Thailand Jadikan Tindakan Ganas sebagai Syarat Utama Gencatan Senjata Selatan Thailand
2017.03.17
Bangkok & Kuala Lumpur

Gencatan senjata masa depan di Selatan Thailand boleh dibatalkan jika lebih daripada tiga insiden keganasan berlaku di kawasan yang dipilih untuk melaksanakan ujian gencatan senjata itu, kata seorang perunding Thailand, tetapi jurucakap pemberontak berkata mereka tidak memberi sebarang persetujuan terhadap syarat itu.
Selepas rundingan damai tinjauan di Kuala Lumpur pada 28 Feb lalu, perunding daripada pihak Thailand dan panel yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan Thailand mengumumkan rangka kerja bagi apa yang dipanggil "zon keselamatan," atau gencatan senjata terhad, yang akan dilaksanakan di satu daerah wilayah sempadan Selatan Thailand yang bergolak.
Zon keselamatan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk ditubuhkan dan dilaksanakan, dan akan menjadi medan ujian bagi melihat sama ada konsep itu boleh dilakukan di kawasan itu dan di kawasan lain di Selatan Thailand, kata para pegawai daripada kedua-dua pihak itu. Belum ada pihak yang menamakan mana-mana lima daerah di tiga wilayah itu, yang akan dipilih sebagai kawasan gencatan senjata.
Namun, semasa taklimat media di Bangkok pada Khamis, seorang pegawai tentera yang berkhidmat sebagai setiausaha pasukan rundingan Thailand mendakwa bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meletakkan syarat yang berkaitan dengan keganasan bagi gencatan senjata di Selatan Deep.
"Persempadanan zon keselamatan adalah satu daripada ukuran bagi menguji rasa saling percaya di antara kerajaan dan pembangkang, yang, pada masa ini, nampaknya belum ada lagi," kata Mejar Jeneral Sitthi Trakulwong kepada pemberita di ibu pejabat Angkatan Tentera Diraja Thailand di Bangkok, dengan merujuk kepada pemberontak pemisah di Selatan Deep yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.
"Bagaimanapun, difahamkan adanya faktor-faktor lain keganasan selain daripada kumpulan pemberontak itu - iaitu ancaman oportunistik seperti dadah, penyeludupan minyak dan ahli-ahli politik tempatan. Oleh itu, terdapat satu perjanjian awal bahawa, dalam zon keselamatan, tidak boleh ada lebih daripada tiga insiden keganasan yang berlaku, "katanya.
Sekiranya tindakan keganasan mengganggu gencatan senjata di daerah yang dipilih, pihak Thailand dan pemberontak perlu menjalankan siasatan bersama, katanya.
"Tetapi jika kita tidak dapat mengenal pasti siapa pesalahnya, zon keselamatan itu akan dibatalkan," kata Sitthi dengan memberi amaran.
Pandangan pemberontak
Abu Hafiz Al-Hakim, jurucakap panel MARA Patani yang mewakili pemberontak Selatan dalam usaha damai itu, ditanya pada Jumaat sama ada mereka bersetuju kepada syarat berkaitan dengan keganasan seperti yang dinyatakan sehari sebelum itu oleh setiausaha pasukan rundingan Thai .
"Itu adalah pandangan pihak Thailand. Setakat ini, kami hanya bersetuju dengan Rangka Kerja Umum untuk SZ [Zon Keselamatan]. Tiada sebarang perbincangan terperinci atau kesepakatan mengenai kaedah-kaedah atau SOP Prosedur Operasi Standard]; semua ini akan diperincikanan kemudian, " kata Abu Hafiz kepada BeritaBenar.
Beliau dan Sitthi menyatakan bahawa kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam tempoh tiga bulan untuk memilih satu daripada lima daerah di mana gencatan senjata akan dilaksanakan dan membuat persiapan untuk pelaksanaannya. Sebaik sahaja mereka bersetuju dengan perkara itu, daerah yang dipilih akan menjadi tapak ujian bagi konsep zon keselamatan selama tiga bulan, kata mereka.
Bagaimanapun, prospek pelaksanaan gencatan senjata terhad telah goyah akhir-akhir ini berikutan keganasan di wilayah tersebut, dengan beberapa pihak menyalahkan puak pemisah bersenjata tegar yang enggan berunding dengan kerajaan tentera Thailand dan tidak bersama-sama dengan MARA Patani.
Hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan sejak 2004. Dan sejak 28 Feb lalu, apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan rangka kerja bagi gencatan senjata yang terhad, seramai 12 orang telah terbunuh dan 10 lagi cedera dalam pelbagai serangan yang disyaki dilakukan pemberontak di Selatan Thailand. Antara yang maut termasuklah seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun, ibu bapanya dan ibu saudaranya serta orang awam yang lain.
Sementara itu, ketika tentera Thailand memberi taklimat kepada pemberita mengenai rancangan untuk meneruskan gencatan senjata terhad, pemerintah wilayah di Selatan Thailand mengumumkan bahawa ia melanjutkan perintah kuasa darurat selama tiga bulan lagi di bahagian-bahagian tertentu di wilayah itu berikutan kitaran keganasan yang berlaku.
Kuasa itu membolehkan pasukan keselamatan di wilayah berkenaan menangkap suspek tanpa waran dan menahan orang yang disyaki dalam sel terasing tanpa sebarang tempoh tertentu, lapor Bangkok Post.
Lanjutan perintah darurat itu akan bermula pada 20 Mac ini, kata Kolonel Yuthanam Petchmuang, timbalan jurucakap pejabat wilayah Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) kepada pemberita pada Khamis.
"Insiden serius terus berlaku. Oleh itu, adalah lebih baik melanjutkan perintah darurat bagi keadaan yang serius," katanya.