Perunding: Pengeboman Big C Tidak Jejaskan Rundingan Damai Selatan Thailand
2017.05.10
Pattani, Thailand

Rundingan damai dengan kumpulan pemberontak di Selatan Thailand tetap diteruskan walaupun berlakunya serangan dua bom yang mencederakan 69 orang di sebuah pasar raya di wilayah ini, kata seorang pegawai pasukan perunding Thailand pada Rabu.
Tiada yang terbunuh tetapi 13 kanak-kanak adalah antara yang cedera apabila dua kereta yang dipasang dengan bom meletup di luar pasar raya Big C di bandar Patani pada Selasa, kata pegawai-pegawai di Hospital Patani semasa mengeluarkan kenyataan mengenai bilangan mangsa terkini. Empat orang disenaraikan berada dalam keadaan kritikal termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun.
"Serangan itu tidak mengganggu proses rundingan damai, yang kita akan adakan tidak lama lagi," kata Mejar Jeneral Sith Trakulwong, setiausaha delegasi damai Thailand, kepada pemberita di Bangkok.
"Walaupun berlakunya keganasan, rundingan damai akan diteruskan," kata Sith sambil menambah kata bahawa perbincangan seterusnya, yang dikendalikan oleh Malaysia, akan diadakan selepas Ramadan, bulan puasa bagi majoriti penduduk Islam di Selatan Thailand.
Di Patani, seorang penyokong Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak terbesar yang beroperasi di wilayah ini, berkata, BRN adalah dalang serangan itu yang menyasarkan orang awam.
"Saya boleh mengesahkan bahawa BRN melakukan serangan Big C. Ia menggunakan kaedah operasi lama yang sama tetapi pegawai-pegawai belum dapat menangkap mereka, " kata lelaki yang bersimpati dengan BRN, yang memperkenalkan dirinya sebagai Awae, kepada BeritaBenar.
"Mereka percaya keganasan adalah laluan bagi mendapatkan kemerdekaan."
Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha telah mengarahkan polis dan tentera supaya menangkap mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan itu secepat mungkin, kata seorang jurucakap tentera.
Keganasan melatari rundingan damai
Serangan itu adalah pengeboman terbesar di Selatan Thailand tahun ini, dan ia berlaku di tengah-tengah beberapa siri serangan oleh puak pemberontak di wilayah ini, yang telah menyuramkan rundingan damai di antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani, sebuah badan induk yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak.
Tanpa menyatakan secara khusus tentang siapa yang melakukan serangan pada Selasa, Sith berkata pelaku itu hanya mahu menarik perhatian dengan menyerang tempat awam dan bukannya menyerang tiang-tiang elektrik. Bulan lepas, bom yang diselaraskan telah diletupkan oleh suspek militan dengan menyasarkan infrastruktur elektrik di beberapa kawasan di wilayah-wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Songkhla menyebabkan gangguan elektrik besar-besaran tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku.
Serangan pada Selasa menjadikan lebih daripada 100 orang cedera dalam keganasan di Selatan Thailand dan 37 orang terbunuh sejak Januari lalu. Serangan dahsyat tahun ini berlaku pada 27 April lalu apabila suspek pemberontak menembak dan membunuh enam tentera Thailand dan cuba memusnahkan tubuh mereka dengan membakarnya semasa satu serangan hendap di tepi jalan di wilayah Narathiwat.
Dengan Sith tidak mengenal pasti suspek penyerang, penyelidik Human Right Watch Sunai Phasuk berkata, serangan-serangan dalam dekad yang lalu khususnya semasa beberapa minggu lepas nampaknya dilakukan oleh BRN.
"Saya rasa serangan itu telah menghakis keyakinan terhadap proses damai kerana ramai yang bergantung kepada delegasi Thailand dan MARA Patani. Tetapi apabila BRN tampil untuk merendah-rendahkan kesahihan MARA Patani dan diikuti pula dengan beberapa serangan, ia mengesahkan penolakannya terhadap usaha rundingan damai itu, "katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi melalui telefon.
Pada 10 April lalu, BRN mengeluarkan kenyataan yang menyatakan ia menolak usaha damai oleh MARA Patani.
"Kaedah melakukan serangan itu adalah sama dengan apa yang BRN lakukan sejak lebih daripada sedekad lalu. Mereka menyerang orang awam dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira agama dan melakukan dua letupan untuk memaksa orang awam masuk ke dalam zon bunuh disusuli oleh letupan kedua yang lebih kuat, "kata Sunai.
"Tetapi BRN tidak pernah mengaku bertanggungjawab melakukannya. Ia pengecut, "katanya.
Pada Februari lalu, MARA Patani dan delegasi Thailand bersetuju dengan satu rangka kerja untuk menubuhkan zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad - di satu daerah di empat wilayah Selatan yang dilanda pemberontakan.
Hampir 7,000 orang terbunuh sejak 2004 dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di Selatan Thailand yang penduduknya berbahasa Melayu.
"Kami menolak sebarang perbuatan yang menjejaskan keselamatan kawasan awam. Kami mengutuk perbuatan pengecut yang menyebabkan kecederaan terhadap orang awam/bukan pejuang terutamanya wanita dan kanak-kanak. Pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan. Kami bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa, rakyat Patani, semua kaum dan agama, "kata jurucakap MARA Patani Abu Hafez Al-Hakim dalam e-mel kepada BeritaBenar.
Kastrui Mahkota, seorang pemimpin kumpulan pemberontak Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang turut bersama-sama BRN dalam MARA Patani juga mengutuk dua pengeboman itu pada Selasa.
"Jangan serang atau hina orang bukan Melayu dan bukan Islam tetapi sebaliknya bergerak secara profesional dengan membawa inisiatif anda sendiri," katanya dalam catatan Facebook.
"Kedudukan orang Melayu dan Islam mempunyai tempat yang istimewa tetapi ia bukanlah lesen untuk menyerang orang lain."
Empat suspek dikesan
Sementara itu, Gabenor Pattani Weeranan Pengchan berkata pihak berkuasa telah memohon waran tangkap terhadap Makoseng Ma-ae, 25, yang didakwa memandu sebuah trak pikap dipasang bom yang menggegarkan pasar raya Big C dan memusnahkan bahagian hadapannya. Suspek dikesan oleh kamera keselamatan ketika dia meninggalkan tempat kejadian dengan membonceng motosikal yang ditunggang rakan subahatnya.
Pengebom yang disyaki itu mempunyai tiga sabitan jenayah sebelum ini, termasuk mengebom sebuah bot nelayan pada Jun 2016, kata Weeranan kepada pemberita.
Dalam sidang berita berasingan di pejabat wilayah Pemerintah Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Pramote Prom-in berkata, pihak berkuasa telah dapat mengenal pasti suspek.
"Sekarang pihak berkuasa boleh mengenal pasti empat pengebom yang disyaki daripada kamera keselamatan dan kita mempunyai bukti. Berilah kami masa yang cukup untuk menjalankan siasatan. ... Kita boleh menangkap mereka," katanya.
Razlan Rashid di Kuala Lumpur, Malaysia, menyumbang kepada laporan ini.