Perunding Thailand Bertemu Delegasi Pemberontak BRN di Malaysia
2020.01.21
Kuala Lumpur, Bangkok & Pattani, Thailand.

Thailand dan kumpulan pemberontak selatan Barisan Revolusi Nasioal [BRN] telah mengadakan pertemuan langsung di Kuala Lumpur dengan kedua-dua pihak menyatakan keyakinan bahawa perjumpaan julung kali itu adalah sebagai penetapan pentas meneruskan proses rundingan dalam usaha menamatkan konflik berdekad yang telah membunuh ribuan nyawa.
Delegasi Bangkok diketuai oleh Ketua Perunding utama kerajaan Thailand, Wanlop Rugsanaoh telah bertemu dengan pasukan pemberontak dari BRN pada Isnin di mana Malaysia telah menjadi fasilitasi kepada kedua-dua pihak, demikian kata kedua-dua kumpulan yang bertemu itu.
"Pertemuan ini mengesahkan usaha dan niat kami untuk mencari penyelesaian damai terhadap masalah-masalah di Wilayah Perbatasan Selatan Thailand," demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Dialog Damai Thailand.
"Perbincangan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertemu dan mengenali satu sama lain dan juga mengakui kerangka kerja yang akan membantu memastikan kemajuan dan kesinambungan dialog itu," kata pihak Thailand itu.
Ini adalah mesyuarat dua hala rasmi pertama antara Thailand dan sayap tentera BRN yang Malaysia menjadi fasilitatornya sejak akhir 2013, dimana usaha berunding kearah perdamaian di rantau sempadan selatan di mana penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu sebelum ini menemui jalan buntu.
Pertemuan pada Isnin itu berlangsung di ibunegara Malaysia ketika Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha telah melawat wilayah yang dikenali sebagai ‘Deep South’ atau selatan Thailand untuk mempromosikan pembangunan ekonomi di kawasan miskin berkenaan.
"Kami berharap peningkatan dalam standard hidup rakyat boleh membantu mengurangkan keganasan," katanya semasa lawatan dua hari di wilayah itu.
Pada tahun lepas, para pegawai yang mewakili Thailand dan BRN mengadakan perbincangan ‘pintu belakang’ di Berlin yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan antarabangsa, tetapi Malaysia tidak dirujuk terlebih dahulu mengenai pertemuan tersebut menurut seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara Malaysia kepada BeritaBenar pada Disember lalu.
BRN diketuai oleh Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh), seorang bekas guru di sebuah sekolah agama di wilayah Yala pada perbincangan terkini antara Bangkok dan kumpulan pemberontak di Kuala Lumpur itu.
Sehari selepas pertemuan antara kedua-dua pihak itu, Anas bersama seorang lagi pemimpin BRN Abdul Aziz Jabal memberitahu satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Selasa bahawa delegasi BRN dan Thailand telah bersetuju dengan satu set komitmen yang mereka dapat membina keyakinan bersama.
"Pada 28 Februari 2013, terdapat perjanjian politik antara BRN dan kerajaan Thailand. Bagaimanapun, disebabkan beberapa isu yang menyaksikan keperluan untuk membina keyakinan antara kedua-dua pihak untuk dilaksanakan secara berperingkat, kami meneruskan proses melalui saluran belakang," katanya pada sidang akhbar, yang dianjurkan oleh Malaysia tetapi hanya segelintir organisasi berita yang dibenarkan membuat liputan.
“Hasilnya, Alhamdulillah seperti wujudnya [rundingan] hari ini,” Anas memberitahu pemberita.
Tentera Thailand telah menyalahkan BRN keatas serangan maut di seluruh rantau itu.
"Kami telah mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan konflik yang tiada kesudahan yang sehingga kini telah menyebabkan ribuan kematian dan kecederaan," kata Abdul Aziz pada sidang media bersama Anas itu.
