Sultan Kedah Mangkat
2017.09.11
Alor Setar, Kedah

Malaysia pada Isnin terkejut dengan berita kemangkatan Sultan Negeri Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, satu-satunya Sultan yang telah ditabalkan dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat pada usia 89 tahun pada pukul 2.30 petang, Isnin di Istana Anak Bukit, Alor Setar, menurut Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada pagi Selasa membuka peluang kepada rakyat untuk memberi penghormatan terakhir, menurut Ahmad Bashah.
Ahmad Bashah berkata Almarhum Tuanku Abdul Halim akan dimakamkan pada 4 petang di Makam DiRaja Langgar, Kedah.
“Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai hari ini dan dalam waktu tersebut semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan akan dibatalkan,” katanya pada sidang media petang Isnin.
Tambahnya, bendera kerajaan Negeri dan Persekutuan akan dikibar separuh tiang selama tiga hari.
Beliau juga telah mengumumkan cuti am bagi seluruh negeri itu pada Selasa bagi memberi peluang kepada rakyat Kedah untuk mengikuti perjalanan jenazah Almarhum Baginda melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam DiRaja tersebut.
Namun, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berjalan seperti biasa, katanya.
Raja berjiwa rakyat
Perdana Menteri Najib Razak yang dalam lawatan ke Amerika Syarikat merafak sembah takziah atas kemangkatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sejurus tiba di Washington.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi.
"Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja negeri Kedah,” katanya dalam catatan Facebook beliau petang Isnin.
Najib juga menyifatkan Tuanku Abdul Halim sebagai seorang Sultan yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan juga sebagai pemerintah negeri Kedah.
"Almarhum Tuanku juga seorang yang peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat,” katanya.
Sementara itu, Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Pakatan Harapan turut merafak sembah takziah dengan pemergian Tuanku Abdul Halim.
“Patik, seluruh saf kepimpinan dan anggota Keadilan serta Pakatan Harapan berdoa agar Allah SWT mengurniakan keampunan dan melimpahkan rahmat buat Al-Marhum Tuanku Sultan Abdul Halim. Semoga roh Almarhum Tuanku ditempatkan bersama golongan yang soleh dan bertaqwa,” Presiden Parti Keadilan Rakyat yang merupakan isteri Anwar Ibrahim berkata dalam satu kenyataan.
Hampir genap setahun lalu, Tuanku Abdul Halim telah berkenan menerima menghadap bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dalam pertemuan yang jarang sekali berlaku, bagi membincangkan gesaan awam supaya menyingkir Najib yang terlibat dalam skandal rasuah.
Tuanku Abdul Halim berkenan bertemu Mahathir lebih daripada satu jam di Istana Anak Bukit pada 15 September di mana bekas perdana menteri itu menyerahkan "Deklarasi Rakyat" yang ditandatangani lebih daripada 1 juta rakyat Malaysia yang menggesa supaya Najib meletak jawatan berikutan dakwaan terlibat dalam menyalahgunakan berbilion dolar dana negara.
Biar jasa jadi kenangan
Berita kemangkatan Tuanku Abdul Halim disambut dengan hiba oleh seluruh warga negeri Kedah dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.
“Sebagai orang Kedah, ini adalah hari yang amat menyayatkan hati kerana saya membesar mengenali Almarhum sebagai satu-satunya Sultan negeri ini.
“Beliau telah menunjukkan contoh kepada rakyat Kedah kerana tidak menggunakan takhta untuk kepentingan peribadi. Tugasnya hanyalah untuk rakyat dan tidak ada kontroversi mengenainya. Biar jasa jadi kenangan,” kata Ismadi Yusuff, seorang eksekutif pelancongan kepada BeritaBenar.
Pada 2012, Baginda mencipta sejarah apabila ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong setelah ditabalkan buat kali pertama pada tahun 1970 sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5.
Tempoh pemerintahan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Disember tahun lalu dan diganti dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selama lima tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas).
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh tahun yang sama.
Tuanku Abdul Halim telah diputerakan pada 28 Nov. 1927 dan telah mewarisi takhta pemerintahan negeri pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda Baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Tuanku Abdul Halim kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959 sebagai Sultan Kedah yang ke-27.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah dan meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
Pada 1952, ketika Baginda masih bergelar Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim melanjutkan pengajian di Kolej Wadham, Oxford di London dalam bidang sains sosial dan pentadbiran awam.
Tuanku Abdul Halim mengahwini Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dan mereka dikurniakan tiga puteri, Tunku Soraya, Tunku Salina dan Tunku Puteri Intan Safinaz. Tunku Salina telah pun meninggal dunia.
Sultanah Bahiyah mangkat pada 2003 dan Tuanku Abdul Halim yang telah mengahwini Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 diumumkan sebagai Sultanah Kedah baharu pada 9 Januari 2004.
Antara hobi Tuanku Abdul Halim ialah fotografi dan mengumpul burung eksotik di Istana Baginda, membaca, bersukan dan muzik.