Pengguna dan Pembekal Dakwa Keliru Tentang Cukai SST

Hadi Azmi
2018.09.04
Kuala Lumpur, Malaysia
180904-MY-sst-620.jpg Pengguna membeli barangan dapur di pasaraya walaupun berhadapan dengan kenaikan harga, Kuala Lumpur, 4 September, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pelanggan dan pembekal sama-sama mendakwa keliru dengan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan(SST) yang dikenakan bagi mengganti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dihapuskan oleh kerajaan baru Malaysia.

Cukai SST yang berkuatkuasa pada 1 Sept merupakan janji kerajaan baru Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST yang dikatakan punca kepada kenaikan kos sara hidup sejak awal pengenalannya pada 2014.

GST yang pada awalnya dikatakan sebagai langkah negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan keuntungan minyak menggantikan cukai jualan 1972. Ia menjadi sasaran pengkritik perdana menteri Najib Razak dan kerajaan sebelum ini. Ini adalah salah satu punca yang dikatakan berlakunya kekalahan kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum ke 14 Mei lalu.

Seminggu selepas menguasai Putrajaya, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengumumkan tiga bulan tanpa GST yang berkuatkuasa pada 1 Jun ketika kerajaan merangka cukai SST untuk dibentangkan di Parlimen.

Dalam usaha kerajaan memperkenalkan semula SST, pengguna merasa keliru tentang cukai baru itu kerana mereka mendakwa ianya tidak diterangkan dengan jelas oleh kerajaan.

Bercakap kepada BeritaBenar, surirumah Ratna Semardji berkata berbanding dengan GST, kerajaan pada waktu itu memberikan pelbagai pengumuman untuk menjelaskan secara terperinci tentang cukai tersebut di dalam semua jenis media.

“Kami tidak nampak dengan SST selain dari suratkhabar tetapi itupun terlampau terperinci dan penuh dengan perkara yang teknikal,” kata ibu kepada tiga anak.

Dia berkata, beliau mengambil masa yang agak lama untuk memahami tentang GST dan sekarang terpaksa bermula dari awal untuk faham mengenai SST pula.

“Yang saya risaukan adalah tentang sesetengah penjual yang tidak beretika dan  menggunakan peluang ini untuk menambahkan kecelaruan bagi menaikkan lagi harga barangan seperti apa yang berlaku ketika GST mula-mula diperkenalkan,” katanya.

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia rekod menunjukkan 6,830 aduan diterima daripada pengguna pada 2015 selepas GST diperkenalkan tetapi berkurangan kepada cuma 1,235 aduan di 2016.

Berbanding dengan GST yang ditetapkan pada 6 peratus pada keseluruhan barangan, di bawah SST, cukai itu diletakkan di antara 5 peratus atau 10 peratus untuk jualan bergantung kepada jenis produk dan 6 peratus bagi perkhidmatan yang menurut Ratna akan menimbulkan kecelaruan.

Sebanyak 5,443 barangan pengguna dikecualikan daripada cukai jualan berbanding hanya 545 di bawah GST manakala jumlah cukai perkhidmatan perniagaan ialah 43.49% di bawah SST berbanding 65.85% cukai perkhidmatan yang dikenakan di bawah GST.

Dalam laporan media, Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy berkata hampir 85% daripada perniagaan di Malaysia tidak akan dikenakan cukai di bawah SST.

"Ada lebih 472,000 perniagaan yang didaftarkan di bawah GST, tetapi kami hanya menjangkakan hanya 80,000 perniagaan berdaftar  di bawah SST,” beliau berkata.

Tobias Lim, seorang pelajar, walau bagaimanapun lebih positif terhadap perubahan tersebut, dan dia tidak melihat sebarang perubahan mendadak dalam kos sara hidup.

“Dari GST 6% kepada GST 0% dan kepada SST, saya merasakan tiada perbezaan ketara dalam harga, ianya lebih kurang sama,” kata Lim yang lebih risau berkenaan perkara lain berkaitan dengan kerajaan.

“Keadilan, kesamarataan, semua ini yang sepatutnya menjadi fokus. Yang lain itu kita biarkan kepada pasaran bebas yang menentukan,” katanya.

Walaupun Lim berpendapat begitu, media sosial hangat dengan penggunanya yang tidak puas hati atas kadar prabayar yang dikenakan cukai.

Dalam maklumbalas beliau, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihak kementeriannya sudah pun mengeluarkan arahan untuk nilai yang ditolak cukai itu dikreditkan semula kepada pengguna.

“Tidak sepatutnya berlaku masalah teknikal tetapi jika ia tetap berlaku kita akan memberikan rebet kepada pengguna,” kata menteri kewangan itu seperti dilaporkan Bernama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.