Analisis: Thailand Pinggirkan MARA Patani Dalam Rundingan Damai Baharu Dengan BRN
2020.02.04
Pattani & Kuala Lumpur

Kerajaan Thailand kelihatan bersungguh-sungguh untuk meminggirkan perunding yang mewakili beberapa kumpulan pemisah dalam rundingan damai selatan Thailand sejak 2015, kata pengarah sebuah badan pemikir yang berpangkalan di wilayah sempadan yang bergolak itu kepada BeritaBenar.
Sementara itu, beberapa anggota MARA Patani, panel kumpulan pemberontak yang terlibat dalam rundingan yang dipelopori Malaysia sejak lima tahun lepas, berkata mereka tidak akan mengambil bahagian atau belum menerima jemputan bagi menyertai rundingan damai yang diumumkan bulan lepas antara Bangkok dan BRN, kumpulan pemberontak di selatan Thailand paling berpengaruh.
“Adalah jelas bahawa kerajaan berhasrat memperkecilkan peranan MARA Patani, jika dilihat daripada kenyataan Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua rundingan damai, yang berkata bahawa delegasi Thailand ingin berunding dengan kumpulan paling berpengaruh, yang jelas mempunyai peranan di lapangan, terlebih dahulu, sebelum berunding dengan kumpulan lain,” kata Profesor Srisompob Jitpiromsri, pengarah badan pemikir yang dikenali sebagai Deep South Watch.
Wanlop dan Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh), seorang pemimpin BRN, atau Barisan Revolusi Nasional, mengumumkan dalam sidang akhbar bersama di Kuala Lumpur pada 21 Jan bahawa kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan terus rasmi pertama mereka, dan Malaysia kekal sebagai pemudah cara.
Minggu lepas, Wanlop memberitahu satu sidang berita di Bangkok bahawa Thailand berhasrat “mengadakan rundingan dua hala dengan BRN,” sambil menambah bahawa “kami ingin bekerjasama dengan kumpulan paling berpengaruh terlebih dahulu dan kumpulan lain boleh turut serta.”
BRN mempunyai kerusi dalam panel MARA Patani namun mengikut pakar, badan penaung itu mungkin tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pejuang BRN di lapangan.
Hakikat itu, menurut mereka, menyebabkan Wanlop ingin menjalin hubungan dengan pemimpin tentera de facto kumpulan pemberontak itu melalui Abdul Rahim Noor, pemudah cara Malaysia dalam proses damai tersebut.
Sehingga rundingan baharu itu diumumkan pada Januari, pemimpin tegar BRN menjauhkan diri daripada rundingan yang diketuai MARA Patani dengan Thailand.
Srisompob menyifatkan rundingan baharu itu sebagai satu perkembangan positif dalam usaha bertahun-tahun bagi menyelesaikan konflik di selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah bangsa Melayu dan beragama Islam.
Lebih 7,000 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh wilayah itu sejak kebangkitan semula pemberontakan pada 2004.
Bagaimanapun, Srisompob memberi amaran “Saya tidak tahu sejauh mana hasilnya. Kita perlu tunggu dan lihat.”
“Paling penting, perlu ada persetujuan dalaman di kedua-dua pihak,” kata penganalisis itu kepada BeritaBenar.
“Terdapat beberapa perbezaan dalam kalangan kumpulan pemberontak dan mereka perlu menyelesaikannya sendiri selain berunding dengan pihak kerajaan.”
“Bagi pihak kerajaan, ia perlu mengadakan rundingan dalaman untuk mewujudkan pendirian bersama,” katanya.
Pertemuan seterusnya dengan BRN akan berlangsung pada awal Mac, kata Wanlop kepada pemberita di ibu negara Thailand pada 31 Jan.
Menurut Shukri Hari, seorang daripada tiga anggota BRN yang berada dalam MARA Patani, pusingan rundingan terus berikutnya antara Thailand dan BRN akan berlangsung pada 2 Mac namun tiada wakil BRN dalam MARA telah dijemput untuk mengambil bahagian.
“Hanya BRN, yang diketuai Encik Anas, akan hadir dan [anggota] BRN [dalam] MARA Patani tidak akan terlibat,” kata Shukri kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington.
Kasturi Mahkota, pemimpin kumpulan pemberontak Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), yang juga berada dalam MARA Patani, berkata beliau berharap panel itu akan diwakili dalam rundingan damai baharu tersebut.
“Tidak pasti lagi,” katanya kepada BeritaBenar ketika ditanya sama ada MARA Patani akan mengambil bahagian.
“[Kami] serahkan perkara itu kepada BRN. Jika BRN boleh mengaturkannya, insya-Allah, kami akan turut serta. Semuanya terletak di tangan BRN.”
Kasturi berkata beliau menjangkakan bahawa rundingan damai baharu itu “akan menjadi satu proses yang inklusif” yang menunjukkan bahawa BRN telah memberi jaminan bahawa “pusingan rundingan damai kali ini akan melibatkan semua pihak.”
Siapa Anas?
Dalam sidang berita pada Jumaat, Jeneral Wanlop, ketua bahagian keselamatan negara Thailand yang telah dilantik sebagai ketua perunding dalam rundingan damai dengan pemberontak di selatan Thailand pada September 2019, memaklumkan tanggapan beliau berkaitan pertemuan pertamanya dengan Anas di Kuala Lumpur.
“Kami yakin bahawa beliau adalah wakil BRN yang tepat untuk berunding dengan kami,” kata Wanlop.
Srisompob, seorang penganalisis, pula menyifatkan Anas sebagai pemimpin atasan BRN yang mendapat pendidikan di luar negara dan merupakan seorang bekas guru di sebuah sekolah agama di selatan Thailandd.
“Beliau telah memainkan peranan penting dalam BRN selama bertahun-tahun. Kumpulan risikan kerajaan Thailand sedia maklum bahawa beliau adalah orang penting. Apabila beliau keluar untuk berunding, diyakini bahawa beliau benar-benar mewakili BRN,” kata Srisompob.
Bagaimanapun, seorang bekas pejuang BRN yang tinggal di Yala, sebuah wilayah di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik di selatan Thailand, mempersoalkan sama ada Anas benar-benar seorang pemimpin atasan kumpulan pemberontak itu atau adalah individu yang sepatutnya mewakili BRN dalam rundingan baharu itu.
Jeh Ku, bekas pejuang kumpulan pemberontak itu, turut berkata Anas mungkin terlalu rapat dengan kerajaan Thailand.
“Ustaz Hipni bukanlah orang asing kepada kerajaan Thailand. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Thailand. Kerajaan hanya inginkan muka baharu di meja rundingan dan dari situlah beliau muncul,” katanya kepada BeritaBenar merujuk kepada Anas menggunakan nama gelarannya.
Usaha BeritaBenar menghubungi Anas untuk laporan ini bagaimanapun gagal.
“Pejuang BRN di lapangan kini menanti apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan Thailand dan mereka hanya mempunyai satu matlamat iaitu Merdeka, dan ia tidak pernah berubah,” kata Jeh Ku yang menggunakan perkataan Melayu untuk kebebasan.