Thailand: Pegawai Kaitkan Kartel Laos Dengan Penyeludup Dadah di Malaysia, Selatan Thailand
2017.02.14
Bangkok & Kuala Lumpur

Penahanan seorang lelaki yang didakwa raja sindiket pengedaran dadah utama Asia Tenggara di Bangkok mendedahkan hubungan di antara operasi penyeludupan dadah di kedua-dua bahagian sempadan Thailand-Malaysia serta pemberontakan di Selatan Thailand, kata pegawai.
Berikutan penangkapan Xaysana Keopimpha – warganegara Laos yang digelar sebagai "raja dadah ASEAN" dalam laporan berita - pada 19 Jan lalu dan tangkapan kira-kira 12 orang pengedar dadah selepas itu dengan bantuan pihak berkuasa Malaysia, para pegawai Thailand berkata, beberapa suspek mungkin membantu membiayai pemberontakan selatan negara itu secara langsung atau tidak langsung.
Timbalan Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab dalam usaha junta Thailand untuk menyelesaikan konflik pemisah sejak puluhan tahun di Selatan Thailand, berkata, pemberontak dan pengedar dadah mungkin ada kaitan.
"Pegawai-pegawai terbabit melihat adanya kemungkinan pemberontak mendapat manfaat daripada aktiviti haram itu, oleh itu, kita perlu memberi tumpuan kepada isu ini kerana ia adalah amat penting," kata Jeneral Udomdej Sitabutr kepada BeritaBenar pada Jumaat di sebuah pangkalan tentera di Patani, satu daripada wilayah yang bermasalah di Selatan Thailand.
"Ada kemungkinan kartel dadah menghasilkan wang dan membiayai dana serta menyediakan bahan-bahan melancarkan serangan untuk para pemberontak."
Dadah merupakan sebahagian daripada masalah besar di wilayah itu dengan pemimpin geng tempatan dan malah, beberapa ahli politik tempatan menyediakan dana dan tempat berlindung untuk para pemberontak, kata Leftenan Jeneral Nanthadej Meksawat, seorang pakar keselamatan dan pegawai tentera Thailand yang sudah bersara yang melakukan perisikan tentera beberapa tahun di Selatan Thailand.
Berikutan kedudukannya berhampiran dengan sempadan Malaysia, wilayah bergolak itu dibanjiri dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah, selain daripada pemberontakan, kata sumber-sumber tempatan.
Menurut seorang pegawai kanan tentera yang bertugas di wilayah tu, kira-kira "satu perlima" daripada hampir 7,000 orang yang terbunuh dalam keganasan Selatan Thailand sejak 2004 adalah mangsa aktiviti penyeludupan dadah.
Keadaan di Selatan Thailand akan tenang apabila pihak berkuasa menghentikan aliran wang kepada pemberontak, kata Nanthadej.
"Jika kerajaan boleh menyelesaikan masalah dadah, ia separuh berjaya dalam menyelesaikan masalah Selatan Thailand semata-matanya kerana pemberontak tidak dibiayai oleh peniaga dadah," katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual menerusi telefon.
‘Mr X’
Pegawai menangkap Xaysana, yang berusia 41 tahun dan digelar "Mr. X’’, yang digambarkan dalam laporan berita sebagai ketua kartel pengedaran dadah "yaba’’ iaitu kafein yang dicampur pil meth yang dihasilkan di Myanmar, di seluruh wilayah Mekong, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.
"Xaysana sukar ditangkap. Tetapi terima kasih kepada pegawai-pegawai Laos yang memberikan kita maklumat mengenai beliau, kita dapat menahan lelaki ini ... kami mengikutinya selama lima tahun, " kata Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk, yang mengetuai Biro Penindasan Narkotik Polis Thailand, kepada pemberita sehari selepas warga Laos itu ditangkap.
Sementara itu, serbuan berasingan di bahagian timur laut Thailand pada 19 Jan membawa kepada penangkapan dua lelaki Thailand dan seorang wanita Thailand serta rampasan aset bernilai lebih 100 juta baht (AS $ 2.860.000).
Di Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pegawai anti-dadah menahan lima lelaki yang disyaki pengedar dadah di Kuala Lumpur dan Kelantan - sebuah negeri yang terletak di sempadan Selatan Thailand, minggu lepas.
"Lima lelaki - empat rakyat tempatan dan seorang warganegara Thailand yang terlibat dalam pengedaran pil psikotropik - telah ditangkap. Tiada dadah yang dirampas, "kata Mohd Shariff dalam satu kenyataan.
Sommai, ketua agensi anti-narkotik Thailand, berkata beliau difahamkan oleh rakan sejawatannya dari Malaysia pada 6 Feb lalu bahawa seorang daripada suspek adalah Kamarudin Bin Awang, yang beliau sifatkan sebagai "rakan kongsi Xaysana."
Sommai berkata, suspek itu juga dikenali sebagai Sinudeng Ma dan merupakan menantu Maniring Jako. Maniring didakwa mengedar dadah dari utara dan timur laut Thailand ke Malaysia, menurut pangkalan data jenayah Thailand.
Sirinya Sitthichai, setiausaha agung Lembaga Kawalan Narkotik Thailand, berkata, seorang pengedar dadah dari Selatan Thailand, Uzman Salamang, adalah di antara pemimpin sindiket itu.
"Lelaki ini [Uzman] dikehendaki pihak berkuasa, oleh itu dia menghentikan aktivitinya dan Xaysana mengambil alih peranannya ... tangkapan Kamarudin adalah susulan daripada operasi ini," kata Sirinya kepada pemberita pada Jumaat sambil menunjukkan carta organisasi kartel merentas sempadan.
Pihak berkuasa Thailand menawarkan ganjaran 2 juta baht (AS$57,000) bagi penangkapan Uzman dan dia melarikan diri ke Laos pada 2012, kata Sirinya.
Sabitan bagi pertuduhan mengedar dadah seperti heroin, methamphetamine atau kristal meth boleh membawa kepada hukuman mati.
Sommai berkata, Uzman mempunyai hubungan dengan Xaysana.
"Xaysana mempunyai hubungan dengan Uzman, seorang pengedar dadah utama di Selatan Thailand yang melarikan diri ke Laos. Uzman menggunakan nama akhir Xaysana dan melakukan pembedahan mengubah wajahnya. Laos sedang cuba mengenal pasti identitinya,”kata Sommai kepada Rath TV Thailand.