Persatuan-persatuan pengguna Malaysia desak tubuh siasatan diraja

Menteri Kesihatan tolak dakwaan pelobi industri tembakau pengaruhi keputusan gugurkan undang-undang generasi penamat merokok.
Iman Muttaqin Yusof
2024.03.20
Kuala Lumpur
Persatuan-persatuan pengguna Malaysia desak tubuh siasatan diraja Seorang lelaki sedang menghisap rokok di luar premis sebuah restoran di Kajang, Selangor, 30 November 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tiga persatuan pengguna di Malaysia pada Rabu menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menentukan sama ada syarikat tembakau dan vape telah mempengaruhi keputusan kerajaan mengugurkan sebahagian undang-undang larangan penjualan produk tembakau kepada generasi akan datang, kata kumpulan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni pada minggu lalu telah mendedahkan di Parlimen tentang tindakan pelobi industri tembakau yang telah berjumpa dengan Ahli Parlimen hingga mempengaruhi pandangan mereka terhadap pengguguran peruntukan generasi penamat (GEG) yang melarang produk tembakau bagi individu yang lahir dari tahun 2007, daripada undang-undang mengawal merokok.

“Kami ingin tahu bagaimana penggubal dasar Malaysia membenarkan industri tembakau untuk mempengaruhi keputusan berkaitan rang undang-undang generasi penamat (GEG).

“Ia merupakan satu keaiban dan subversif terhadap proses legislatif. Kita tidak boleh bertoleransi dengan perkara ini,” kata Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dalam satu kenyataan pada Rabu.

Memetik Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Mohideen berkata, industri tembakau dan vape telah melanggar Artikel 5.3, yang bermaksud, “pihak terbabit mesti melindungi dasar kesihatan awam daripada industri tembakau dan kepentingan peribadi.”

“Berdasarkan perkembangan semasa, kami mengulangi gesaan agar kerajaan menubuhkan RCI berhubung perkara yang mempunyai kepentingan negara ini. Kami ingin tahu sejauh mana 'penyusupan' dan 'pengaruh' pelobi terhadap penggubal undang-undang kami," tegas Mohideen.

"Kami juga ingin tahu siapa dalang di sebalik sabotaj terhadap GEG."

Sebelum ini, kerajaan Malaysia telah menggugurkan peruntukan larangan terhadap generasi baharu daripada produk tembakau dan vape bagi mereka yang lahir selepas 2007 daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, dengan menyatakan sebab ‘tidak berperlembagaan’ sebagai alasan utamanya.

Akta Kawalan Produk Merokok

Peguam Negara pada November lalu menyatakan, larangan tersebut sebagai melanggar perlembagaan kerana ia mewujudkan "layanan tidak sama rata di sisi undang-undang" untuk individu yang lahir sebelum dan selepas 1 Januari 2007.

Perubahan membabitkan rang undang-undang itu dimulakan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini, Zaliha Mustafa yang menggantikan larangan itu dengan sekatan terhad kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun ia masih mendapat kritikan daripada kumpulan anti-merokok dan penjagaan kesihatan awam.

Rang undang-undang yang disemak itu diwartakan sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan berkuat kuasa selepas diluluskan oleh kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Parlimen pada Disember lalu.

Minggu lepas, Lukanisman dalam kenyataannya telah membangkitkan kemarahan apabila mengakui terdapat pengaruh industri tembakau dan vape terhadap keputusan membabitkan perundangan kawalan tembakau Malaysia, sebagaimana telah dirasakan beberapa pihak yang berbeza pandangan sebelum ini.

“Bagaimana tekanan daripada pihak industri? Kita memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak,” kata Lukanisman ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali yang bertanya tentang lobi industri tembakau dan vape semasa sidang Dewan Rakyat pada Rabu lepas itu.

