Pandemik: Hak Asasi Manusia Masih Relevan Bina Semula Kehidupan
2020.12.10
Kuala Lumpur

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa hak asasi manusia menjadi semakin relevan semasa pandemik kerana melibatkan kehidupan, masyarakat dan pembangunan negara, dengan kumpulan hak asasi berkata kerajaan lebih memberi fokus kepada kelangsungan politik berbanding agenda reformasi terhadap masalah hak asasi manusia.
Kluster Kebebasan Bersuara (Kluster FOE), sebuah kumpulan terdiri daripada beberapa badan hak asasi manusia Malaysia turut memanggil Putrajaya menghentikan gangguan intimidasi terhadap pengkritik yang menggunakan hak bersuara.
Pengerusi Suhakam, Othman Hashim berkata walaupun berdepan dengan kekangan menjalankan tugas menyiasat aduan dan pemerhatian serta akses ke pusat tahanan dan penjara dengan begitu ketat semasa pandemik, suruhanjaya itu memberi jaminan akan terus memantau situasi, menarik perhatian pihak berwajib untuk melindungi hak asasi manusia serta tiada penyisihan.
“Pendekatan hak asasi manusia semakin relevan, walaupun semasa kita berusaha untuk membina semula kehidupan semasa pandemik, memperolehi kembali mata pencarian, memperkasakan masyarakat dan menyambung pembangunan semula negara,” kata beliau ketika berucap pada Forum Maya Hari Hak Asasi Manusia 2020 pada Khamis.
Beliau berkata, perintah kawalan pergerakan yang dikenakan untuk mengawal penyebaran virus COVID-19 telah menghalang kumpulan terpinggir seperti Orang Asli, mereka yang tinggal di pedalaman, wanita dan kanak-kanak, golongan miskin bandar, pelarian, pemohon suaka, serta pekerja asing, daripada mengakses hak asasi mereka.
Sehubungan itu, tumpuan Suhakam pada masa ini adalah untuk mempromosi, perlindungan dan advokasi melibatkan hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat yang rentan termasuk menangani isu perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia di Malaysia semasa pandemik.
Sementara itu, tiga belas badan bukan kerajaan yang menggelarkan diri sebagai Kluster FOE dalam satu kenyataan media mendesak kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin yang mentadbir Malaysia sejak Mac lalu, supaya menghentikan segala bentuk gangguan dan intimidasi terhadap pengkritik dengan meminta Putrajaya memberi komitmen terhadap galakan fundamental hak asasi.
“Kerajaan hari ini kelihatan lebih mementingkan kelangsungan politik sendiri dan meletakkan agenda reformasi diposisi paling belakang, dan tindakan itu dapat dilihat semasa kerajaan mengambil keputusan enggan memperdebatkan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Parlimen baru-baru ini,” kata kenyataan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan minggu lepas berkata kerajaan tidak bercadang untuk membawa usul perbahasan laporan tahunan Suhakam di Dewan Rakyat kerana urusan-urusan kerajaan perlu didahulukan, selain kerajaan tidak mempunyai masa yang mencukupi.
Kumpulan sivil yang mengeluarkan kenyataan pada Rabu sehari sebelum sambutan Hari Hak Asasi Sedunia juga berkata opresi terhadap hak bersuara dan ekspesi terus berlaku dengan kerajaan mengambil tindakan undang-undang sebagai mengertak atau mahu menutup mulut pengkritik semasa negara itu terus bergolak kerana ketidakstabilan politik dan penularan koronavirus.
Kluster FOE turut meminta kerajaan menghentikan semua intimidasi dan gangguan seperti mengenakan moratorium keatas penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu undang-undang yang memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk penguatkuasaan media sosial dan internet.
Selain itu, kumpulan berkenaan turut menyarankan kerajaan untuk menghapuskan dua undang-undang tersebut dan juga Akta Rahsia Rasmi, disamping menarik balik pendakwaan terhadap mereka yang disiasat berhubung kes kebebasan bersuara dan juga meratifikasi beberapa perjanjian antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.
Dengan menyenaraikan beberapa contoh kejadian, kumpulan itu berkata telah berlakunya penguncupan kebebasan media yang serius, sejak Perikatan Nasional memegang tampuk pemerintahan sembilan bulan lepas, dengan aktivis hak asasi dan wartawan dikenakan prosiding jenayah bagi menakutkan atau mendiamkan suara-suara tidak berpuas hati mereka.
Antara yang dapat dilihat sejak sembilan bulan lalu adalah tindakan terhadap agensi media antarabangsa Al Jazeera dan wartawan Tashny Sukumaran atas liputan yang dibuat berhubung isu pekerja asing manakala Boo Su-Lyn, editor laman CodeBlue yang memberi fokus isu kesihatan menjadi sasaran kerana menyiarkan laporan inkuiri yang dibuat dalam kes kebakaran hospital, dan portal Malaysiakini pula diheret ke mahkamah atas komen dibuat pihak ketiga berkenaan laporan kehakiman.
“Media juga berdepan dengan rintangan yang signifikan dan penyusutan ruang kerana sekatan atau had akses berkaitan COVID-19. Akses kepada sidang media harian COVID-19 oleh Menteri Pertahanan hanya dihadkan kepada media rasmi sahaja, termasuk sidang Parlimen,” kata kumpulan tersebut.
Dana bantuan
Kluster FOE juga menubuhkan Dana Bantuan Guaman bagi membayar yuran guaman serta perbelanjaan lain kepada mereka yang berdepan dengan siasatan dan pendakwaan kerana menggunakan ekspresi hak kebebasan.
Diuruskan oleh Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR), dengan objektif utama menggalakkan kebebasan bersuara di Malaysia, permohonan bantuan dana itu akan dipertimbangkan oleh sebuah panel berdasarkan 'case-by-case basis'.
Firdaus Husni, Ketua Strategi Hak Asasi Manusia MCCHR berkata penerima yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang tidak mempunyai kemampuan kewangan akan dibantu.
Aktivis pelajar, Wong Yan Ke yang ditahan pihak berkuasa Nov lepas adalah seorang daripada penerima dana tersebut.
Bulan lalu, Wong yang juga bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) ditangkap pihak polis sebelum didakwa di mahkamah dengan pertuduhan mengingkari arahan polis ketika satu serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor di mana beliau diarahkan supaya berhenti merakamkan visual serbuan polis tetapi enggan berbuat demikian.
Polis membuat serbuan berhubung kenyataan badan siswa tersebut disiarkan status di laman Facebook meminta Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan”.
Beliau yang mengaku tidak bersalah kemudiannya telah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan jaminan sebanyak RM1,000 (AS$246).
Wong terdahulu itu cuba mengumpul dana melalui bantuan dari orang ramai dan beliau dihubungi wakil dari Centre for Independent Journalism yang menasihatkannya untuk memohon bantuan dana tersebut.