Sultan Kelantan Agong Ke-15

Hata Wahari
2016.10.14
Kuala Lumpur
161014-my-sultankelantan5-620.jpg Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, 47 yang turut dikenali sebagai Sultan Muhammad V, telah dipilih sebagai sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Disember depan, 14 Okt 2016.
[Ihsan Kerajaan Negeri Kelantan]

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) yang bersidang di Istana Negara telah memilih Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Disember depan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana pada Jumaat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan itu berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sejak 13 Disember 2011 dan akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.

Berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Menurut laporan agensi berita nasional Malaysia Bernama, Sultan Muhammad V yang dikenali sebagai Tengku Muhammad Faris Petra, 47, merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Baginda yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27, menurut laporan itu.

“Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

“Baginda tidak kekok bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali secara senyap, dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan,” menurut laporan Bernama itu.

Sultan Muhammad V yang juga merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pernah membuat rondaan dengan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014, yang gambar mengenainya tersebar luas di media sosial.

Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kenyataan menyembah tahniah kepada Sultan Muhammad V yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong baru.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, patik ingin menyembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Al-Sultan Negeri Kelantan Darul Naim atas pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV oleh Majlis Raja-Raja untuk tempoh lima tahun bermula 13 Dis 2016," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Najib juga menyembah tahniah kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dalam satu kenyataan turut merafak sembah setinggi-tinggi tahniah diatas pemilihan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 itu.

“Patik dan seluruh rakyat di Negeri Kelantan mendoakan KDYMM Tuanku agar sentiasa berada dalam peliharaan Allah hendaknya.   Bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan dan terus teguh memayungi sekalian rakyat di negara ini dengan Syariat Ilahi. Allahu Akbar,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu Bernama turut melaporkan Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Muhammad Hana Pizi Abdullah sebagai berkata, baginda Sultan sering berada di masjid termasuk di Masjid Muhammadi yang merupakan masjid negeri.

"Kami warga masjid amat dekat dengan tuanku kerana baginda cukup prihatin dengan masjid dan agama. Seperti yang diketahui umum, tuanku seorang sultan yang memang mendekati dan selalu berada di masjid dan selalu dapat ditemui rakyat," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.