“Kalau kita lihat pengalaman apabila kita membentangkan GEG berlakunya pertindihan pandangan apabila tekanan industri-industri memasuki Parlimen, industri berjumpa dengan Ahli-ahli Parlimen, ini mempengaruhi keputusan tersebut,”

Perkara itu menjadi ‘satu amaran’ kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin yang pernah membentang rang undang-undang asal GEG pada 2002 dengan menyatakan hujah penolakan terhadap peruntukan itu atas sebab perlembagaan adalah “alasan pincang”.

"Tidak, GEG digugurkan disebabkan lobi yang kuat daripada syarikat besar tembakau," kata Khairy dalam hantaran di media sosialnya, apabila peruntukan GEG telah dikeluarkan.

Menteri Kesihatan nafi

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Rabu bagaimanapun menafikan kenyataan timbalannya berkenaan pengaruh pelobi terhadap keputusan kerajaan mengugurkan peruntukan GEG daripada rang undang-undang kawalan merokok tahun lalu.

Beliau sekali lagi menekankan pengguguran peruntukan GEG adalah disebabkan isu Perlembagaan dan bukannya tekanan industri.

“[Namun] saya kira adalah agak tidak wajar melanjutkan pengaruh (anggapan) itu bahawa wakil industri dan pelobi mempengaruhi kerajaan dan juga Kabinet.

“Itu saya kira salah pada fakta dan [anggapan] pengucapan timbalan menteri [Lukanisman Awang Sauni] kerana saya semak perkara itu,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sesuatu yang dikesalkan dan melihat usaha pelobi sebagai langkah demokrasi yang matang dengan mengatakan bahawa "sesiapa yang berkepentingan, berhak bertemu sesiapa sahaja."

“Kita mahu GEG, namun ketika dibangkitkan kepada Peguam Negara, persoalan isu Perlembagaan telah menjadi besar, sebab itu kerajaan mengambil sikap tidak membawa GEG dalam akta tersebut.

“Ia tidak ada kena mengena dengan pelobi, dengan apa-apa pun yang dianggap [oleh] persepsi di luar sana,” katanya.

BenarNews berusaha menghubungi Lukanisman untuk mendapatkan komen namun beliau tidak memberikan maklum balas segera.

Tidak diterima persatuan

Kenyataan defensif Dzulkefly itu bagaimanapun, tidak dapat diterima oleh kumpulan persatuan pengguna yang lain.

Mereka menuntut ketelusan mengenai proses pengguguran peruntukan itu dan melalui RCI, orang ramai boleh mendapatkan jawapan, kata kumpulan itu.

“Itu sebenarnya adalah hujah daripada pelbagai pihak termasuk industri tembakau dan vape. Bagaimanapun, proses itu tidak dijalankan secara telus kerana tidak mengisytiharkan kepentingan mereka.

“[Tetapi] kebenarannya ialah semua pihak yang terlibat mempunyai kepentingan,” kata Muhammad Sha’ani Abdullah, penyelaras Kawalan Tembakau Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kepada BenarNews.

“RCI akan mendedahkan amalan mempengaruhi penggubal undang-undang dan ia boleh mencadangkan mekanisme dan undang-undang, bukan sahaja bagi industri tembakau malah untuk isu lain melibatkan pelobi yang boleh menjejaskan dasar awam,” katanya.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) turut percaya RCI adalah cara untuk menyelesaikan perkara itu.

"Untuk mendapatkan penjelasan, ia bukan sesuatu perkara yang salah," kata Jacob George, presiden CASSA,

“Tetapi saya sangat jelas bahawa RCI tidak akan dimulakan kerana pemain industri tembakau ada pelobi yang mempunyai banyak wang dan jalinan hubungan yang kuat. Ia akan menjadi tidak produktif dan tidak akan mencapai apa-apa.”

Jacob berkata sebarang amalan melawan usaha penjagaan kesihatan holistik adalah menyalahi undang-undang dan menuntut kerajaan memasukkan semula peruntukan GEG ke dalam akta anti-merokok.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.