Mahkamah Malaysia Membebaskan Tanpa Melepaskan Bekas Menteri Berhubung Kes Rasuah Tanah
2020.12.07
Kuala Lumpur

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memerintahkan bekas menteri semasa pemerintahan Najib Razak, yang sedang dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan perjanjian kelulusan tanah dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan tersebut selepas Timbalan Pendakwa raya menerima satu aduan terhadap seorang saksi di dalam kes itu.
Selepas keputusan mahkamah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media pada lewat Isnin berkata bekas menteri tersebut Tengku Adnan Mansor masih boleh didakwa semula di mahkamah berhubung kes sama sekiranya mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara.
Hakim Nazlan Ghazli membuat keputusan memerintahkan Tengku Adnan yang juga Bendahari Parti Pertubuhan Kebangsan Melayu Bersatu dibebaskan tanpa dilepaskan apabila dimaklumkan oleh pihak pendakwaan mengenai tidak mahu meneruskan lagi pendakwaan kes tersebut menurut Sekyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah dengan sebab adanya satu aduan kepada pihak SPRM berkaitan seorang saksi dalam kes tersebut.
“Selepas mendengar hujahan, saya berpandangan alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa raya tentang perkembangan terbaru dan keperluan untuk menyiasatnya merupakan sebab kenapa mahkamah ini tidak memerintahkan pembebasan mutlak menurut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.
“Dengan ini, mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan ,” kata Hakim Nazlan membacakan keputusannya itu.
Pada 15 November 2018, Tengku Adnan yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan semasa pemerintahan kerajaan Najib sebelum ianya tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, telah didakwa bersama-sama seorang ahli perniagaan Tan Boon Eng kerana menerima dan memberi rasuah sebanyak RM1 juta (AS$245,821) bagi mendapatkan kelulusan untuk meningkatkan nisbah keluasan sebuah tanah industri di Kuala Lumpur pada 2013.
Terdahulu itu, Timbalan Pendakwa raya Julia Ibrahim dalam hujahannya memberitahu Hakim Nazlan mengenai keputusan yang pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti aduan yang dikemukakan kepada pihak SPRM kerana mungkin mempunyai implikasi terhadap kes tersebut.
"Terdapat perkembangan baharu dalam kes ini dan kami perlu menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut. Pihak pendakwaan juga tidak mahu membazirkan masa mahkamah kerana tidak tahu tempoh masa yang perlu diambil untuk menyiasat perkembangan terbaharu itu.
“Kami tidak boleh memberikan maklumat lanjut mengenainya dan apa yang boleh dimaklumkan ialah terdapatnya aduan kepada pihak SPRM terhadap seorang saksi dalam kes ini. Sehubungan itu pihak pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh dilepas tanya dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Timbalan Pendakwa Raya yang enggan mendedahkan butir lain mengapa keputusan itu diambi.
Pendakwaan kes berkenaan terhadap Tengku Adnan yang juga lebih dikenali sebagai ‘Ku Nan’ dibuat tujuh bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad mengambil alih Putrajaya, dengan beliau dan Tan mengaku tidak bersalah ketika mereka didakwa atas kesalahan rasuah itu, tetapi pada 16 September tahun lepas, Tan mengubah pengakuannya kepada bersalah di hadapan Hakim Nazlan dan seterusnya dijatuhkan hukuman denda RM1.5 juta (AS$368,369).
Perkembangan terbaru kes
Dalam pada itu, SPRM berkata yang agensi penguatkuasaan rasuah berkenaan akan memulakan siasatan terhadap perkembangan terbaru berhubung kes Tengku Adnan seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan dengan kertas siasatan mengenai berkenaan perkara tersebut akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara apabila ianya siap nanti.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa keputusan mahkamah pada Isnin bukanlah pembebasan penuh terhadap Tengku Adnan yang masih boleh didakwa di bawah kesalahan yang sama.
“Keputusan membebaskan tanpa dilepaskan ini tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya namun masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara,” kata SPRM dalam kenyataannya itu.
Menurut agensi itu lagi, terdapat perkembangan baharu yang telah dikemukakan oleh pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes tersebut yang memerlukan siasatan lanjut.
“SPRM akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu tersebut dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai. Namun begitu, terdapat satu lagi kes terhadap Datuk Seri Tengku Adnan yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Tengku Adnan juga sedang menunggu keputusan bagi pertuduhan rasuah kedua di mana beliau didakwa menerima RM2 juta (AS$491,159) dari ahli perniagaan Chai Kin Kong yang didepositkan ke dalam akaun bank syarikat yang dimiliki oleh Tengku Adnan.
Kedua-dua pendakwaan ke atas Tengku Adnan dilakukan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 2 tahun, atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Mengulas berkenaan perkembangan kes tersebut, panel peguam parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, PEJUANG, berkata keputusan untuk mengugurkan pertuduhan terhadap Tengku Adnan amat membingungkan.
Mereka menggesa Peguam Negara menjelaskan dengan lebih lanjut kenapa keputusan itu diambil.
“Bagaimana mungkin pihak Pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedangkan rakan sejenayahnya (co-accused) telah membuat pengakuan salah? Bagaimana mungkin seorang yang didakwa dengan ‘menerima’ rasuah telah tidak diteruskan kesnya, sedangkan orang yang didakwa ‘memberi’ rasuah telah mengaku bersalah?
“Kami menggesa agar pihak Peguam Negara memberikan penjelasan yang kukuh dan terperinci dengan kadar segera berkenaan keputusannya yang amat membingungkan ini,” kata panel peguam itu dalam satu kenyataan pada hari yang sama.
Penguguran kes Tengku Adnan merupakan kes berprofil tinggi ketiga yang melibatkan ahli politik atau berkait dengan figura politik sejak Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 pada 1 Mac lalu apabila pergolakan politik selama dua minggu yang melihat kerajaan Perikatan Harapan di bawah pemerintahan Mahathir tumbang selepas hanya memerintah selama 22 bulan.
Mahkamah sebelum ini membebaskan tanpa melepaskan anak tiri Najib, Riza Aziz dari pertuduhan rasuah melibatkan RM1 bilion (AS$245.5 juta) wang 1MDB pada 14 Mei setelah memeterai perjanjian untuk membantu Kerajaan Malaysia mendapatkan semula sebahagian dari aset yang dicuri dari luar negara.
Manakala pada 9 Jun lalu, bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dibebaskan dari 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas pendakwaraya menarik kesemua pendakwaan terhadap beliau berikutan “perkembangan terbaru” dalam kes tersebut.
Musa didakwa menerima AS$50.1 juta dari lapan pemilik konsesi balak sebagai imbuhan untuk meluluskan konsesi balak kepada 16 syarikat.