Mahkamah Syariah Terengganu Tangguh Hukuman Sebat dan Penjara Ibu Tunggal
2018.10.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada Selasa menangguh hukuman penjara dan sebat terhadap seorang ibu tunggal berusia 30 tahun yang didapati bersalah mahu melacurkan diri di Terengganu minggu lepas setelah wanita itu memfailkan permohonan untuk menangguhkan hukuman melalui peguam yang baru dilantiknya.
Wanita berkenaan yang sebelum ini tidak diwakili, telah melantik Che Nur Intan Nazuha Che Mohd Norudi sebagai peguamnya, dan turut memfailkan permohonan penangguhan hukuman pada 10 pagi Selasa, selain memohon rayuan ke atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun terhadapnya pada Khamis lepas.
"Saya telah dilantik oleh anak guam untuk mewakilinya dan telahpun membuat rayuan penangguhan hukuman pada 10 pagi tadi. Keputusan bagaimanapun hanya akan diketahui pada Ahad, dan seperti biasa, yakin permohonan yang dibuat akan diterima dan anak guam saya yang kini dipenjarakan, boleh dibebaskan sementara menunggu keputusan rayuan." kata Che Nur Intan Nazuha.
Apabila ditanya sejak bila wanita tersebut memperolehi khidmat seorang peguam, Che Nur Intan Nazuha memberitahu bahawa beliau telah dihubungi oleh wanita berkenaan dengan bantuan badan bukan kerajaan.
Namun Che Nur Intan Nazuha tidak memberi ulasan lanjut.
BeritaBenar difahamkan bahawa peguam Che Nur Intan Nazuha turut memfailkan rayuan supaya hukuman yang diterima anak guamnya itu diringankan.
"Kami memohon supaya hukuman penjara dan sebat itu diringankan sebaik yang boleh, dan keputusan mengenainya akan hanya dibuat dalam masa dua hingga tiga bulan lagi," tambah Che Nur Intan Nazuha.
Sementara itu, peguam tersebut berkata bahawa beliau tidak mengetahui tentang kutipan derma yang dilancarkan bagi membantu wanita tersebut.
"Ya, saya ada dengar tentang perkara itu tetapi saya kurang arif tentang berita tersebut," ujar beliau.
Sumbangan derma
Baru-baru ini, sebuah tabung kutipan derma bagi membantu wanita tersebut dilancarkan oleh seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris di Kuala Lumpur iaitu, sehari selepas wanita tersebut didapati bersalah.
Bercakap kepada Berita Benar, Farah Adilla Radin berkata beliau memahami kepayahan wanita tersebut sebagai seorang ibu tunggal.
"Saya dibesarkan oleh ibu tunggal jadi saya tahu betapa susahnya anak-anak yang dibesarkan oleh seorang ibu. Saya sangat berharap derma ini dapat membantu wanita tersebut untuk mendapatkan khidmat seorang peguam." kata Farah Adilla sambil menambah sehingga kini, kutipan derma tersebut telah menjangkau lebih AS$6,000 (RM24,861).
Minggu lalu, wanita tersebut dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba melacurkan diri, di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu.
Rosdi ketika membacakan penghakimannya menyatakan kekecewaan terhadap sikap wanita berusia 30 tahun itu yang tidak menunjukkan tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana bersedia untuk melacurkan diri.
Tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar raya berkenaan bersama seorang pelanggan antara jam 11.20 malam hingga 11.45 malam pada 17 September lepas.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan penguatkuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel tersebut dan pasukan itu juga merampas 11 barangan yang disahkan milik wanita tersebut termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.
Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran sebanyak RM100 daripada pelanggan.
Dalam prosiding sebelum ini, tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Selangor, selepas berpisah dengan suaminya dan tidak dibayarkan nafkah.
Kes tersebut mendapat kecaman dari aktivis sosial, organisasi bukan kerajaan, dengan Sisters In Islam menyelar hukuman yang dijatuhkan dan kegagalan kerajaan pusat untuk mengambil sebarang tindakan bagi menghalang hukuman yang kejam itu daripada menjadi hukuman yang biasa di Malaysia.
Jurucakap organisasi itu Majidah Hashim memberitahu BeritaBenar bahawa mahkamah telah gagal menunjukkan sifat simpati yang termaktub dalam Al-Quran.
Bulan lepas Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, dilanda kontroversi apabila menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita berumur 22 dan 32 tahun yang mengaku bersalah dalam cubaan melakukan seks antara dua wanita di Terengganu.
Mereka dijatuhkan hukuman enam sebatan rotan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59(1) enakmen yang sama, untuk musahaqah( hubungan seks antara dua orang wanita).