COVID-19: Pemberontak BRN Isytihar Gencatan Senjata Di Selatan Thailand

Pimuk Rakkanam & Mariyam Ahmad
2020.04.04
Bangkok & Pattani, Thailand
200404-TH-deepsouth-violence-1000.jpg Ketua Polis Thailand Jeneral Chakthip Chaichina (tengah dan memakai topi floppy) melihat sebuah trak pikap yang musnah semasa beliau dan pegawai lain memeriksa lokasi dua pengeboman di luar pejabat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan di Wilayah Yala, 17 Mac, 2020.
[BeritaBenar]

Kumpulan pemberontak pemisah yang paling kuat di kawasan bergolak Selatan Thailand telah mengisytiharkan gencatan senjata atas alasan kemanusiaan, dengan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap wabak coronavirus itu yang dianggap sebagai "musuh utama manusia."

Gencatan senjata oleh pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) dipercayai adalah yang pertama sejak konflik jangka panjang berlarutan di Selatan Thailand, dan ia berkuat kuasa selepas kumpulan itu mengumumkan mengenainya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Sekurang-kurangnya lima orang meninggal dunia akibat COVID-19 dan sebanyak 143 kes telah dikesan di wilayah dan daerah yang membentuk wilayah sempadan Selatan Thailand.

"Bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan aman bagi rakyat Patani, selain memudahkan kerja-kerja petugas kesihatan dan usaha agensi berkaitan untuk mengawal penularan wabak COVID-19, BRN akan menghentikan semua kegiatannya atas dasar kemanusiaan kerana kami sedar bahawa musuh utama semua manusia ialah COVID-19," kata kenyataan itu yang memetik Sekretariat Pusat BRN.

"Barisan Revolusi Nasional Patani menyedari bahawa COVID-19 atau coronavirus adalah ancaman serius bagi semua manusia di dunia termasuk di Patani," kata kenyataan itu yang merujuk kepada nama yang digunakan kumpulan pemisah di Selatan Thailand itu.

Menurut kenyataan itu, jumlah jangkitan dan kematian akibat coronavirus semakin meningkat dan dijangka bertambah lebih banyak "jika tiada langkah berkaitan kesihatan dipatuhi penduduk Patani."

Kumpulan pemberontak itu turut menuduh pasukan keselamatan dan tentera Thailand menjadikan kehidupan penduduk di keseluruhan kawasan Selatan Thailand lebih sengsara apabila mereka melakukan serbuan, penangkapan dan mengepung rumah-rumah yang disyaki penyokong atau anggota BRN semasa wabak itu melanda.

"BRN ingin mengulang tentang komitmen kami dalam memerangi COVID-19. BRN ingin menggesa semua penduduk Patani supaya berusaha menjaga diri dan ahli keluarga mereka dengan sebaik mungkin," kata kenyataan itu.

Mengikut angka yang diberikan oleh pegawai risikan tentera Thailand dan pemimpin kanan BRN, kumpulan pemberontak itu mengetuai kira-kira 8,000 hingga 9,000 pejuang.

Ketika diminta mengulas mengenai pengisytiharan gencatan senjata BRN, jurucakap pemerintah tentera wilayah selatan menyatakan bahawa pasukan keselamatan negara itu akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang "bagi menjaga keamanan kawasan tempatan walaupun [gencatan senjata] dilakukan."

"Berhubung dengan kenyataan BRN yang mengisytiharkan sendiri perkara itu, saya ingin menyatakan bahawa pihak berkuasa, pada sepanjang masa, menjaga keamanan kawasan tempatan dengan sewajarnya mengikut undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang bertindak ke atas pegawai dan mereka yang tidak berdos," kata Kolonel Pramote Prom iaitu jurucakap Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri-4 (ISOC-4) kepada BeritaBenar pada lewat Sabtu.

Lebih 2,000 kes di Thailand

BRN mengisytiharkan gencatan senjata pada hari yang sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengulangi rayuannya supaya pihak-pihak yang bermusuh dan terlibat dalam konflik di seluruh dunia agar "meletakkan senjata" untuk membantu pihak berkuasa kesihatan menangani wabak coronavirus yang tersebar dengan pantas.

"Virus itu telah menunjukkan betapa ia dengan pantas mampu tersebar merentasi sempadan, dengan memusnahkan negara serta menghuru-harakan kehidupan," kata pemimpin PBB itu. "Keadaan paling buruk akan tiba. Oleh itu, kita perlu melakukan segala yang mungkin untuk mendapatkan keamanan dan perpaduan yang amat diperlukan oleh dunia dalam memerangi COVID-19. "

Bilangan kes coronavirus yang dikesan di seluruh dunia telah melebihi 1 juta pada lewat minggu ini, menurut data yang diperoleh daripada pakar penyakit di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat. Di Thailand, pihak berkuasa kesihatan pada Sabtu mengesahkan satu lagi kematian dan 89 kes baru, yang membawa jumlah keseluruhan kepada 20 kematian dan 2,067 kes.

Deklarasi BRN itu dibuat dua bulan selepas sayap tenteranya dan kerajaan Thailand mengumumkan bahawa mereka telah membuka laluan kepada rundingan damai langsung yang dipermudahkan Malaysia, yang berkongsi sempadan dengan Selatan Thailand. Tetapi, kumpulan itu turut disyaki melakukan dua pengeboman yang mencederakan sekurang-kurangnya 25 orang dalam serangan di sebuah pejabat kerajaan di Yala, satu daripada wilayah di Selatan Thailand, pada 17 Mac.

PBB dan Human Rights Watch telah mengutuk serangan itu, yang berlaku ketika Thailand sudah pun berdepan dengan krisis kesihatan COVID-19.

Sementara itu, pada Sabtu, sehari selepas gencatan senjata BRN dilaksanakan secara rasminya, beberapa lelaki bersenjata telah menembak dan mencederakan seorang lelaki berusia 77 tahun ketika dia pulang dari menunaikan solat di wilayah Patani, kata polis. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemberontak mendalangi serangan itu.

Selatan Thailand merangkumi kawasan yang terdiri daripada wilayah-wilayah Patani, Narathiwat dan Yala yang diduduki masyarakat Islam yang bertutur bahasa Melayu, serta mempunyai empat daerah di Songkhla.

Lebih 7,000 orang telah terbunuh di wilayah sempadan selatan itu sejak BRN dan kumpulan pemisah bersenjata lain kembali melakukan pemberontakan terhadap majoriti penduduk Buddha Thailand sejak 16 tahun yang lalu.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.