Polis Malaysia Tembak Mati Anggota Sindiket Pemerdagangan Manusia
2019.09.25
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia telah menembak mati seorang rakyat tempatan yang dipercayai ahli sindiket pemerdagangan manusia, manakala orang tengah seorang warga Myanmar cedera dalam kejadian tembak menembak ketiga berlaku sepanjang bulan September, di Selangor.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin berkata, polis juga menahan lapan lagi warga Myanmar termasuk dua wanita yang kesemuanya dipercayai dibawa masuk untuk bekerja di Malaysia.
Beliau memberitahu lelaki rakyat tempatan yang mati dalam kejadian tembakan di Puchong itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk mencuri, dadah dan ugutan jenayah.
“Simati mempunyai 11 rekod lampau termasuk dadah, curi dan ugutan jenayah…., beliau ditembak apabila cuba merempuh kenderaan polis walaupun telah diarah untuk berhenti. Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan kerana suspek bertindak agresif dan enggan menyerah diri,” kata Azam dalam satu sidang media di balai polis Serdang, luar Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau berkata, lelaki tersebut enggan menyerah diri dan cuba melanggar pihak polis selepas dikepung menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan dan turut menyebabkan rakannya seorang warga Myanmar yang bertindak sebagai orang tengah, cedera dalam kejadian pada kira-kira 7 petang Selasa itu.
"Pihak polis percaya telah berjaya menumpas satu sindiket perdagangan manusia di Selangor dengan warga asing ini diseludup masuk melalui sempadan Kelantan, untuk bekerja di negara ini,” kata Ketua Polis Negeri itu sambil menambah yang operasi tersebut adalah dengan kerjasama Unit Pemerdagangan Manusia Cawangan Khas Bukit Aman.
Beliau berkata, pasukan operasi E6 dari Cawangan Khas Polis Bukit Aman terdahulu itu telah mengekori kenderaan yang dipandu oleh simati dari Kelantan.
"Kesemua warga Myanmar ditahan pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan," katanya lagi.
Sementara itu, sumber polis yang tidak boleh dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media memberitahu BeritaBenar bahawa pasukan operasi bergerak ke Kelantan selepas mendapat tahu tentang pergerakan sindiket tersebut.
“Kita kumpulkan informasi melalui sumber kita dan mendapat tahu bahawa sindiket ini menyeludup masuk warga asing melalui sempadan Malaysia-Thai berdekatan Kelantan. Jadi kita biarkan mereka masuk dan mengekori kenderaan yang membawa kita ke lokasi di Puchong di mana kita mengepung suspek,” kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu, kenderaan yang digunakan sindiket tersebut telah dimodifikasi untuk memuat lapan penumpang.
“Tempat duduk belakang telah dikeluarkan dan kita sekarang sedang mengambil keterangan dari orang tengah yang telah ditangkap pada Selasa untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sindiket, selepas individu yang menyeludup masuk warga Myanmar ditembak mati,” kata sumber polis itu lagi.
Sumber itu juga memberitahu, masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat lanjut berhubung sindiket terbabit kerana pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan temubual dengan kelapan mereka masing berjalan.
Ditanya mengenai kejadian tembakan penjenayah ketiga di Selangor sepanjang September, Azam berkata, polis bertindak melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
“Bila suspek melepaskan tembakan, kami (polis) bertindak melepaskan tembakan untuk pertahankan diri. Jika boleh kami juga mahu tangkap suspek hidup-hidup, kerana lebih banyak maklumat dapat diperolehi selain banyak kes dapat diselesaikan.
“Sekiranya ada pegawai yang tidak mematuhi SOP, polis sendiri akan ambil tindakan terhadap mereka. Jika polis lepaskan tembakan untuk pertahankan diri, jangan salahkan mereka,” tambah Ketua Polis Negeri itu.
Penyeludupan di sempadan
Pengarah Tenaganita Aegile Fernandez memberitahu BeritaBenar bahawa sindiket penyeludupan manusia bukan sahaja dibawa masuk melalui sempadan Malaysia – Thai, tetapi juga diseludup masuk ke Johor melalui Batam, Indonesia.
“Walaupun kejadian Wang Kelian mengejutkan seluruh dunia, kami masih menerima informasi bahawa ada individu yang diseludup masuk melalui jalan-jalan tikus ini. Mereka menggunakan jalan masuk yang baru dengan menggunting dawai dan pagar di sempadan.
“Saya amat berharap bahawa perkara yang berlaku ini tiada kaitan dengan rasuah. Daripada apa yang kami tahu, amatlah mudah bagi warga asing untuk menyeludup masuk,” kata Fernandez.
Beliau turut berkata sindiket penyeludupan antarabangsa turut menggajikan orang tempatan bagi memudahkan pergerakan mereka.
“Lelaki yang ditembak mati itu warga tempatan. Saya percaya ada lelaki Thailand turut terlibat menyeludup masuk warga Burma dan kemudiannya simati mengambil mereka (di sempadan) sebelum menurunkan mereka di lokasi pendaratan seterusnya.
“Sindiket seperti ini mempunyai ahli di setiap negara. Satu pasukan dari pelbagai negara,” dakwa Fernandez.
Beliau turut menegur pihak polis dengan berkata bahawa pihak berkuasa tidak seharusnya memberi kenyataan bahawa warga Myanmar yang diseludup masuk itu telah ditangkap kerana mereka adalah mangsa.
“Mereka itu mangsa dan mungkin juga pelarian. Mereka ini juga membayar sejumlah wang yang besar kepada penyeludup. Mereka ini melarikan diri dari negara asal untuk mencari kehidupan yang lebih baik,” kata Fernandez.
Pada Ogos lepas, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan undang-undang dan polisi yang lebih efektif bagi membenteras penyeludupan manusia.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata perlu ada satu usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama antara agensi kerajaan, kumpulan awam dan institut antarabangsa.
“Saya percaya kita boleh menghentikan jenayah ini dengan berkerjasama,” kata beliau seperti dilaporkan akhbar the New Straits Times.
Dalam persidangan itu, Muhyiddin mendedahkan jumlah mangsa penyeludupan manusia di Malaysia yang semakin menurun setiap tahun.
Walaupun Muhyiddin melihat ianya sebagai satu perkembangan yang positif, laporan penyeludupan manusian 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Amerika Syarikat telah meletakkan Malaysia di tempat kedua terbawah dalam ranking kerana tidak menepati standard minimum dalam usaha membenteras penyeludupan manusia.
Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.