Syabu 200kg : Dua Rakyat Malaysia Ditahan di Thailand

Staf BeritaBenar
2017.08.23
Bangkok
170823-TH-drugs-620.jpg Lt. Jen Polis Sommai Kongvisaisuk, Ketua Biro Pengendalian Narkotik (jaket hitam) berdiri di hadapan dadah yang dirampas dan dipamerkan pada sidang media di Bangkok, 23 Ogos 2017.
BeritaBenar

Dua rakyat Malaysia telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand kerana memiliki dadah jenis sintetik seberat 200 kilogram yang dipercayai cuba dibawa masuk untuk pasaran Malaysia,  demikian kata para pegawai negara itu.

Lt. Jen. Polis Sommai Kongvisaisuk, yang juga Ketua Biro Pengendalian Narkotik berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu ditahan di daerah Sadao, Songkhla pada Selasa bersama syabu bernilai lebih RM25.6 juta.

Sommai memberitahu pemberita bahawa kedua-dua suspek yang telah ditangkap itu dikenali sebagai Chang Wei Yin, 48 dan Lau Yeong Ye, 35 tahun.

"Pasukan penyiasat sedang menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan Tiew Huy Huat, seorang lagi pengedar dadah rakyat Malaysia yang telahpun ditahan oleh pihak berkuasa negara itu [Malaysia]. Harga bagi dadah berkenaan bernilai sekurang-kurangnya 2 juta baht jika ia berjaya menembusi pasaran Malaysia," kata Sommai

Katanya, antara barangan lain yang dirampas ialah sebuah kereta, ringgit malaysia, telefon bimbit, buku bank, dan barang kemas.

Suspek dipercayai terkenal di kalangan ahli perniagaan di negara itu kerana mereka menyewa kesemua bilik di tingkat dua sebuah hotel yang terletak di kawasan Baan Dan Nok di daerah Songada di Sadao, dan membuka perniagaan tempat urut tradisional Thailand selama lebih 7 tahun.

"Mereka dipercayai mengangkut dadah itu di dalam kantong teh atau pencuci mulut, yang mirip dengan produk eksport Thailand dari kawasan Ekonomi Khas," tambah Sommai lagi.

Sementara itu Jeneral Polis Chiraphop Puridech berkata, " Siasatan mendapati akaun bank mereka mempunyai banyak urusan pemindahan keluar dan masuk wang dan setiap pemindahan akan dibuat antara RM12,000 [AS$3,000] hingga RM42.7juta [AS$1 juta]. Pihak polis kini sedang memeriksa laluan kewangan itu untuk mengesan mereka yang terlibat dalam pemindahaan wang berkenaan,"

Mengikut maklumat Biro Pengendalian Narkotik (NSB) Thailand yang diberikan kepada media, terdapat peningkatan dalam tangkapan dadah di negara itu. Sehingga Julai 2017, terdapat 77.8 juta pil syabu dirampas berbanding 40.4 juta pil sepanjang tahun 2015. Dadah sintenik jenis ICE pula, 3,127 kg telah dirampas tahun ini berbanding 584 kg pada tahun 2015, dan heroin seberat 117 kg berbanding 56 kg pada 2015.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.