Malaysia Sekat Laman Sesawang Cari Teman Dakwa Tawar Seks

Polis Diraja Malaysia berkata siasatan sedang dijalankan terhadap laman sesawang itu selepas mendapat laporan daripada pihak awam dan universiti.
Nisha David
2021.02.16
Kuala Lumpur
Malaysia Sekat Laman Sesawang Cari Teman Dakwa Tawar Seks Paparan mesej yang timbul selepas akses ke laman sesawang Sugarbook disekat Kerajaan Malaysia, 16 Februari, 2021.
[Ihsan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia]

Malaysia telah menyekat akses ke laman sesawang mencari teman dan temujanji yang didakwa telah menyalahi undang-undang multimedia negara itu dan dipercayai memberi insentif kewangan sebagai balasan terhadap tawaran seks, dengan pihak berkuasa pada Selasa berkata laman berkenaan sedang disiasat dibawah tiga akta berbeza ekoran laporan polis yang diterima.

Laman sesawang ‘Sugarbook’ tidak dapat diakses di internet, sejak Isnin, dengan penyedia perkhidmatan internet memaparkan notis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memaklumkan sama ada “Lama sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara” atau “Akses kepada laman sesawang ini dihalang di bawah Seksuem 263(2) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang Malaysia”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed ketika dihubungi BeritaBenar berkata, pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada universiti tempatan dan orang awam susulan tular infografik statistik yang diterbitkan Sugarbook mengenai penyertaan rakyat Malaysia dalam laman sesawang itu.

“JSJ telah memulakan siasatan terhadap aplikasi laman web mencari teman dan suai-kenal 'Sugar Book' untuk mengenalpasti aktiviti sebenarnya, yang berkemungkinan menjurus kepada aktiviti pelacuran," kata Huzir kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata Sugarbook kini disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, atas kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.

"Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Bukit Aman telahpun menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan ini,” tambah Huzir lagi.

Laman sesawang antarabangsa Sugarbook yang berpusat di Cyprus, negara pulau di Laut Mediterranean itu menyediakan platform untuk mencari wanita muda sebagai pendamping atau teman berbayar lebih dikenali sebagai 'sugar baby' kepada golongan lelaki atasan dikenali Sugar Daddy.

Sugarbook mohon maaf

Pengasas Sugarbook, Darren Chan melalui akaun Facebooknya pada Selasa mengesahkan sekatan itu dan meminta maaf kerana tidak mampu membuat apa-apa tindakan buat sementara waktu namun menyatakan mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan satu perhubungan yang moden kepada pelanggannya.

"Kami percaya kerajaan Malaysia tahu yang mana terbaik untuk rakyatnya dan bertindak dalam niat yang baik. Jadi, kami sedang mengambil langkah-langkah yang terbaik bagi mengelak sekatan yang sama tidak berlaku di negara lain," katanya.

Chan pada 10 Februari melalui laman media sosialnya menyatakan masalah kewangan dihadapi penuntut institusi pengajian tinggi bagi menjelaskan yuran pengajian, keperluan asas serta terikut gaya hidup mewah dipercayai punca lonjakan lebih 40 peratus pendaftaran baharu di platform temu janji Sugarbook.

Chan turut memaklumkan aktiviti perkenalan antara penuntut IPT dan lelaki berkerjaya meningkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu semua IPT terpaksa ditutup dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

"Bagaimanapun banyak keluhan daripada penuntut memaklumkan bayaran yuran pengajian IPT masih sama seperti ketika pembelajaran secara bersemuka sekali gus menyebabkan sesetengah keluarga penuntut berdepan kesukaran bagi membuat pembayaran.

"Berdasarkan data yang kami peroleh, seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi sugar baby diterima membabitkan penuntut di 10 IPT di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam," katanya.

Beliau berkata, purata umur sugar daddy di Malaysia yang berdaftar dengan platform itu adalah 35 tahun manakala majoriti golongan sugar baby berusia sekitar 23 tahun.

"Pelbagai latar belakang kerjaya golongan sugar daddy termasuk di kalangan ahli perniagaan, jurutera, peguam, doktor serta pegawai eksekutif dengan purata pendapatan RM150,000 (AS$37,220) setahun.

"Purata imbuhan bagi ‘Sugar baby’ di Malaysia di kalangan model sambilan, pelayan, jururawat dan pembantu peribadi pula adalah sebanyak RM2,500 sebulan(AS$620)," katanya.

Darren sebelum itu mengumumkan pelanggan aplikasi itu sudah mencecah 1 juta orang pada tarikh berkenaan.

Ketiga tertinggi di Asia

Menurut laporan media tempatan negara itu baru-baru ini, Malaysia telah diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Statistik laporan menunjukkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook bagi mencari 'sugar daddy', iaitu peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika COVID-19.

Mengulas mengenai mengenai penglibatan pelajar universiti Malaysia yang berdaftar dengan aplikasi itu, Huzir berkata, "JSJ telah berhubung dengan pihak pengurusan universiti bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti tidak bermoral yang berkemungkinan wujud dalam kalangan penuntut mereka”.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama semua universiti yang terkait berkata sedang menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan pelajar mereka dengan kegiatan sugar baby.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Husaini Omar, dalam satu kenyataan media pada Isnin berkata usaha terbabit di buat bagi menangani dakwaan yang dilaporkan media itu dengan sebaik-baiknya.

SKMM melalui kenyataan media pada Isnin menyatakan yang suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan terhadap aplikasi Sugarbook yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.

"Pihak SKMM akan memantau dan menyiasat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung aplikasi Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu jika didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dilakukan oleh pihak PDRM," kata suruhanjaya tersebut.

Gaya hidup tidak bermoral

Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang boleh mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah jelas dilarang mengikut syarak.

“Sejajar dengan itu, larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook ataupun mana-mana aplikasi lain yang berkaitan dengannya adalah selaras dengan prinsip Sadd al-Dzara’i’ iaitu penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada perbuatan yang haram di sisi Islam.

“Selain itu, aktiviti sebegini juga jelas bercanggah dengan norma masyarakat di Malaysia yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam aspek pergaulan di antara lelaki dengan wanita,” kata beliau.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) meminta KPT bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini bagi menyelidik dakwaan pelajar mendaftar dengan laman web itu sebagaimana yang didedahkan.

Sebelum ini, pada Dec 2019, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah mengarahkan struktur papan iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara ditarik serta- merta.

Paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan menurut laporan pihak operator telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia serta perlu ditarik segera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.