan terhadap penangguhan yang diumumkan SPR.
"Saya secara peribadi dan pimpinan lain telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa #Undi18 perlu diteruskan kerana ini perkara yang telah diluluskan di Parlimen dan perlu dihormati. Kami sangat tak setuju ia dilambatkan," kata beliau dalam satu ciapan melalui akaun Twitter.
Sekumpulan lapan orang ahli parlimen pembangkang dari parti-parti politik dalam satu kenyataan media mahukan supaya Muhyiddin dan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan.
Mereka ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai, Kuala Lumpur), Steven Sim (Bukit Mertajam, Pulau Pinang), Khalid Samad (Shah Alam, Selangor), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar, Johor), Azis Jamman (Sepanggar, Sabah), Mukhriz Mahathir (Jerlun, Kedah), Wilfred Madius Tangau (Tuaran, Sabah) dan Baru Bian (Selangau, Sarawak).
Dalam kenyataan bersama itu, kesemua mereka mengecam tindakan SPR dengan menyifatkan penangguhan itu sebagai satu penghinaan kepada Parlimen.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR ini. Ia adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, di mana Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, maka keputusan ini adalah kegagalan bersama Jemaah Menteri.
"Perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin adalah di antara 211 Ahli Parlimen yang telah bersama meluluskan pindaan ini. Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera," kata kenyataan media dikeluarkan kumpulan tersebut.
Sementara itu, seorang pelajar yang baru memasuki usia 18 tahun ketika dihubungi BeritaBenar menyatakan kekecewaan terhadap keputusan SPR dengan berkata, "Saya memang menantikan untuk mengundi, tetapi apabila membaca berita hari ini yang ia mungkin tidak akan berlaku, saya amat sedih dan kecewa."
"Ini mungkin sedikit kontroversi, tetapi saya mempunyai perasaan bahawa kerajaan sengaja melambatkan hak kami untuk mengundi, mungkin kerana mereka takut. Kerana peluang mengundi akan membawa impak besar kepada kejayaan negara dan kehidupan kami. Kami sudah cukup matang untuk membuat keputusan kerana ia akan memberikan kesan terhadap masa depan kami," kata Cherilyn A.
Seorang lagi pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Kian O, 18, berkata beliau sudah pasti akan keluar mengundi dalam pilihanraya akan datang sekiranya dibenarkan.
"Saya tidaklah begitu tidak sabar untuk mengundi. Saya akan berbuat demikian bila tiba masanya. Tapi secara peribadi, sudah tentu saya akan keluar mengundi pada pilihanraya akan datang sekiranya diberikan peluang," kata beliau.