Polis Thailand Rampas 62kg Ganja Dari Sebuah Kenderaan Malaysia

Staf BeritaBenar
2017.01.24
Narathiwat, Thailand
170124-TH-MY-drugs-620.jpg Polis Thailand memeriksa ganja yang dirampas dari sebuah kereta yang mempunyai plat pendaftaran Malaysia dalam satu operasi pada awal Subuh, di Sungai Golok, daerah Narathiwat, Thailand, 24 Januari 2017.
[BeritBenar]

Polis Thailand menemui ganja seberat 62 kilogram dari sebuah kenderaan yang memiliki nombor plat pendaftaran Malaysia di Sungai Golok, daerah Narathiwat yang bersempadan dengan Kelantan pada lewat malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol. Kong-art Suwannakham berkata, semasa pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan berwarna merah dengan lesen plat Malaysia DBB 7865 yang terbabas apabila merempuh tiang elektrik semasa dikejar oleh polis anti narkotik, mereka menemui ganja yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

“Dua lelaki yang dipercayai pemandu dan penumpang berjaya melarikan diri dalam gelap selepas kenderaan mereka terbabas, ” kata Suwannakham kepada pemberita pada Selasa sambil menambah yang siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti kerakyataan kedua-dua lelaki berkenaan sama ada warga Thailand atau Malaysia.

Beliau berkata, terdahulu, pihak berkuasa telah menerima maklumat risikan yang menyatakan sebuah kenderaan dari Malaysia membawa dan menyeludup dadah di kawasan Sungai Golok.

“Bertindak daripada maklumat itu, polis seterusnya membuat sekatan jalan raya di Baan Pasir Mas, dan apabila menyedari mengenai sekatan berkenaan, kedua-dua lelaki berkenaan cuba memecutkan kereta mereka untuk melarikan diri,” tambah beliau.

Pada suku kedua fiskal yang bermula dari 15 Januari-31 Mac 2017, pihak berkuasa Thailand telah berjaya merampas dadah dan senjata bernilai lebih AS$ 2.83 juta di daerah selatan negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.