COVID 19: Jemaah Tabligh Jadi Tumpuan Dunia

Hadi Azmi & Zam Yusa
2020.03.20
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
200320-MY-SeriPetaling1000.jpg Perhimpunan besar-besaran umat Islam anjuran Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling pada bulan lalu dikaitkan dengan beratus-ratus kes serta dua kematian akibat COVID-19 di Malaysia, 19 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Satu gerakan Islam konservatif menjadi tumpuan dunia apabila perhimpunan besar-besaran yang dianjurkannya di Malaysia dikesan sebagai sumber bagi beratus-ratus jangkitan koronavirus di berbelas negara yang kini bergelut dengan pandemik global itu.

Pegawai Malaysia pada Jumaat melaporkan bahawa 624 daripada 1,030 kes COVID-19 di negara itu dikaitkan dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh gerakan mubaligh Jemaah Tabligh yang beribu pejabat di sebuah masjid di pinggir Kuala Lumpur.

Dua daripada tiga kematian COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia juga melibatkan para peserta perhimpunan itu yang padat memenuhi Masjid Sri Petaling dari 27 Feb hingga 1 Mac.

Pihak berkuasa telah dapat menyaring sekurang-kurangnya 10,553 orang daripada anggaran 16,000 hadirin selepas berita berhubung wabak itu dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

Kira-kira 1,500 warga asing dari 12 negara telah menghadiri perhimpunan itu dengan kebanyakan mereka didapati dijangkiti virus COVID-19 termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam, menurut laporan.

Pegawai-pegawai Malaysia giat berusaha untuk mengenal pasti beribu-ribu peserta tempatan perhimpunan itu yang masih belum tampil menjalani saringan.

"Saya faham ada kebimbangan mengenai kumpulan Tabligh, terdapat  lebih 4,000 orang lagi yang belum dikesan," kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kepada pemberita pada Khamis. "Walaupun polis akan berusaha mencari, namun saya berharap mereka yang pergi ke perhimpunan itu dapat membuat saringan secara sukarela,” kata beliau.

Malaysia mencatatkan bilangan kes COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara. Ia mengatasi Jepun untuk menjadi negara Asia yang mempunyai kes ketiga tertinggi selepas China dan Korea Selatan, menurut data yang disusun oleh pakar penyakit berjangkit Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.

Markas Jemaah Tabligh Malaysia, yang bermula di India pada 1920-an, menjauhi politik dan ia diterima oleh masyarakat Islam tempatan tetapi keengganan para pengikutnya untuk menyahut gesaan kerajaan supaya menjalani saringan COVID-19 telah mencemarkan imejnya, demikian menurut beberapa pihak.

"Tiada perkara buruk berlaku sebelum ini. Hanya kali ini, mereka terpalit dengan COVID-19," kata Ahmad el-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BeritaBenar.

Ahmad berkata kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mereka yang enggan disaring bagi mengesan COVID 19.

"Ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Ulama terkemuka Mohd Asri Zainul Abidin pula mempersoalkan sikap endah tak endah kalangan pengikut Jemaah Tabligh dalam menjalani saringan COVID-19, dan menganggap bahawa sesetengah daripada mereka mungkin menyimpang daripada ajaran Islam.

"Allah menghantar agamanya demi kesejahteraan manusia. Agama ini tidak mengajar para pengikutnya untuk memusnahkan diri sendiri," katanya kepada BeritaBenar.

"Tidak ada langsung ajaran Islam yang mengajar tentang membahayakan diri sendiri. (Tetapi) sesetengah ahli (Tabligh) seolah-olah tidak memahami tentang perkara ini, "katanya.

Markas Jemaah Tabligh Malaysia terletak di Masjid Sri Petaling dan telah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.

Pendatang Muslim India melancarkan markas Malaysia pada 1960-an, terutamanya di kawasan majoriti Melayu termasuk di Kedah, Perak dan Terengganu, menurut Khairin Sharep, ahli akademik Jabatan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

"Langkah memperkenalkan bahasa Melayu dan pendakwah tempatan dalam gerakan Tabligh pada masa itu menunjukkan permulaan strategi untuk memperkenalkan Jemaah Tabligh Melayu," katanya.

