Statut Rom: Petisyen Peroleh Momentum Selepas Malaysia Tarik Diri
2019.04.10
Kuala Lumpur, Malaysia

Petisyen yang meminta Malaysia supaya menyertai satu perjanjian, yang telah membawa kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), memperoleh beribu-ribu tanda tangan sejak 6 April lalu walaupun Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyatakan bahawa negara itu akan menarik diri daripada Statut Rom.
Malaysia, yang pada mulanya bersetuju untuk mengiktiraf perjanjian itu, menarik balik keputusannya minggu lalu selepas menerima bantahan kuat daripada seorang sultan yang berkuasa dan ahli-ahli pembangkang.
Beberapa hari kemudian, sekumpulan penuntut dan aktivis belia mendedahkan kepada umum tentang kandungan satu laporan 10 muka surat yang disediakan oleh empat ahli akademik yang membantah Statut Rom. Laporan itu telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja yang terdiri daripada sembilan Sultan dari 13 negeri di Malaysia.
"Kami menerima lebih daripada 10,000 tanda tangan sejak melancarkan petisyen ini pada Sabtu lalu," kata Asheeq Ali Sethi Alivi, seorang aktivis belia, kepada BeritaBenar.
Para aktivis belia itu percaya bahawa laporan akademik tersebut adalah faktor yang menyebabkan raja-raja membantah Statut Rom, yang seterusnya membawa kepada tindakan kerajaan untuk tidak meneruskan ratifikasinya.
Kumpulan penuntut dan aktivis belia yang sama itu kini menggerakkan petisyen tersebut bagi menggesa Majlis Raja-raja dan kerajaan supaya memberi laluan kepada Malaysia untuk meratifikasikan Statut Rom.
Tindakan tidak meratifikasi Statut Rom menyebabkan Malaysia tidak dapat mencari keadilan untuk mangsa-mangsa MH17, kata Asheeq, yang merujuk kepada insiden pesawat penerbangan Malaysia Airlines ditembak jatuh di sebuah wilayah di Ukraine yang dikuasai pemberontak yang disokong Rusia kira-kira lima tahun lalu.
"Malaysia sepatutnya sertai Statut Rom dan memaksa serta menggesa supaya siasatan dilakukan untuk MH17. Itulah tujuannya Statut Rom," katanya. "Tetapi, kita tidak menyertainya…anda ingat mereka nak [ICC] layan kita?"
Penerbangan MH17 pesawat besar Boeing 777 Malaysia Airlines sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila sebuah peluru berpandu menembaknya jatuh di zon konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapal.
Kenyataan Mahathir
Minggu lalu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad memberitahu sidang berita bahawa negara itu tidak akan mengiktiraf Statut Rom kerana ahli-ahli politik pembangkang telah "menimbulkan kekeliruan rakyat bahawa undang-undang itu akan menafikan hak-hak orang Melayu dan raja-raja. "
"Ini bukan kerana kami menentangnya, tetapi kerana kekeliruan politik mengenai apa yang diperlukan, yang ditimbulkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu," kata Mahathir.
Pada Isnin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata kerajaan harus menangani isu-isu Melayu dengan penuh berhati-hati berikutan potensi rampasan kuasa memandangkan orang Melayu mewakili majoriti penduduk negara itu, lapor akhbar The Star.
"Seperti yang anda tahu, polis dan tentera secara asasnya merupakan institusi berasaskan Melayu. Sebab itu, adalah amat penting untuk menangani isu ini dengan berhati-hati, "kata beliau seperti yang dipetik akhbar itu.
Khalid menarik perhatian kepada kejadian rampasan kuasa di Mesir pada 2013 di mana pihak tentera menggulingkan presiden Mohamed Morsi, lapor akhbar The Star.
Malaysia, yang mendapat kemerdekaannya pada Ogos 1957, tidak pernah mengalami kejadian rampasan kuasa tetapi kerajaan pernah mengisytiharkan darurat pada Mei 1969 selepas berlakunya rusuhan kaum yang menyebabkan hampir 200 orang terbunuh. Diplomat Barat pada ketika itu mengandaikan angka kematian mencecah hampir 600.