"Oleh itu, kedua-dua pihak BRN dan kerajaan Thailand mempunyai persefahaman bersama untuk menyelesaikan konflik di Pattani melalui cara politik, yang melalui proses perdamaian," tambahnya, menggunakan nama pemisah bagi selatan Thailand.
Menurut Anas, pada pusingan pertama perbincangan pada Isnin, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memperkukuhkan komitmen mereka terhadap Terma Rujukan (TOR), yang telah mereka rangkakan sebelum ini dengan Malaysia akan terus memfasilitasi proses damai tersebut.
Kedudukan MARA dalam rundingan tidak pasti
Bulan lalu, Wanlop, Ketua perunding baru Thailand berkata beliau bertekad untuk melibatkan semua kumpulan pemberontak dan puak lain dalam usaha untuk membawa keamanan di selatan Thailand.
Sejak 2015, Thailand telah terlibat dalam perbincangan dengan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili pelbagai organisasi pemberontak selatan, tetapi rundingan itu sehingga kini, tiada sebarang kejayaan dicapai dan sayap ketenteraan BRN pula menjauhkan diri daripada menyertai panel berkenaan.
Pada Selasa, masih tidak jelas sama ada BRN akan memanggil MARA Patani untuk duduk bersamanya dalam perbincangan baru dengan Thailand itu atau mengecualikannya daripada rundingan terus dengan Bangkok, atau sama ada kerajaan Thai mengadakan rundingan lain dengan MARA.
Menurut sumber kerajaan Malaysia yang sangat berpengalaman, dan mempunyai pengetahuan secara tentang proses rundingan damai berkenaan semasa dihubungi BeritaBenar berkata, dialog pada Isnin hanyalah pertemuan pengenalan dan BRN telah memaklumkan kepada peserta yang hadir bahawa mereka akan membawa masuk kumpulan lain untuk menyertai rundingan pada masa hadapan. Sumber itu tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.
Jurucakap MARA Patani, Abu Hafez Al-Hakim berkata masih terlalu awal untuk meramalkan jika BRN akan meneruskan rundingan dengan Thailand berasingan daripada MARA atau melibatkan ahli panel lain dalam perbincangan.
"Jika mereka tidak mahu orang lain terlibat, dan Malaysia bersama Thailand juga bersetuju, maka MARA hanya boleh duduk dan berehat," katanya kepada BeritaBenar.
Kumpulan Krisi: Rundingan damai perlu ‘reboot’
Ahli panel BRN itu bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur pada hari yang sama International Crisis Group (ICG), sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Brussels, yang menjalankan penyelidikan dalam resolusi konflik, menerbitkan satu kajian baru mengenai usaha untuk membawa kedamaian di selatan Thailand.
Kumpulan berkenaan dalam penerbitannya menceritakan bagaimana Wanlop telah meminta pertemuan secara langsung dengan BRN, "yang menolak dialog sedia ada."
Menurut ICG, proses dialog "memerlukan reboot" dengan BRN terlibat dan bersedia "untuk melibatkan diri secara membina."
Bagi pihak Bangkok, ia "sepatutnya mengatasi rasa tidak suka kepada pengantaraan antarabangsa dan berhenti menyamakan desentralisasi dengan pemisahan," kata kumpulan itu sambil menggesa Thailand dan Malaysia "menggabungkan pengantaraan luaran."
Lebih 7,000 orang terbunuh dalam serangan di jalanan, penembakan dan keganasan lain di seluruh kawasan selatan - yang terdiri daripada wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala dan empat daerah di wilayah Songkhla - sejak pemberontakan pemisah kembali tercetus pada 2004.
Malaysia, yang mempunyai sempadan dengan selatan Thailand, kekal sebagai pemudah cara penting, ICG berkata Kuala Lumpur pula "terlalu mendalami konflik itu supaya pihak-pihak berkenaan melihatnya sebagai tidak memihak."
Araya Poejar di Bangkok dan Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.