Menjelang 1970, gerakan itu menggunakan Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya untuk menarik ahli-ahli baru, katanya, sambil menjelaskan bahawa ia berfungsi sebagai organisasi yang longgar dan memberi tumpuan kepada misi berdakwah.

"Kelonggaran dalam struktur tertentu organisasi bertujuan memastikan pengikut Tabligh hanya menumpukan usaha mereka dalam misi berdakwah dan [bukannya memberi penekanan kepada] jawatan atau gelaran," kata Khairin.

Seorang ahli Jemaah Tabligh yang hanya mahu dikenali sebagai Zakariya menganggap wabak COVID-19 adalah ujian daripada Allah.

"Kita tidak perlu meneruskan sepenuhnya usaha Nabi Muhammad dan Allah mahu kita bertaubat dan menjadi lebih yakin di masa hadapan," kata Zakariya, 49, seorang kerani dari Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau memohon maaf bagi pihak mereka yang gagal tampil menjalani saringan.

"Akibat perbuatan segelintir orang, semua pengikut tabligh dilihat dari sudut buruk oleh orang lain. Dalam Islam, ajarannya amat mudah: Patuhilah kerajaan anda selagi mereka tidak meminta anda untuk melakukan perkara haram atau buruk, "katanya.

'Tinggalkan semua perkara'


Farish A. Noor, seorang ahli akademik yang berpejabat di Singapura dan mendalami tentang Jemaah Tabligh selama tujuh tahun, berkata gerakan itu "memberi penekanan yang amat besar terhadap para pengikutnya supaya keluar daripada zon selesa mereka, dan menerjah dunia bagi menghadapi cabaran dan kesukaran, serta meninggalkan semua benda berkaitan duniawi dan materialistik. "

Dalam ruangan Op-ed di The Straits Times of Singapore, Farish, seorang profesor madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, berkata sebahagian besar gerakan itu adalah baik.

"Ia tidak pernah mencetuskan konfrontasi dengan komuniti agama lain (kerana sebahagian besar pengikutnya berdakwah kepada sesama umat Islam) dan ia tidak pernah mempunyai cita-cita politik (kerana ia menganggap politik sebagai sesuatu yang duniawi dan oleh itu, dianggap sebagai gangguan kepada iman dan cinta kepada Allah)," katanya dalam catatan beliau.

Gerakan Jemaah Tabligh bukan sahaja terdapat di India dan Malaysia.

Ia menganjurkan perhimpunan setiap tahun, yang lazimnya pada  Januari seperti yang berlaku pada 2020, di dataran Ijtimak Bishwa yang terletak kira-kira 18 batu di utara Dhaka, ibu negara Bangladesh.

Penganjur mendakwa perhimpunan tahunan di Bangladesh itu menerima kehadiran lebih 5 juta umat Islam dan dilihat sebagai yang kedua terbesar selepas musim haji di Makkah dari segi jumlah penyertaan.

Perhimpunan lebih kecil yang dirancang diadakan di Indonesia sepanjang Ahad lalu telah dibatalkan pada saat-saat akhir berikutan kebimbangan mengenai COVID-19.

Pada Khamis, jurucakap Jemaah Tabligh Ali Yubra Kamaruddin berkata kira-kira 8,000 pengikut, yang mahu menghadiri perhimpunan Indonesia itu di wilayah Sulawesi Selatan, telah dikuarantin.

"Keperluan untuk mengembara - yang digambarkan beberapa pengikut kepada saya adalah seperti berada dalam keadaan ziarah tetap - terletak kepada teras Tabligh sebagai gerakan untuk memperbaharui iman," tulis Farish.

"Semasa Tabligh dibangunkan di utara India pada awal abad ke-20, ia menganggap keadaan umat Islam ketika itu sebagai teruk. Pengasas gerakan itu berpendapat bahawa kepercayaan kebanyakan umat Islam menjadi lemah akibat daripada keterikatan mereka kepada semua perkara yang bersifat duniawi dan materialistik, dan percaya bahawa seseorang itu perlu meninggalkan semua perkara yang mengikat mereka kepada duniawi agar dapat beriman dengan penuh tulus. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.