Lelaki Dari Sumatera Barat Dikenalpasti Sebagai Tekong Bot
2015.09.11

Seorang lelaki berusia 42 tahun dan berasal dari Sumatera Barat akan didakwa dibawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara 20 tahun kerana menyeludup serta menyebabkan 64 orang maut dalam kejadian bot karam di perairan Sabak Bernam pada Khamis lepas.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan semasa dihubungi BeritaBenar berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Efriyanto telah dikenal pasti sebagai tekong bot sepanjang 40 kaki yang membawa lebih 80 penumpang dari Kuala Sungai Bernam menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.
Katanya, tekong bot itu adalah di antara 19 lelaki dan seorang wanita yang terselamat dalam tragedi bot karam itu. Kesemua mereka masih ditahan reman bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula Khamis lepas turut dihentikan secara rasmi semalam (Sept 10) selepas tiada lagi mayat mangsa dijumpai.
Katanya, setakat ini, jumlah mangsa yang terkorban ialah sebanyak 64 orang iaitu 39 lelaki, 24 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
“Sebanyak 54 mayat telah dikenalpasti dan 36 daripadanya telah dituntut oleh Kedutaan Indonesia manakala mangsa terselamat ialah seramai 20 orang terdiri daripada 19 orang lelaki dan seorang perempuan,’’ katanya pada Jumaat.
"Kalau nak kerja di Malaysia kerja betul-betul, buat permit dan balik (ke kampung halaman) elok-elok, jangan lalu jalan tikus. Nyawa kita lebih berharga... memang ajal Allah yang atur tetapi kita masih boleh elakkannya. Jadikan kejadian bot karam ini sebagai pengajaran," katanya yang memasuki Malaysia dengan kapal terbang lebih setahun lalu.
Mohd Aliyas berkata, keseluruhan kawasan operasi SAR meliputi 1,000 kilometer persegi bagi pencarian di perairan sementara pencarian udara meliputi kawasan 2,000 kilometer persegi, membabitkan kos keseluruhan operasi melebihi RM1 juta.
"Walaupun operasi ditamatkan tetapi kita masih menjalankan pencarian saki baki mayat jika ada melalui rondaan biasa dan kita juga telah maklumkan kepada nelayan tempatan," katanya.
Sebanyak 15 aset laut dan empat aset udara terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan iaitu sembilan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan tiga milik Polis Marin selain dibantu bot nelayan tempatan, katanya.
Ombak besar
Dalam pada itu, Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, wanita tunggal yang terselamat dalam kejadian bot itu, Erni Juwita, 26 berkata lebih 80 penumpang menaiki bot menyebabkan keadaan bot sesak sehingga ada di antara mereka terpaksa duduk di atas bumbung bot.
"Sepanjang perjalanan, saya lihat ombak besar tetapi tekong bawa bot sangat laju dan bila ombak bertambah kuat tekong semakin laju bawa bot.
Keadaan ketika itu agak kecoh kerana penumpang panik. Tiba-tiba,* tidak lama selepas itu, bot terbalik menyebabkan saya tenggelam beberapa ketika. Namun, dengan kuasa Allah, akhirnya saya berjaya timbul dan seorang penumpang lelaki telah membaling beg bajunya kepada saya untuk saya berpaut kerana saya tidak tahu berenang.
"Selepas beg itu tenggelam, dengan kuasa Allah, lalu satu mayat depan saya dan saya berpaut pada mayat pertama sampai subuh, lepas itu saya terpaksa berpaut kepada mayat kedua kerana mayat pertama tenggelam sehinggalah saya diselamatkan pada pukul 11 pagi.
"Semasa di tengah laut, saya ada terjumpa suami saya tetapi bila dia cuba pegang saya... ombak terlalu kuat dan pegangan kami terlepas...itulah kali terakhir saya jumpa dia masih hidup," katanya yang bergenang air mata.
Erni berkata, tragedi bot karam tersebut meninggalkan kesan trauma kepadanya sehingga tidak dapat tidur kerana sering teringat kejadian itu. Dia kini berharap untuk segera pulang ke Aceh menemui anaknya yang berusia empat tahun.
Wanita itu turut menasihati rakyat senegaranya yang ingin memasuki atau meninggalkan Malaysia supaya melakukannya dengan cara yang sah dan tidak melalui 'jalan tikus'.