Malaysia mungkin tolak anjur SUKOM 2026 jika terpaksa guna wang pembayar cukai

Menurut menteri berkenaan ini selepas mengambil kira segala maklum balas semua pihak namun keputusan muktamad akan dibuat oleh Kabinet.
Iman Muttaqin Yusof & Minderjeet Kaur
2024.03.21
Kuala Lumpur
Malaysia mungkin tolak anjur SUKOM 2026 jika terpaksa guna wang pembayar cukai Pemain badminton Malaysia, Koong Le Pearly Tan dan Muralitharan Thinaah bergambar bersama pingat emas yang dimenangi semasa perlawanan acara beregu wanita semasa Sukan Komenwel di arena NEC di Birmingham, tengah England, pada 8 Ogos 2022.
[Ben Stansall/AFP]

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Khamis berkata kerajaan mungkin menolak penganjuran Sukan Komanwel 2026 sekiranya wang pembayar cukai terpaksa digunakan sebagai tambahan kepada geran bantuan £100 juta (AS$127.93 juta) yang ditawarkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menganjurkan temasya itu.

Negara Asia Tenggara itu minggu lalu mengumumkan CGF menawarkan ia menjadi tuan rumah selepas penganjur asal iaitu Victoria, Australia menarik diri pada Julai susulan kebimbangan mengenai kos.

Beliau memaklumkan Jemaah Menteri dijadual membincangkan tawaran itu pada Jumaat selepas Majlis Olimpik Malaysia mencadangkan agar penganjuran temasya itu dibuat dalam skala lebih kecil.

“Mengambil kira wang pembayar cukai, iaitu wang rakyat, jika terpaksa digunakan, mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak menganjurkannya. Kita tunggu dahulu keputusan Kabinet,” katanya di Parlimen pada Khamis.

Yeoh berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan agar perbelanjaan penganjuran tidak melebihi geran yang diterima sekiranya Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah. KBS juga akan melantik badan untuk mengaudit akaun penganjuran itu.

“Keputusan ini mengambil kira maklum balas yang telah kita teliti sejak minggu lepas, semua berita, pandangan ahli olimpik, pandangan tokoh-tokoh dahulu yang telah menganjurkan dan yang kita telah baca.

“KBS tidak mahu mendahului perbincangan berkaitan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan esok. Saya percaya keputusan Jemaah Menteri akan mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan akan memastikan aspek tatakelola dan pengurusan kewangan yang baik bagi memastikan ketelusan dalam penganjuran temasya sukan itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika di Hamburg, Jerman berkata kerajaan akan meneliti setiap butiran dan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk KBS sebelum membuat keputusan menerima tawaran tersebut.

Sukan Komanwel yang julung kali dianjurkan pada 1930 sebagai Sukan Empayar British itu mengumpul atlet dari negara bekas jajahan Britain dalam temasya pelbagai sukan setiap empat tahun.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah pada 1998.

Pada 2022, Victoria berjaya memenangi hak untuk menganjurkan temasya sukan itu tetapi menarik diri setahun kemudian susulan kos acara melebihi jangkaan daripada AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Skala kecil

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Mohamad Nazifuddin Najib pada Isnin mencadangkan Sukan Komanwel edisi 2026 itu dianjurkan di Malaysia pada skala lebih kecil, termasuk mengurangkan jumlah acara yang dipertanding, pembukaan dan penutup lebih kecil, tempat tinggal atlet lebih mampu milik dan potensi menganjurkannya bersama-sama Singapura.

“Kebarangkalian itu ada untuk kita bekerjasama dengan Singapura tetapi boleh jadi Singapura membuat keputusan untuk menjadi tuan rumah dan kita terlepas peluang ini,” katanya seperti dipetik AFP.

Bagaimanapun, pengritik mempersoal keupayaan Malaysia menganjurkan acara yang menelan belanja besar itu dalam tempoh singkat. Perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada ekonomi tempatan termasuk menaik taraf fasiliti sukan untuk atlet.

“Mengapa kita tidak membelanjakan wang untuk meningkatkan ekonomi? Jangan tipu diri sendiri kerana kosnya akan menjadi mahal,” ujar Tony Mariadass, penganalisis sukan tempatan.

Beliau berkata memandangkan Malaysia mengambil masa enam tahun untuk membuat persiapan Sukan Komanwel 1998, tempoh dua tahun akan menjadi cabaran kepada negara Asia Tenggara itu.

“Pada 1998, keadaan berbeza. Kita sedang membina fasiliti baharu, kita juga negara Asia Tenggara pertama untuk menganjurkannya tetapi sekarang fasiliti perlu diperbaiki, kita juga perlu melantik perunding untuk semua kerja persiapan.

“Lebih baik untuk kita membelanjakan sumber itu membangunkan atlet-atlet kita, hantar mereka untuk dilatih di luar negara atau menggajikan jurulatih yang lebih baik dalam negara dengan fasiliti lebih baik,” katanya kepada BenarNews.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican turut senada dengan Mariadass. Katanya penganjuran temasya berkenaan tidak bersesuaian ketika ini kerana Malaysia akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.

“Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, satu persidangan serantau yang besar dan membabitkan kehadiran pemimpin utama dunia. Ini memerlukan kewangan yang besar dan persediaan rapi susulan penyertaan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Korea Selatan.

"Malaysia ada pengalaman (tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN) pada 2015. Bukan tidak mampu buat tetapi ruang yang ada amat terbatas untuk buat persiapan persidangan berskala antarabangsa dan Sukan Komanwel,” katanya kepada BenarNews.

Pakar ekonomi daripada Sunway Business School Yeah Kim Leng pula berkata jika Malaysia boleh berbelanja mengikut bajet, ia mampu mencipta kesan limpahan positif terhadap ekonomi negara.

“Kita perlu menilai cadangan mengecilkan sukan itu berdasarkan dana yang diberikan. Ia masih boleh diurus jika acara yang dipertanding masih dalam bajet.

“Manfaat kepada negara? Kita akan melihat kesan limpahan kepada ekonomi. Akan ada publisiti, pelancongan akan menjadi rancak, manfaat juga kepada ekonomi mikro ekoran perbelanjaan makanan dan barangan di kedai runcit. Perhotelan dan pengangkutan juga akan mendapat manfaat,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.