Boleh didakwa
Dalam ringkasan akademik yang didedahkan itu, empat penulis berkenaan mendakwa sekiranya Malaysia menandatangani Statut Rom, ia boleh membawa Yang di-Pertuan Agong kepada kemungkinan didakwa di ICC yang berpejabat di The Hague berikutan peranan Seri Paduka sebagai komander tertinggi Angkatan Tentera.
Bagaimanapun, pakar undang-undang perlembagaan Shad Saleem Faruqi yang juga profesor di Universiti Malaya, menangkis teori itu dan berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai raja berperlembagaan, tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang jenayah perang kerana Seri Paduka hanya bertindak atas nasihat perdana menteri dan kabinet.
"Orang yang bertanggungjawab adalah perdana menteri dan panglima angkatan tentera," kata Shad kepada BeritaBenar.
Ditanya sama ada Majlis Raja-Raja ada meminta nasihatnya, beliau berkata, "Tidak, tetapi Yang di-Pertuan Agong telah menitah saya untuk menghadap. Saya menghadap Seri Paduka dengan jawapan bertulis. "
Malaysia akan berada dalam kedudukan yang lebih baik bagi membangkitkan isu-isu seperti perjuangan Rohingya dan Palestin sekiranya ia mengiktiraf perjanjian asas ICC itu, kata Shad.
"Tetapi kita tidak berdaya sebab kita tidak boleh berunding dengan kerajaan Myanmar kerana seperti mereka, kita bukanlah ahli ICC," katanya.
"Kita hanya boleh lantang bersuara tentang pembunuhan beramai-ramai di Palestin, jenayah kemanusiaan di Myanmar tetapi kita tidak bersedia untuk menyokong undang-undang itu sekarang," kata Shad, yang merujuk kepada undang-undang antarabangsa itu.
Perjanjian itu membawa kepada penubuhan ICC yang mempunyai fungsi dan bidang kuasa untuk mendakwa pelaku genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
ICC, yang ditubuhkan pada 2002, digelar sebagai "gelanggang terakhir" kerana ia hanya mengambil tindakan undang-undang apabila sesebuah kerajaan tidak bersedia atau tidak dapat mendakwa individu yang dituduh melakukan satu daripada empat jenayah tersebut. Sehingga Mac 2019, sebanyak 122 negara telah menandatangani Statut Rom.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan selepas kemenangan besar pilihan raya umum pada Mei tahun lepas, Mahathir,93, juga mengetepikan janji pilihan raya untuk mengesahkan satu perjanjian PBB terhadap diskriminasi kaum, walaupun dikecam pengkritik yang menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.
Pemerhati: Perjanjian 'sengaja diserang'
Bekas diplomat Dennis Ignatius berkata kekeliruan, ketidaktahuan atau salah faham bukanlah punca yang menjejaskan sokongan Malaysia terhadap perjanjian itu sebaliknya ia dilakukan oleh satu kempen terancang yang menyebarkan maklumat salah dan maklumat yang tidak tepat.
"Statut Rom sengaja diserang oleh beberapa kumpulan yang berkuasa sebagai sebahagian daripada satu rancangan berbahaya untuk mencabar dan menjejaskan kerajaan," kata Ignatius dalam artikelnya di portal berita Free Malaysia Today pada 10 April.
"Jelas sekali, orang yang berkuasa - orang yang kini diminta bertanggungjawab terhadap perbuatan mencuri dana awam dan salah laku kuasa, orang yang mendapat keuntungan daripada budaya rasuah, kronisme dan keruntuhan institusi yang berlaku di bawah rejim pemeritahan sebelumnya, orang yang mengeksploitasi kerentanan Najib demi melepaskan diri sendiri - berasa terancam dengan kerajaan baru dan agenda pembaharuannya serta bertekad untuk melemahkan kerajaan dengan apa cara sekali pun,"kata Ignatius, yang merujuk kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.
"Bukanlah Mahathir yang mengkhianati kepercayaan rakyat sebaliknya ia dilakukan oleh mereka yang berusaha membawa raja-raja supaya menentang kerajaan yang dipilih," kata Ignatius.