Dua Anggota Tentera Hilang Semasa Latihan Di Perairan Pulau Perak

S. Adie Zul
2016.10.04
Alor Setar, Kedah
161004-my-tentera-620.jpg Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi isyarat semasa operasi mencari dan menyelamat berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand di utara pulau Langkawi, 28 Mei 2015.
AFP

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan aset dari cabang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi misi mencari dan menyelamat dua anggota tentera yang hilang dipercayai terjatuh ke laut sewaktu menjalankan operasi di Pulau Perak yang terletak di perairan pulau Langkawi, Kedah pada Isnin.

Markas Tentera Darat dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa berkata dua anggota yang hilang itu adalah Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Kota Marudu, Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Baling, Kedah.

Menurut kenyataan itu, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 4.40 petang Isnin, sewaktu kedua-dua anggota dari Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang berpangkalan di Oran, Perlis itu sedang menjalankan tugas di pulau terbabit.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak memaklumkan bagaimana kedua-dua anggota berkenaan terjatuh ke laut.

Susulan kejadian itu, Markas Armada TLDM telah menggerakkan operasi yang melibatkan tiga buah kapal dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mereka.

"Pihak TLDM yang menerajui operasi ini sudah melancarkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan tiga kapal iaitu KD Laksamana Tun Abdul Hamid, KD Ledang, KD Selangor dan Pesawat Super Lynx dengan dibantu sebuah pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari 3 Skuadron di Butterworth, Pulau Pinang," menurut kenyataan tersebut.

Sempadan Thailand dan Indonesia

Pulau Perak, sebuah pulau kecil berbatu terletak kira-kira 66 batu nautika atau 122.3 kilometer dari barat daya Pulau Langkawi, dan terletak di antara sempadan antarabangsa perairan Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Pada Disember 2013, Pulau Perak mendapat perhatian apabila sebuah helikopter Nuri milik TUDM melakukan pendaratan cemas ketika melakukan tugasan keselamatan di kawasan pulau tersebut.

Media tempatan ketika itu melaporkan pendaratan cemas tersebut terpaksa dilakukan apabila helikopter Sikorsky itu mengalami masalah teknikal.

Maklum keluarga

Dalam pada itu, kenyataan Markas Tentera Darat turut mengesahkan yang mereka telah memaklumkan pihak keluarga kedua-dua anggota terlibat berhubung kejadian berkenaan.

Beberapa buah akhbar tempatan melaporkan keluarga Koperal Mohd Faizol yang telah mengetahui mengenai kejadian berkenaan memaklumkan bahawa mereka tabah dan sabar menunggu berita terkini mengenai kehilangan ahli keluarga mereka itu.

Isterinya Siti Aminah Abd Hamid berkata, pihak tentera telah menghubungi beliau pada Isnin memaklumkan mengenai kehilangan suaminya itu.

"Kami sekeluarga melakukan bacaan Yassin dan solat hajat bagi mempercepatkan usaha mencari dan menyelamat," katanya di rumah bapa mentuanya di Kampung KEDA Kemangi, Kupang, di Baling pada Selasa.

Bapa Mohd Faizol, Rosli Hassan berkata "Sehingga kini masih tiada sebarang berita terbaru kami terima.”

Sementara itu, sebuah helikopter Nuri milik TUDM terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung di Tawau, Sabah pada awal pagi Selasa.

Bernama melaporkan, helikopter berkenaan sedang cuba hendak mendarat di atas padang sekolah berkenaan semasa ia terhempas dan satu bilah kipasnya dikatakan turut terpelanting kira-kira 200 meter.

TUDM dalam satu kenyataan berkata pesawat Nuri tersebut yang dinaiki 14 anggotanya berlepas dari pangkalan TUDM di Tawau pada pukul 7.35 pagi untuk melakukan latihan penerbangan harian.

"Semua anak kapal dan penumpangnya terselamat," kata kenyataan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.