Lapan Ahli Jemaah Tabligh Kembali Selepas India Batalkan Pertuduhan Salah Guna Visa
2021.01.13
Kuala Lumpur

Seramai lapan orang ahli kumpulan jemaah tabligh rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa India tahun lepas, telah tiba di Tanahair pada Rabu, dua minggu selepas mahkamah India membatalkan pertuduhan keatas mereka yang didakwa telah menyalahgunakan pas lawatan sosial, demikian menurut Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar.
Dengan kembalinya lapan individu tersebut, menjadikan seramai 188 orang daripada 189 yang menyertai satu majlis di India sehingga menyebabkan pembentukan kluster COVID-19 pada Mac lepas dan kemudiannya ditahan pihak berkuasa atas pertuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial, telah berjaya dibawa pulang.
Timbalan Menteri Luar berkata, kesemua lapan rakyat Malaysia itu, telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Patna, di negeri Bihar, selepas pertuduhan terhadap mereka dibatalkan, dengan seorang lagi masih terkandas dan sedang menunggu keputusan sebuah lagi mahkamah terhadap beliau.
"Seramai lapan ahli Jemaah Tabligh rakyat Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.58 petang Rabu, 13 Januari 2021 dari New Delhi, India. Ini adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Patna, Bihar yang telah membatalkan pertuduhan menyalahguna pas lawatan sosial ke atas mereka.
“Dengan kepulangan lapan ahli Jemaah Tabligh ini, terdapat hanya seorang ahli Jemaah Tabligh rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes beliau di Kishanganj, India,” kata Kamarudin dalam satu kenyataan empat perenggan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri pada Rabu.
Katanya, pejabat Kedutaan Malaysia di New Delhi, akan terus memantau perkembangan kes berkenaan secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang seorang lagi ahli kumpulan jemaah tabligh selepas pembebasan beliau nanti.
Kesemua rakyat Malaysia dari kumpulan keagamaan itu telah menyertai perhimpunan yang diadakan di ibunegara India, Delhi bermula pada 13 Mac lepas, beberapa hari sebelum Ketua Menteri Delhi melarang diadakan perhimpunan yang disertai lebih daripada 50 orang bagi mengekang penularan virus COVID-19.
Namun, beratus-ratus orang dilaporkan enggan meninggalkan bangunan markas itu dan terkandas di dalamnya apabila Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu di seluruh negara dengan turut menggantung pengangkutan awam dan menyekat pergerakan yang tidak penting.
Susulan perintah berkurung itu, kira-kira 190 jemaah tabligh rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa India untuk dikuarantin, termasuk sekumpulan mereka yang cuba menaiki pesawat penerbangan ihsan kerajaan Malaysia untuk membawa rakyatnya yang terkandas oleh pihak imigresen.
Di Malaysia, Pertubuhan Jemaah Tabligh menjadi tumpuan berhubung jangkitan COVID-19 selepas satu himpunan besar-besaran yang diadakan di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari menjadi punca kepada ratusan jangkitan di lebih enam buah negara.
Markas Jemaah Tabligh Malaysia terletak di Masjid Sri Petaling dan telah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.
Kira-kira 1,500 warga asing dari 12 negara menghadiri perhimpunan itu dengan kebanyakan mereka didapati dijangkiti virus COVID-19 termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam, menurut laporan.
Sejak daripada insiden penahanan di India itu, menurut Kamarudin, Wisma Putra telah berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dibebaskan oleh pihak berkuasa India secara berperingkat-peringkat, dan ini merupakan penghantaran pulang pertama bagi tahun ini.
Kesemua mereka yang baharu tiba di KLIA itu tambah Timbalan Menteri itu perlu menjalani kuarantin 10 hari di Stesen Kuarantin seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19 sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Menteri Luar, Hishammuddin Hussein sebelum ini berkata bahawa undang-undang India tidak membenarkan pemegang pas lawatan sosial menghadiri acara keagamaan dan rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka memang bersalah kerana melanggar undang-undang negara itu.
Landaikan jangkitan
Sementara itu, pada Rabu juga adalah hari pertama pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri di Malaysia, satu langkah yang diambil Putrajaya susulan peningkatan jumlah kes COVID-19 yang mendadak.
Enam negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dengan pelaksanaannya semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata jumlah kes berada dalam julat angka empat digit.
Jumlah tertinggi kes harian COVID-19 yang pernah direkodkan di Malaysia setakat ini adalah pada Selasa iaitu sebanyak 3,309 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah semasa sidang medianya berkata sejumlah 2,985 kes positif jangkitan harian dicatatkan pada Rabu menjadikan sebanyak 144,518 kes dengan empat kematian baharu, sekaligus seramai 563 orang telah meninggal dunia akibat pandemik COVID-19 di Malaysia.
Beliau berkata berdasarkan trend kes semasa, pihak berkuasa kesihatan itu menjangkakan graf bilangan kes COVID-19 dapat dilandaikan sekitar Mei atau Jun, iaitu antara empat hingga lima bulan dari sekarang.
"Kita berharap dapat menurunkan jumlah kes dan melandai semula graf. Jangkaan ialah dalam tempoh 12 minggu, tapi kita laksanakan PKP untuk dua minggu dahulu. Kita akan lihat dalam dua minggu ini kalau perlu atau tidak untuk melanjutkan PKP daripada data-data yang akan dikumpul dengan jangkaan dalam bulan Mei kita dapat landaikan COVID-19 dalam negara," kata beliau pada sidang media di Putrajaya.
Noor Hisham juga mengakui yang sistem kesihatan negara itu, kini berdepan dengan kekangan sumber manusia dalam operasinya melawan pandemik, kerana kekurangan tenaga kerja untuk menampung kemudahan-kemudahan kesihatan baharu yang mahu dibuka
“KKM mempunyai kapasiti peralatan yang mencukupi bagi menambah bilangan wad dan katil serta alat bantuan pernafasan untuk merawat pesakit COVID-19… tetapi, memerlukan staf untuk membolehkan kami membuka lebih banyak kemudahan.
“Kami kekurangan tenaga kerja, dan sekarang sedang melihat bagaimana untuk menambah petugas," kata Noor Hisham sambil memberitahu yang KKM sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membuka lebih banyak jawatan baru bagi jururawat dan tugasan lain.