SUHAKAM Siasat Dakwaan Tahanan Didera

Melati A. Jalil
2016.08.18
Kuala Lumpur
160818-my-suhakam-razali-620 Pengerusi SUHAKAM Razali Ismail ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Kumpulan Sivil Mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara di Kuala Lumpur, 18 Ogos, 2016.
[Melati A. Jalil/BeritaBenar]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedang menyiasat dakwaan kes penyeksaan yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Juru di Pulau Pinang sehingga menyebabkan kematian, sambil menyifatkan benar dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang mengaibkan kerajaan.

Pengerusi SUHAKAM Razali Ismail ketika ditemui BeritaBenar memberitahu adalah menjadi tanggungjawab dan mandat suruhanjaya itu untuk menyiasat dengan lanjut mengenai dakwaan  wujudnya penyeksaan sehingga menyebabkan kematian.

Pada Selasa lepas, kerajaan Kemboja telah mengarahkan kedutaannya di Kuala Lumpur untuk menyiasat keadaan rakyatnya yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen itu, susulan dakwaan tahanan di pusat berkenaan telah diseksa dan dipukul oleh warden, sehingga ada yang mati, demikian lapor akhbar Cambodia Daily.

Akhbar itu dalam laporannya berkata, dua wanita Kemboja yang dihantar pulang pada Jun lepas atas usaha sebuah pertubuhan hak asasi negara itu telah menceritakan bagaimana dia ditendang dan dipukul oleh warden di pusat tahanan itu kerana tidak memahami apa yang diperkatakan oleh pegawai penjara berkenaan.

“Mereka diseksa kerana tidak boleh bertutur Bahasa Melayu dan tahanan lain seperti dari  Vietnam, Thailand, Indonesia dan Laos, diseksa teruk,” kata Cambodia Daily dalam laporannya memetik seorang daripada dua wanita yang dibawa pulang.

“Kami ditolak dan kepala ditekan ke dinding. Seorang pegawai bernama Ma Pon selalu menumbuk dan menendang kami,dan sepanjang tinggal di situ, saya menyaksikan sendiri lima warga Kemboja dan dua warga Vietnam meninggal dunia, tiga daripadanya wanita yang tinggal bersama kami, “ tambah wanita itu seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Razali yang diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut berkata, “Jika benar dakwaan itu, ia adalah satu “perkara yang mengaibkan kepada kerajaan” dan merugikan masyarakat”

“Saya tidak menuding jari kepada kerajaan (kerana) tiada siapa tahu. Inilah antara masalahnya dengan pusat tahanan serta bagaimana mengelak tahanan daripada menjadi mangsa penyeksaan," kata Razali semasa ditemui di Kuala Lumpur pada Khamis.

Bagaimanapun, akhbar The Phnom Penh Post pada Rabu melaporkan bahawa Kementerian Luar Negeri Kemboja menyangkal dakwaan kedua-dua wanita berkenaan kerana mereka tidak menyuarakan insiden tersebut kepada pihak kedutaan di Kuala Lumpur semasa prosedur penghantaran balik.

Menurut laporan yang disiarkan akhbar yang memetik kenyataan media kementerian itu sebagai berkata, hanya seorang warga Kemboja yang dikenali sebagai Sang Plath telah mati dalam tahanan di pusat tahanan itu pada tahun ini manakala hanya tinggal seorang lagi warga negara berkenaan berada di dalam tahanan pusat berkenaan dan beliau akan dihantar pulang tidak lama lagi.

Imigresen bidas dakwaan

Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali gagal dihubungi Berita Benar untuk mendapat ulasan mengenai perkara berkenaan.

Bagaimanapun, Mustafar dalam satu laporan oleh agensi berita nasional Malaysia (Bernama) turut menafikan dakwaan wanita Kemboja diseksa dan mati dalam tahanan di pusat berkenaan.

"Kami telah menjalankan siasatan dan mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar," kata beliau dalam laporan itu.

Sementara itu, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy pula memberitahu BeritaBenar bahawa kenyataan pihak imigresen yang menolak dakwaan tersebut bagaikan mempertahankan kedudukan jabatan itu.

"Kenyataan tersebut sebenarnya adalah untuk mempertahankan Jabatan Imigresen…. Suaram mahukan sebuah badan bebas untuk menyiasat. Biar SUHAKAM menyiasat dan keluarkan laporan, barulah kita tahu apa yang berlaku," kata beliau kepada BeritaBenar pada Khamis.

Beliau menambah bahawa siasatan terhadap dakwaan itu perlu dijalankan dengan segera oleh semua agensi penguatkuasa yang terlibat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan SUHAKAM, jika ada laporan mengenai dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International (AI) Shamini Darshni menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan saksama terhadap dakwaan tersebut.

"Ini adalah tuduhan yang serius dan pihak berkuasa perlu memulakan siasatan dengan segera, terutamanya apabila ia bukan kali pertama dakwaan penyeksaan dan kematian dalam tahanan," beliau berkata dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa badan yang mengawal-selia agensi penguatkuasaan iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) serta SUHAKAM menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.

"Penderaan tidak boleh dijustifikasikan. Ia adalah keganasan kejam dan disasarkan kepada orang lain dan tidak tergolong dalam masyarakat bertamadun.

"Membenarkan penderaan untuk diguna pakai menunjukkan kegagalan politik untuk mencegah jenayah ini daripada berterusan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.